Bab 5

12.1K 648 5
                                    

AKU menilik penampilanku untuk kesekian kalinya. Aku mengenakan baju kemeja berwarna putih dan seluar jeans hitam. Wajahku yang tidak ada jerawat hanya disapu dengan bedak dan bibirku pula dioles dengan lipstik. Walaupun aku tak mengenakan sebarang mekap, namun langsung tidak menampakkan sebarang cacat cela di situ. Setelah itu, rambutku pula disanggul dengan kemas.

Qys menghampiriku dengan segelas mug di tangannya. Dia bersandar di tepi pintu bilikku dengan wajah yang nampak tak berpuas hati denganku.

"Kau serius la ni nak cari kerja dekat tempat lain? Dah fikir masak-masak?"

Aku hanya mengukirkan senyuman tawar. Sudah beberapa hari aku fikir tentang ini dan aku yakin dengan keputusanku walaupun Qys membantah sekalipun. Bahkan aku juga tidak memberitahu hal ini kepada ibu kerana tidak mahu ibu risaukan keadaan aku di Kuala Lumpur ini.

"Aku yakin rezeki semua datang daripada Allah. Doakan jela aku ni, mana tahu dapat kerja yang bagus nanti."

"Ceh bila dah dapat kerja dekat syarikat tu, dia pergi tolak pula. Tak pasal-pasal dah kena menyusahkan diri sendiri." Omel Qys sendirian tapi masih dapat didengari olehku. Aku pula saja melemparkan pandangan tajam ke arahnya. Suka hati dia je nak mengata aku eh.

"Okay- okay sorry. Tak apa ke kau naik grab je ni? Betul tak nak aku hantar?" Soal Qys yang saja mahu menukar topik perbualan itu.

"Kau jangan risau la. Aku ni dah 4 tahun tau duduk dekat Australia. Pandai la aku jaga diri nanti."

"Ceh! Confident lebih je kau kan?"

Aku tertawa kecil. "Okay la aku pergi dulu."

"Ingat! Kalau ada orang bagi gula-gula jangan ambil!" pesan Qys sebelum aku keluar meninggalkan rumah sewa mereka itu.





AKU melabuhkan punggungku di bangku yang tersedia di situ. Aku mengeluh berat tatkala sarat memikirkan pekerjaan ketika ini. Ini dah masuk kali ketiga aku ditolak. Apa yang tak kena pun aku tak tahu. Nak dapatkan jawatan biasa di sebuah syarikat pun susah apatah lagi jawatan tinggi yang sudah lama aku mahukan sebagai personal assistant. Nak kata bab penampilanaku rasa sama sahaja seperti waktu aku datang temuduga di Arjuna Holding. Ah! Aku jadi buntu memikirkannya.

"Apa yang aku nak buat ni," keluhku perlahan.

Aku mula terbayangkan wajah ibu yang berada di kampung. Wajah yang bersusah payah membesarkanku walaupun dalam serba kekurangan. Aku sedih juga sebenarnya kerana merasakan impian yang aku harapkan selama ini bagaikan musnah begitu saja. Aku tak sangka perkara yang aku takutkan selama ini kini menjadi kenyataan. Hampir seharian juga aku mengenang nasib diriku yang penuh malang ini.

"This is my card. Call me anytime bila awak rasa nak tukar fikiran."

Aku mengeluarkan kad bisnes tersebut. Tertera jelas nama Tengku Aryan di situ. Aku mengeluh berat. Terlalu sukar untuk aku membuat keputusan ini lagi-lagi melibatkan tentang lelaki itu.

Memang aku tak dapat nafikan, sejauh manapun aku cuba untuk melupakan dia, wajah Tengku Aryan selalu menjadi sebahagian dalam mimpi tidurku. Bayang-bayang Tengku Aryan yang sering menjadi dambaanku dulu sentiasa bermain-main di fikiranku. Namun sayang, hatiku sudah menanam kebencian yang dalam buatnya. Sejak itu juga, tidak ada mana-mana lelaki lagi yang mampu merebut hatiku lagi. Cukuplah sekali aku pernah dipermainkan dengan begitu mudah oleh seorang lelaki seperti itu.

"Mungkin dia dah jumpa pekerja baru yang dapat gantikan aku. Kalau macam tu baguslah. Aku tak perlu nak hadap dia lagi," bisik hatiku ketika itu.

Aku tersentak tatkala telefonku mula berdering di dalam beg. Aku pantas keluarkannya dan tertera nama Mak Long di skrin telefonku itu. Wajahku berubah serta merta. Mak Long jarang menghubungiku melainkan kalau ada perkara penting yang perlu diberitahu kepadaku. Entah kenapa saat itu hatiku jadi tak enak. Cepat-cepat aku mengangkat panggilannya itu.

"Ya Allah! Ibu dekat hospital?!"

Aku mengucap panjang ketika dikhabarkan tentang perkara itu. Hampir luruh jantungku saat itu. Aku dapat rasakan duniaku semakin gelap tanpa ibuku di sisi.

"Maklong tolong jagakan ibu. Nayra akan balik kampung secepat yang mungkin!" tanpa menunggu sesaat aku terus putuskan talian.

Aku cuba kawal emosiku ketika ini. Aku cuba untuk menahan air mata yang bertakung di kelopak mata dari merembes turun ke pipi.

"Ya allah dugaan apa pula kali ini."

Bidadari Arjuna | EbookUnde poveștirile trăiesc. Descoperă acum