"Kau memang nak mati!" Penyerang kedua menjerkah. Aku mengundur setapak ke belakang, sambil menanti dia datang menyerang. Namun, satu tendangan lebih dahulu hinggap di dadanya. Serta-merta, lelaki tersebut melayang dan terhumban ke atas tanah.
"Tak ada sesiapa boleh sentuh isteri aku," desis Arjuna dengan mata membunuhnya. Nafas berdengus-dengus kasar. Mukanya basah dengan peluh dan darah yang bercampur. Sesudah itu, dia bergegas menghampiri dan mencapai pergelangan tanganku.
Masih dalam suasana kacau bilau, dia menarikku pergi. Seperti sebelum ini, kami berlari tidak tentu hala. Tempikan demi tempikan daripada konco Ma Zhengwen bergema dari belakang. Tidak cukup dengan itu, berdas-das tembakan berdesing di kiri dan kanan. Namun, tidak satu pun mengenai. Gerak Arjuna yang pantas, seperti memungkinkan kami mengelak. Atau mungkin juga, kami sekadar bernasib baik.
Kami berlari dan berlari dan berlari hingga akhirnya tiba di sebuah jeti. Automatik aku dan Arjuna mematikan langkah. Di hadapan kami kini, terbentang luas Sungai Chao Phraya. Kami berpandangan. Dada masing-masing berombak laju, cuba menyedut udara ke dalam jantung.
"Mana kau mahu lari lagi?" Suara sinis Ma Zhengwen mencelah dari belakang.
Lambat-lambat, kami memusing badan. Pegangan tangan Arjuna semakin ketat dan mencengkam, seolah-olah mengatakan bahawa dia tidak akan pernah melepaskan aku pergi. Dia akan bersamaku hingga ke akhirnya. Kami sama-sama memerhati Ma Zhengwen yang berdiri di samping konco-konconya. Seperti kami berdua, dia juga tercungap-cungap. Mukanya berdarah.
"Kau memang betul-betul menjengkelkan aku." Dia menyinis lagi. Sepucuk pistol yang dipegang oleh anak buahnya, dirembat dan dihala kepada kami. Namun tidak semena-mena, muncul satu susuk tubuh yang melompat tinggi dan menendang pistol tersebut dari tangan Ma Zhengwen. Tubuh itu kemudiannya mendarat di hadapan aku dan Arjuna. Ryohei!
Sekelipan, kami dilindungi oleh tubuh tegap Ryohei dan Sato. Mereka di hadapan, kami di belakang. Pada masa yang sama, telingaku menangkap bunyi deruan sebuah bot laju.
"Arjuna Kaede!"
Automatik, aku dan Arjuna menoleh ke belakang.
"Karn Klaharn," getus bibir Arjuna. Seperti aku, dia juga terkejut dengan kemunculan tiba-tiba lelaki tersebut.
Karn memberi isyarat kepada dua pengawal peribadinya untuk melompat keluar dari bot. Sekelip mata, mereka sudah pun berdiri di sebelah Ryohei dan Sato.
"Cepat!!!" Tempikan Karn bergema lagi. Dia memberi isyarat agar aku dan Arjuna melompat masuk ke dalam bot.
"Pergi, tuan." Arahan Ryohei menujah telinga.
Sesaat, Arjuna kelihatan serba salah. Namun selepas itu, dia memusing badan kepadaku. "Go!"
Aku tidak menunggu lama. Terus sahaja aku melompat ke dalam bot yang dikemudi oleh Karn Klaharn.
"Bangsat! Kau ingat kau boleh lari?!" tengking Ma Zhengwen sambil meluru ke hadapan. Akan tetapi, langkahnya dihalang oleh Sato yang lebih dahulu memintas dan menendangnya ke belakang.
Saat yang sama, Arjuna meloncat masuk ke dalam bot. Karn pantas menekan minyak. Bot yang dinaiki laju membelah Sungai Chao Phraya. Tempikan dan carutan Ma Zhengwen, bergaung menghantar pemergian kami.
Beberapa minit berlalu, aku menarik nafas panjang. Debaran di hati, semakin lama semakin perlahan. Aku melirik kepada Arjuna. Dia memandangku penuh kerisauan.

YOU ARE READING
SALJU KYOTO (Published)
Action'When a man truly loves a woman, she becomes his weakness. When a woman truly loves a man, he becomes her strength. This is called Exchange of Power.' Musim dingin 2015. Kyoto. Semuanya bermula pada malam itu. Aku cuma seorang wanita biasa yang ingi...