BAB 2

5K 54 0
                                    

As'salam dan selamat petang
Bab 2 masih cerita pasal Alia dan saya ada masukkan sikit watak Dr. Haikal sebab watak dia akan muncul balik pada pertengahan cerita.Siapa dah baca dia tahulah.Selamat membaca semua.

Ketika Nurin Aira di tingkatan satu...
Suasana yang panas terik itu menyebabkan Nurin Aira memegang kepalanya dengan kuat. Kepalanya sakit tiba-tiba. Dunia seakan-akan berpusing-pusing. Akibat tidak mampu menahan kesakitan, Nurin Aira menuju ke tempat duduk di perhentian bas. Ketika itu jam menunjukkan angka dua petang. Dia ingin menunggu bas untuk pulang ke rumahnya. Tanpa disedari, dia terlanggar seorang pelajar yang turut berada di situ.
"Hoiii... Kau apa hal?" marah budak itu lantas menuju ke arah Nurin Aira lalu menolaknya. Akibat tidak dapat mengimbangkan badan, Nurin Aira terjatuh. Kepalanya semakin berpusing.
"Dia saja ajelah tu langgar kau," kata Hannah lalu menuju ke arah Safi, perempuan yang dilanggar oleh Nurin Aira sebentar tadi. Tergedik-gedik Hannah berjalan. Hannah merupakan sepupu kepada Nurin Aira. Tetapi mereka tidak pernah berbaik sejak kecil. Ibu Hannah iaitu Mak Cik Hasnah seolah-olah melancarkan perang kepada Nurin Aira dan keluarganya.
Safi dan Hannah menuju ke arah Nurin Aira yang masih lagi tidak bangun daripada jatuhnya. Hannah mengambil beg sekolah Nurin Aira lalu membukanya. Mereka terus membuang segala isi yang ada di dalam beg sekolah Nurin Aira. Buku teks, buku latihan dan alat tulis berteraburan di atas jalan tar. Nurin Aira tergamam. Dia memandang tajam ke arah rakan sebayanya itu.
"Safi, Hannah!" jerit Nurin Aira. Sakit hatinya apabila melihat barang-barangnya dibuang. Nurin Aira terus bangun. Sakit kepalanya hilang sedikit demi sedikit. Barang-barang miliknya penting. Dia bukan anak orang kaya yang mampu untuk membeli apa saja. Alat tulis yang digunakan sekarang merupakan alat tulis tahun-tahun lepas.
"Kau tak puas hati ke?"
"Kau diam, Hannah." Jari telunjuk Nurin Aira tepat dihalakan ke arah Hannah. Nurin Aira tahu yang Hannah saja ingin menyakitkan hatinya. Dia terlanggar Safi, bukannya Hannah. Hannah aje yang lebih-lebih. Sama macam emaknya.
"Aku langgar Safi, bukannya kau. Jadi kau jangan menyibuk. Okey Safi, aku nak mintak maaf. Aku tak sengaja langgar kau tadi." Nurin Aira tidak mahu memanjangkan cerita. Tangan dihulurkan untuk bersalaman dengan Safi.
Safi menepis. Tidak semena-semena dia menampar pipi Nurin Aira.
Nurin Aira tergamam. Terkejut.
Seumur hidup Nurin Aira, ibu bapanya sendiri tidak pernah menampar dirinya. Ini kali pertama dia merasakan peritnya sebuah tamparan. Dia tahu yang Safi marah kepadanya bukan sahaja kes dia melanggar Safi tetapi ada kes lain. Nurin Aira melihat Safi menuju ke arahnya lalu menolaknya lagi sehingga dia jatuh di atas jalan raya.
Tiba-tiba terdapat sebuah kereta Waja menyusur ke arahnya. Nurin Aira tergamam. Dia tidak sempat bangun dari atas jalan raya tersebut. Sempat matanya menghala ke arah Sufi dan Hannah. Wajah mereka pucat. Nurin Aira hanya mampu memejamkan matanya sambil berdoa supaya dirinya selamat. Dia tidak mahu mati lagi. Masih banyak tanggungjawab yang belum diselesaikan.
Ketika Nurin Aira memejamkan matanya, dia dapat rasa ada orang yang menarik tangannya. Nurin Aira terkejut. Pada saat itu juga dia dapat mendengar bunyi hon yang bertalu-talu dari kereta Waja tadi.
Aku selamatkah? Perlahan-lahan Nurin Aira membuka matanya. Dia masih terkejut akan keadaan yang baru sahaja berlaku.
"Adik... Adik tak apa-apa ke?" kata seorang seniornya. Dia menolong Nurin Aira bangun lalu menyapu-nyapu baju Nurin Aira yang kotor akibat terjatuh. Senior itu juga sempat membelek tangan Nurin Aira, takut-takut ada luka.
"Okey, nasib baik tak cedera. Lain kali hati-hati, ya? Nasib baik tak kena langgar," sambung perempuan yang memakai tanda nama Nora itu. Dia tersenyum manis. Cantik.
"Terima kasih, kak," ujar Nurin Aira.
"Kasih diterima. Hahaha. Okey, akak pergi dulu. Jaga diri baik-baik," nasihatnya kemudian mengalihkan pandangannya.
"Awak berdua lain kali jangan main tolak-tolak kat sini. Kalau dia kemalangan tadi, saya akan jadi saksi." Dia terus berjalan menuju ke arah sebuah kereta Saga yang baru sahaja berhenti di hadapan perhentian bas sekolah.
"Kak," panggil Nurin Aira.
Perempuan itu tidak jadi melangkah. Dia berpaling.
"Tangan akak berdarah," kata Nurin Aira sambil menunjukkan ke arah tangan kiri Kak Nora yang berdarah.
"Tak apa, sikit aje tak sakit pun. Bye. Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam." Nurin Aira hanya melihat Kak Nora masuk ke dalam kereta. Tanpa membuang masa, Nurin Aira terus mengutip kembali barang-barangnya lalu disimpan kembali ke dalam begnya.
Safi dan Hannah hanya melihat kelakuan Nurin Aira sambil berbisik sesuatu. Kadang-kadang mata dijulingkan ke atas. Sebenarnya mereka masih lagi terkejut dengan situasi tadi. Nasib baik tidak kemalangan.

KERANA DIA MANUSIA BIASAWhere stories live. Discover now