BAB 13

10K 480 102
                                    

KERETA yang kami naiki menyusur masuk ke satu laluan dan berhenti betul-betul di hadapan sebuah bangunan besar. Serentak itu, seorang lelaki berkot hitam terus membukakan pintu dari luar. Arjuna mengangkat tubuh keluar kereta. Aku termangu sendiri, tidak pasti sama ada patut ikut keluar atau pun tidak.

"Err, Cik Nailah tak nak turun ke?" tegur Sato dari tempat duduk pemandu. Aku tersentak dan berpaling melihat Arjuna. Dia sedang menanti bersama sebelah tangan yang diseluk ke dalam kot musim sejuk yang tebal.

Cepat-cepat, aku meloloskan diri daripada kereta dan meliarkan pandangan ke sekeliling. Di luar sedar, kepalaku terangkat memandang bangunan yang besar lagi gah ini. Tingginya sehingga lima tingkat dan terbahagi kepada dua sayap. Di sebelah kiriku, binaannya lebih kepada kontemporari dengan warna kelabu beserta cermin melintang di sekeliling. Di sebelah kananku pula, unsur-unsur tradisional lebih terserlah. Berwarna coklat dengan material kayu yang disusun berselang-seli. Di celah-celahnya kelihatan cermin yang memungkinkan cahaya masuk. Kedua-dua sayap dibahagikan dengan satu laluan luas yang berbumbung. Di hujung laluan tersebut, sayup-sayup aku dapat melihat pepohon buluh yang tersusun selari.

Gah, besar, luas dan cantik. Itulah yang aku dapat simpulkan tentang bangunan ini. Kemudian, aku melirikkan mata ke arah papan tanda berukir yang terpacak tidak jauh dari tempatku berdiri.

The Miyuki Antiques Company.

"Berapa lama kau nak tercegat di situ?"

Suara Arjuna menyentak kuat. Automatik aku memandangnya. Perasaan segan pantas menyusup masuk ke dalam diri. Ya, aku akui. Aku sangat jakun dengan bangunan ini.

"Tunggu apa lagi?"

Lekas, aku mendapatkan Arjuna. Usai berjalan sebelah-menyebelah, aku menyoal, "Ini bangunan apa?"

"The Miyuki Antiques Company," jawab Arjuna senada.

"Itu saya tahu. Saya nampak signboard."

"Company aku."

Mulutku melopong.

"Yakuza ada company?" Pantas aku menyoal dengan muka takjub.

Serta-merta, Arjuna memusing badan dan menghadapku. Keningnya bertaut. "Yakuza?"

"Yeah. Aizukotetsu-kai." Aku membalas. Dia ini biar betul? Takkanlah lupa kumpulan dan identiti sendiri kut?

Riak muka Arjuna berubah.

"Kau fikir aku salah seorang Aizukotetsu-kai?"

"Bukan ke? Datuk awak..."

"Itu datuk aku. Bukan aku," cantas Arjuna. Nada suaranya kedengaran sangat keras. Bahkan, pandangan matanya bertukar garang.

Sekelipan, aku mengerunyutkan dahi. Bawah bibir digigit. Rasa pelik mula menyerbu masuk ke dalam diri. Arjuna ini sebenarnya yakuza atau pun tidak? Musykil aku.

"Kau tak perlu fikir sama ada aku yakuza atau pun tidak," ucap Arjuna bagaikan baru membaca akal fikiranku.

Aku diam menanti dia menyudahkan kata.

"Just listen to me and trust me. I am not Aizukotetsu-kai and will never be."

"Okay, then." Aku menggumam, malas memanjangkan hal. Sementelah, Arjuna tampak beremosi benar. Aku memaling tubuh, mahu meneruskan perjalanan. Namun Arjuna terlebih dahulu merengkuh lenganku. Tidak kasar, tetapi cukup untuk mematikan langkah. Langsung, aku menoleh.

"Kau...percayakan aku, kan?" tanyanya, antara dengar tak dengar.

Aku tidak pantas menjawab. Mataku tajam cuba menilik lelaki yang terlalu kompleks ini. Seperti selalu, dia menayangkan wajah tenang. Namun entah kenapa, aku seolah-olah nampak seorang lelaki yang sedang berlakon dalam drama ciptaannya sendiri. Serta-merta, aku jadi tertanya-tanya. Adakah ketenangan yang selama ini aku lihat, cuma satu lakonan untuk menyembunyikan rasa hati yang sebenar? Kalau benar telahanku, bukankah itu sangat menyakitkan?

SALJU KYOTO (Published)Where stories live. Discover now