40

15.3K 394 2
                                    

Emili hanya memandang kereta yang baru saja berhenti di luar pagar rumah. Sejak tadi dia sengaja duduk di ruang laman untuk ambil angin malam. Rumah Aime kini seakan-akan sudah menjadi rumah keduanya. Dia sukakan suasana dan kemeriahan di rumah itu. Sebab itu dia suka datang dan melepak di rumah Aime. Lebih-lebih lagi keluarga Aime menerima baik kedatangannya malah, sudah menganggap dirinya sebahagian daripada keluarga itu.

Dia masih lagi memerhatikan kereta yang berada di luar pagar itu. Saat itu hatinya dijentik rasa kurang senang apabila melihat Azki yang keluar dari dalam kereta untuk menemani Aime seketika di luar pagar itu. Jauh di sudut hatinya, terselit rasa cemburu terhadap kehidupan Aime.

Walaupun Aime sering kata, dia sedih kerana orang sering memandang rendah kepadanya kerana kegemukannya tetapi Aime tidak tahu yang dirinya cukup bertuah. Aime punya keluarga yang bahagia. Bukan ke itu sudah cukup jika hendak dibandingkan dengan dirinya yang hanya menumpang kasih pada orang lain? Kini dia terpaksa menahan hati, memerhatikan dan mendengarkan saja perbualan Aime dan Azki.

"Kau serius tak nak pulangkan balik cekak rambut yang Shahril bagi tu?" soal Aime tak percaya.

Azki sekadar mencebik, tanda enggan mengembalikan cekak rambut yang telah disimpannya itu.

"Nanti kalau dia tanya, kenapa aku tak pakai cekak rambut yang dia bagi macam mana?"

"Cakap ajelah yang kau tak ingat letak kat mana." Selamba Azki menjawab.

"Mana boleh jawab macam tu. Nanti orang kata aku tak hargai pemberian orang. Tentu Shahril kecik hati nanti."

"Ada aku kisah?" balas Azki dengan bersahaja.

Aime mengetap bibirnya rapat-rapat. Tak sangka Azki boleh bersikap demikian. "Teruknya perangai! Entah apalah masalah kau ni? Kau cemburu ke Shahril bagi aku hadiah?"

"Aku tak suka kau pakai cekak rambut tu sebab cekak tu tak cantik. Itu aje. Lagipun, apa sebab aku nak cemburu?"

"Kau cemburulah sebab aku dapat tapi kau tak! Kan? Kalau kau nak, nanti aku cakap dengan Shahril suruh dia belikan kau satu. Mesti comel kau pakai cekak rambut!" balas Aime sambil tersenyum.

Muka Azki sudah 'ketat'.

Emili menggeleng, naik bosan melihat Aime dan Azki begitu. Dari tadi hanya bercakap soal cekak rambut. Entah apa-apa! Emili bingkas daripada duduk lalu mendekati pintu pagar.

Serentak itu Aime dan Azki segera menoleh ke arahnya. Mereka berdua agak terkejut dengan kehadirannya itu.

"Ada empat kemungkinan yang menjadi faktor apabila lelaki cemburu. Pertama, kerana dia amat menyayangi dan takut kehilangan orang yang disukai. Kedua, posesif dan sentiasa ingin menguasai. Ketiga, bangga diri dan tidak mahu disaingi. Keempat, mengalami trauma yang hebat yang tidak pernah diceritakan pada sesiapa. Jadi, kau dalam kategori yang mana ek? Pertama? Kedua, ketiga atau keempat?" soal emili dengan tenang.

Faktor yang mewujudkan rasa cemburu itu pernah dibacanya dalam sebuah majalah beberapa bulan yang lalu. Sengaja dia menyoal Azki begitu untuk melihat reaksi Azki. Dia mahu tahu bagaimana perasaan Azki terhadap Aime.

Azki menahan geram. Kalau bukan kerana mereka semua berada di hadapan rumah Aime, sudah lama 'budak tak cukup sifat' tu akan 'kena' dengannya. Lagi satu, rumah ni rumah siapa? Rumah Aime atau Emili? Menyibuk!

"Eee... 'budak tak cukup sifat' ni... menyibuk kat sini, apa hal?" desis Azki perlahan.

Aime segera menyiku Azki kerana dia yakin Emili mendengarnya.

"What? Memang betul, kan? Menyibuk aje kat rumah orang!" ujar Azki dengan lantang tanpa mempedulikan mata Aime yang sudah membulat itu. Nasiblah, siapa suruh 'budak tak cukup sifat' tu sengaja kenakan aku!

Miss XLWhere stories live. Discover now