BAB 10

9.8K 507 107
                                    

SETAPAK DEMI SETAPAK aku berjalan di koridor yang panjang ini. Sesekali aku mengusap telapak tangan yang kesejukan. Ekor mata pula tidak habis-habis meliar ke kiri kanan. Entah bilik apa yang ada di rumah ini. Besar sangat. Tidak bosankah Arjuna tinggal di rumah sebesar ini, sedangkan ianya kosong semata?

"Yahhh!!!"

Satu jeritan mematikan terus langkah. Aku tercengang. Cepat-cepat aku memasang telinga. Mahu mengenal pasti dari mana datangnya bunyi tersebut. Dari bilik di sebelah kananku! Perlahan-lahan, aku menjongket kaki menghampirinya. Pintu tarik shoji ditolak ke tepi sedikit. Anak mata diletakkan di celah-celahnya. Posisi yang sangat sempurna sebagai seorang penghendap.

Di tengah-tengah ruang bilik yang luas dan besar itu, Arjuna sedang berdiri tegak membelakangi aku. Tubuh tegapnya dibaluti oleh keikogi dan hakama berwarna hitam. Di tangannya pula, kelihatan sebilah pedang panjang. Seketika kemudian, dia membuka kaki dan menghunus pedang tersebut tinggi ke hadapan. Dalam sekelip mata, dia sudah pun bergerak sambil melibasnya atas bawah, kiri kanan. Tempikan gagahnya berkumandang di segenap bilik. Tidak cukup dengan itu, dia berpusing, melompat tinggi, mendarat dan bermacam lagi pergerakan yang sukar untuk aku jelaskan.

Aku melihat semuanya dengan mulut separuh ternganga. Walaupun aku tidak tahu menahu tentang ilmu mempertahankan diri, tetapi aku tahu bahawa pergerakannya sempurna tanpa cacat cela. Bahkan, dia kelihatan seperti menari bersama pedang yang bersinar itu. Sama seperti malam pertemuan pertama kami.

Setelah beberapa ketika beraksi, Arjuna akhirnya berhenti. Belakangnya tampak termengah-mengah. Mukanya dipaling sedikit ke kanan dan tiba-tiba...

"Berapa lama lagi kau nak tercegat di situ?"

Aku tersentak dan cepat-cepat bergerak ke belakang. Hampir putus nyawa saat disergah begitu. Pintu tarik dibuka dari dalam. Arjuna tersembul di hadapan mata. Rambutnya jatuh menutupi dahi dan separuh basah dengan peluh. Begitu juga dengan wajah dan leher. Peluh jantan menitis-nitis. Dada pula berombak laju. Desah nafas kuat berbunyi. Entah apa yang tidak kena denganku, dia nampak seksi.

'Isy, gila kau, Nailah!' Cepat- cepat, aku menempelak diri sendiri.

"Seronok mengintai?" soalnya selamba. Sebelah tangan mengelap muka dengan tuala kecil. Kemudian, dia membawa tuala itu ke lehernya yang putih. Dilap-lap dengan gaya yang...menggoda?

Semerta aku melarikan pandangan mata. Pipi sudah selamat membahang.

"Mana...mana ada saya mengintai." Kelam-kabut aku menafikan. Kepala tergeleng-geleng laju.

Lewat ekor mata, aku melihat Arjuna memasang senyum kecil. Kakinya dibawa keluar bilik sebelum dia mengatup kembali pintu. Lantas, dia berdiri menghadapku.

"Bilik ni aku consider as dojo. Tempat untuk aku practice," jelasnya tanpa kupinta. "Jangan masuk tanpa kebenaran aku. Dalam tu, ada banyak katana. Bahaya kalau kau terlanggar."

"O...key." Aku menjawab sekadar berbasi-basi.

Tanpa semena-mena, Arjuna menundukkan muka hingga ke aras mukaku. Terkulat-kulat aku menatap wajahnya yang dekat benar.

"Hmm, pipi kau dah tak bengkak. Tapi bibir kau..."

Arjuna mengecilkan anak mata tepat ke bawah bibirku. Rasa tidak selesa terus menyusup masuk. Berdebar pula jantung dengan fiil lelaki ini yang agak intim.

"Masih lebam," sambungnya seraya menjauhkan semula wajah. Kemudian dia merengus kasar. "Pantang sungguh aku dengan lelaki yang guna kekerasan kepada perempuan."

SALJU KYOTO (Published)Where stories live. Discover now