44

13.2K 407 17
                                    

Rasa curiga mula menular ke dalam hati Azki. Dia dapat  merasakan perubahan sikap Aime terhadapnya. Aime tidak seperti selalu, tidak seperti kebiasaannya. Aime lain. Lain sangat! Kenapa tiba-tiba Aime berubah laku, tidak semesra selalu? 'Anak gajah' itu banyak berdiam dan termenung saja. Memang betul-betul mencurigakan.

Satu keluhan dilepaskan sambil mengerling ke arah Aime  yang sedang melakukan kerjanya. Sejak tadi Aime hanya berdiam, tak dengar pun satu perkataan keluar daripada mulut 'anak gajah' itu. Aime buat dia jadi tak senang duduk. Agaknya apa yang tak kena dengan Aime? Ada masalah ke? Tapi masalah apa? Bergaduh dengan kekasih?

Sebut tentang kekasih, hatinya jadi semakin tak keruan. Rasa tak senang melihat Aime melayan panggilan Omar dengan mesra. Nampaknya hubungan Aime dan Omar makin serius. Walaupun belum lagi berpeluang untuk bertemu empat mata tetapi Azki sudah rasa semacam. Benar-benar tak senang!

"Aime."

"Emmm..." sahut Aime tanpa memandang ke arah Azki.

"Ada sesuatu yang tak kena."

"Hah? Apa yang tak kena?" soal Aime sambil memandang Azki yang sudah bersandar malas di kerusi. Pandangan Azki yang tajam itu buat Aime kehairanan.

"Apa yang tak kena?" ulang Aime setelah Azki hanya berdiam dan memandang wajahnya. Entah apa yang tak kena ni...

"Kau."

"Aku? Kenapa?"

"Kau nampak lain."

Aime mengerutkan dahinya seketika sebelum tersenyum.

Manis senyuman Aime. Buat Azki rasa senang. Senyuman itulah yang membuatkannya jadi rindu setelah sejak pagi tadi senyuman itu tak kelihatan pada wajah Aime.

"Sebab aku potong rambut ke? Cuaca sekarang panas, rimas nak bela rambut panjang-panjang," kata Aime sambil menghadap semula kerjanya.

Azki memfokuskan pandangannya pada rambut Aime yang dipotong pendek sedikit, paras bahu. Ya, baru dia perasan rambut Aime yang sebelum ini panjang telah dipotong hingga ke paras bahu. Cantik tapi bukan itu yang dia fikirkan sejak tadi. Yang dia fikirkan sejak tadi adalah sikap Aime. Sejak pulang daripada kenduri di kediaman Arsyida, Aime menunjukkan sikap yang berlainan. Aime macam orang lain saja.

"Bukan pasal rambut..." gumam Azki.

"Apa dia?" soal Aime sambil memandang Azki semula. Antara dengar tak dengar saja apa yang Azki katakan.

"Tak... tu... cantik rambut kau tu," puji Azki. Tak jadi dia nak menyatakan hal yang sebenar. Rasa tersekat di kerongkong. Dilihatnya Aime tersenyum lagi dan menyambung semula kerjanya.

Azki melepaskan nafas panjang, pandangannya masih dihala pada Aime yang leka menyelesaikan kerja. Entah kenapa, ada rasa kosong dalam hatinya apabila Aime bersikap endah tak endah terhadapnya. Tapi, takkan nak minta Aime lebihkan dirinya tanpa sebab munasabah? Nanti Aime fikir dia mengada-ada. Mengada-ada tak apa lagi. Kalau Aime fikir dia buang tabiat, macam mana?

"Nak ke mana tu?" Spontan Azki menyoal apabila dilihatnya Aime bingkas daripada duduknya dan melangkah untuk keluar dari bilik.

Aime menoleh, memandang seketika ke arah Azki. "Adalah... kenapa?"

"Errr... saja tanya."

Aime menggeleng perlahan lalu kembali melangkah. Namun, apabila tangannya sudah memegang tombol pintu, sekali lagi Azki bersuara.

"Nak ke toilet ke?"

"Nak ikut ke?" soal Aime tanpa menjawab pertanyaan Azki itu.

"Errr... boleh ke?" Azki tersengih. Entah kenapa dia terasa mahu bergurau dengan Aime.

Miss XLWhere stories live. Discover now