10

17.3K 545 9
                                    

Sebaik sahaja kaki memnjejak ke atas lantai pejabat, bertalu-talu ucapan yang menyapa pendengaran Azki. Sampai naik bosan dia mendengarnya. Kalau boleh, dia tak mahu ke pejabat. Tetapi awal-awal lagi Aime sudah mengingatkan untuk datang. Ada mesyuarat penting bersama Arsyida. Ah... bosan!

Ketika melintasi meja Aime yang kosong, dia jadi sedikit curiga. Lalu langkahnya tidak jadi diteruskan untuk masuk ke biliknya. Dia berhenti seketika sambil memandang meja Aime. Biasanya, jika dia masuk ke pejabat Aime sudah menanti dengan sebuah senyuman dan ucapan selamat pagi.

Azki mendengus. Perasaan geram sudah mula menular dalam dirinya. Mana 'anka gajah' tu pergi? Suruh aku masuk pejabat tapi dia yang tak ada! Dia meneruskan langkah dan membuka pintu bilik dengan kasar. Serentak itu Aime yang sedang membelakangkannya sambil terbongkok menyimpan sesuatu di dalam almari menoleh kepadanya. Bukan Aime saja yang nampak terkejut, dia juga terkejut sama. Tak sangka, perempuan itu ada di dalam biliknya.

"Terperanjat saya..." keluh Aime perlahan sambil menutup pintu almari.

Azki terus menuju ke mejanya tanpa memandang Aime. Entah kenapa, ada rasa segan tika melihat Aime terbongkok tadi. Dan rasa segan itu membuatkannya tidak mampu memandang 'anak gajah' itu lagi saat ini. Apa tidaknya, dia dapat lihat dengan jelas punggung Aime yang bulat dan besar sewaktu membongkok. Dia rasa tingkah Aime itu seksi pula. Seksi? Dah gila ke aku ni? Mungkin bukan seksi, tapi seksa!

"Happy birthday, encik," ucap Aime dengan nada yang cukup riang.

"Hmmm..." jawabnya tanpa memandang Aime.

"Tak sangka encik ni ramai peminat. Pagi-pagi lagi dah banyak hadiah yang sampai. Errr... encik tak nak buka ke hadiah-hadiah tu?"

"Kenapa aku nak kena buka? Hadiah dua, tiga tahun sebelum ni pun aku tak buka lagi!"

"Sebab tu saya ingatkan encik. Encik bukalah."

Suara Aime seperti biasa, lembut dan lunak. Namun, Azki tak mahu menunjukkan dia terpegun kepada perempuan itu. Serentak itu dia menongkat dagu, memandang tajam Aime.

"Buka atau tidak, apa bezanya? Aku tak mintak pun orang hantar hadiah ni semua. Aku nak kau kemas semua hadiah yang menyemak ni. Aku tak nak benda ni ada atas meja aku. Pendek kata aku tak nak pandang satu pun. Sama ada kau nak ambil atau buangkannya. Faham?"

Kini dahi Aime berkerut, tak mengerti kenapa Azki begitu kejam.

Kemudian Azki mengalihkan perhatian dengan membuka lap-topnya. "Mana air aku?"

"Nanti saya ambilkan. Saya kemas hadiah ni dulu."

Azki diam, membiarkan saja Aime mengemas mejanya. Namun, dia sempat menangkap sesuatu di antara hadiah yang sedang dikemas itu.

"Kejap!" arah Azki sambil menarik sebakul marshmallow. Bulat matanya melihat hadiah itu. Rasa terkejut dan tak percaya. Yang menarik pada bakul itu bukan kerana marshmallow itu tetapi ada patung kera.

"Siapa bagi ni?" soal Azki sambil memandang Aime.

Aime sekadar angkat bahu dan buat muka selamba. Kemudian berlalu membawa semua hadiah yang ada di atas meja. Kini yang tinggal, hanya hadiah yang masih berada di tangan Azki.

Azki menarik kad yang terselit dengan kasar. Membuak-buak rasa tidak sabar untuk membuka kad yang bersampul itu. Siap digam lagi. Untuk seketika dia tidak dapat menyembunyikan senyuman yang terukir secara tak sengaja. Belum pernah ada orang yang menghantar ucapan dengan bermadah begitu.

"Kalau di langit kau umpama bintang yang bercahaya, kalau di lautan kau umpama mutiara yang menyinar." Dia menyebut madah itu dengan perlahan. Entah siapalah yang hantar ni!

Miss XLWhere stories live. Discover now