CERITA CINTA SILAM: BERUTUS SURAT

1.2K 13 5
                                    

Semalam dan kelmarin hujan mencurah bagaikan tidak beri peluang kepada penduduk bumi melangsungkan hidup. Mat-minah jogging terpaksa lepak dalam rumah dan mengeluh. Petani tak dapat mengangkat cangkul. Pemain bola tetap main bola seperti monyet. Orang pejabat berteduh dalam kedinginan pendingin hawa.

Saat itulah, hujan seakan menjemput memori indah percintaan dahulu kala. Aku teringat kisah manis tentang percintaan zaman silam. Aku tersenyum sambil hirup teh tarik. Walaupun teh tarik tu tak berapa sedap, tapi aku tetap hirup untuk nampak macam brader-brader.

Aku pernah menikmati cinta yang menjadi asam garam tiap-tiap remaja yang akalnya masih putih tak dicemari hitam duniawi. Ianya bermula sekitar tahun 2005-2006. Pada waktu itu, mahu mentadbir cinta tak mudah macam hari ni. Hari ini, segalanya mudah. Hubungan di hujung ibu jari. Aplikasi macam-macam jenis. Yang tidak-tidak belaka. Internet berangkai memudahkan kerja. Budak muda dengan wenangnya boleh salin ayat cinta di internet dan buat macam ayat sendiri. Kemudian hantar kepada makwe. Di mana ketulusan cinta?

Tidak seperti kami yang membesar di zaman 'Ruang Kenalan' dalam majalah-majalah. Baik majalah pelajaran terkandung formula SPM atau majalah hiburan artis bersidai tepi kolam renang, tetap ada 'Ruang Kenalan.' Di situlah aku memulakan misi bercinta.

Aku cilok satu majalah hiburan dekat rumah mak cik aku. Muka depan majalah tu tunjuk penuh gambar Elyana. Elyana waktu tu memang hit walaupun dia nyanyi lagu bukan-bukan iaitu lagu tapak sulaiman dengan lagu satelit. Dalam lagu cinta, apa saja boleh jadi simbolik cinta. Seekor lipan dan setongkol jagung pun boleh jadi kisah cinta yang mantap dalam lagu kalau penulis liriknya mahu.

Disebabkan Elyana di muka depan majalah hiburan itu semacam mengenyit mata dan melemparkan ciuman terbang kepada aku, aku cilok tanpa kompromi.

Malamnya aku selak-selak baca. Tapi misi aku tetap satu. Aku bukak terus 'Ruang Kenalan.'

Bagaikan satu tarikan jodoh, aku ternampak gambar salah seorang pengirim. Seorang makwe bertudung. Tinggal di Kedah. Ada alamat dengan cogan kata hidup: 'Study biar lepak. Result biar gempak.' Nama dia Suraya. (Bukan nama sebenar).

Aku pun tanpa berfikir panjang, terus mencari kertas kajang untuk memulakan misi bercinta. Kertas kajang aku jumpa. Ada satu helai terlukis lukisan ayam. Apa jadah aku lukis ayam dekat kertas kajang? Mungkin waktu aku lukis tu waktu mata pelajaran Sejarah.

Aku koyakkan kertas berlukisan gambar ayam tersebut, renyukkan sampai jadi bola dan kemudian campakkan ke belakang tanpa menoleh. Nak tulis surat cinta, mestilah dengan kertas yang bersih. Sebersih hati yang mengemis sedikit kasihan dan cinta.

Lalu aku tulislah semanis dan semerdu mungkin.

********

Kami berutus-utus surat hampir setahun lamanya. Kau takkan faham perasaan berkorban duit membeli sampul surat, beratur di pejabat pos membeli setem, mencari kertas berkualiti untuk ditulis, pen dakwat basah khas untuk menulis surat, juga sedikit kos untuk membeli bedak yang berbau tidak terlalu kuat. Warna lembut kata orang. Semata-mata untuk bercinta melalui surat. Bayangkan dari Johor ke Kedah, dari Kedah ke Johor, betapa besar jasa seorang brader posman dalam dedikasinya menjalankan tugas. Bagi memastikan hubungan cinta kami takkan pernah putus. Aku sayang benar kepada Suraya.

Benar kata orang tua. Kalau dah jodoh, takkan ke mana. Suatu hari, posmen memberi aku dua pucuk surat. Satu surat dari universiti tempatan 100% bumiputera, satu lagi surat dari Suraya. Satu tulisan berkomputer, satu lagi tulisan tangan milik Suraya. Aku memegang kedua-dua sampul surat itu sambil berkira-kira memilih nak bukak mana satu dulu.

Dari cerita Blues Clues, sampai ke cerita Spongebob baru aku buat keputusan untuk baca surat Suraya dulu. Surat dari universiti tu nanti pun boleh baca.

"... Ke hadapan sayang Khuz ... [SKIP ISI SURAT]

... Saya dapat masuk U*** !"

Aku bingung campur gembira. Aku gembira makwe aku masuk universiti 100% bumiputera. Aku bingung sebab nanti mesti ada lelaki lain jatuh cinta. Lalu ajak bercinta. Suraya ni bukan tak lawa. Berkeping-keping gambar dikirimkan bersama surat. Boleh sasau aku hanya dengan gambar.

Kalau dia dirampas lelaki lain di universiti, terpaksalah aku nyanyi lagu Exists - Kekasihku Di Menara Gading. Itu dah menentang prinsip rock.

Aku pasrah dan buka pula kertas bertulisan cetakan komputer. Nama aku berbinkan bapak aku ditulis dengan huruf besar.

Bulat terus mata aku. Aku juga diterima masuk di universiti sama dengan Suraya! Cuma lain jurusan. Dia jurusan orang akaun sementara aku jurusan orang bisnes.

Hal gundah bertukar ceria.

*********

Dah empat semester aku belajar di universiti 100% bumiputera itu. Namun, tidak sekalipun aku pernah berjumpa dengan Suraya.

Dari berutus surat, kami berubah ke medium SMS atau panggilan telefon. Kami sama-sama tidak mahu bertemu di kampus bila duduk kolej kediaman. Kami sama-sama mahu sorok identiti percintaan kami. Biarlah percintaan hanya dalam telefon dan SMS.

Namun bila dah semester empat, ramai siswa dan siswi yang kurang aktif, tak banyak cop aktiviti dalam kad aktiviti, takde kabel dengan Yang Di Pertua persatuan, tak rapat dengan wakil pelajar, memang duduk luar. Itu juga satu yang aku belajar di universiti:

"Hidup ini perlukan kabel."

Tapi jodoh itu sentiasa bergerak seiring. Suraya juga menginap di rumah sewa. Cuma lain taman perumahan dengan aku. Sama nasib dengan aku. Cop aktiviti kurang.

Di situlah bakal bermulanya pertemuan kami. Kami memutuskan untuk berjumpa di sebuah taman rekreasi terkenal di daerah universiti tersebut.

Pagi itu aku bangun bagaikan seorang pemenang. Aku bangun awal. Pukul 11:40. Masih pagi.

Aku mandi sebersih mungkin. Terima kasih kepada sorang budak rumah sebab tinggalkan shampoo dalam bilik air. Dapatlah aku bershampoo rambut sambil menyanyi lagu-lagu A Rahman Hassan.

Selesai mandi, aku berdepan situasi sukar. Situasi itu ialah untuk memilih baju apa aku harus pakai. Sudahnya aku pakai baju t-shirt kolej sebab baju lain basah sebab baru sidai. Aku tetap ok. Siap menyikat rambut gaya ketika itu (pacak tajam gaya Ultraman), aku tuding jari ke cermin dan mengucap syabas kepada diri sendiri.

"Akhirnya. Jodoh menghampiri engkau!"

Aku tendang starter motor dan bergegas ke taman rekreasi dimaksudkan.

*****

Suraya memang cantik bila depan-depan. Aku tak sangka aku selama ini bercinta dalam utusan dengan manusia bagaikan bidadari. Wajahnya lembut ayu bujur sireh dengan kulit putih tidak dicemari apa-apa jerawat. Tingginya juga saing-saing tinggi wanita Malaysia. Suaranya cukup lunak, sama macam dalam telefon.

"Abang bawak motor?"

"Ya..." Jawab aku ringkas.

"Takde kereta?"

"Belum beli..."

Itulah kali pertama dan kali terakhir aku berjumpa Suraya setelah hampir tiga tahun bercinta melalui utusan surat dan telefon.

Beberapa hari kemudian, aku nampak Suraya naik kereta di tempat duduk penumpang hadapan seorang pelajar lelaki yang lagi hensem, berjawatan wakil pelajar dan anak orang kaya. Dia ada kereta sendiri.

Apalah khabar bekas makwe aku tu. Dah kahwin agaknya. Dengar-dengar dia jadi cikgu Matematik sekarang.

CERITA CINTA SILAMWhere stories live. Discover now