CINTA CINTA SILAM: CINTA DAN PISANG GORENG

147 3 0
                                    

Sekarang ni musim hujan. Kadang-kadang aku terfikir, hujan hari ini adakah sama dengan hujan bulan lepas? Atau hujan tahun lepas? Atau hujan sepuluh tahun lepas? Sebab aku dapat rasakan, seolah-olah setiap hujan yang turun, ia membawa turun bersama kenangan yang pertama tersulam dalam rintiknya.

Ewah. Intro macam barua.

Ya. Setiap permulaan cerita cinta mendayu seperti di atas, sebenarnya merupakan satu bentuk penindasan bagi pembaca. Setiap dalam diri kita, sudah tersemat nilai rock. Cuma persekitaran lembik yang membentuk kita. Lantaran itu, tumbuhlah lagu-lagu budak tak mummaiyiz dengan suara belum baligh dengan lirik memohon membunuh diri.

Ramai tak tahu, 4 tahun lepas, aku pernah berkarier sebagai tutor di rumah. Aku mengajar anak-anak orang kaya yang tak mahu ke sekolah. Atau ibu bapa yang mahukan pendidikan tambahan terbaik buat anak mereka.

Subjek utama yang aku ajar, Prinsip Perakaunan. Namun begitu, ada juga yang aku ajar Bahasa Melayu atau Matematik.

Seorang pelajar aku, cukuplah aku namakan dia Azrul (Bukan nama sebenar). Anak kepada seorang orang tinggi dalam syarikat telco. Rumahnya di Ukays Perdana. Besar jangan cakap. Dah macam dewan serbaguna dua tingkat yang biasanya jadi penempatan banjir.

Azrul ni budak yang cekap dalam pelajaran. Tapi sayang, dia tak nak ke sekolah. Dia cuma nak belajar di rumah dan mengambil SPM secara swasta. Rambutnya juga panjang. Melebihi paras bahu. Itu aku maafkan. Kerana itulah perkara asas dalam menyemai sifat rock dalam diri.

Apa yang memberi semangat untuk aku terus mengajar Azrul adalah, khabarnya dia ada seorang kakak. Katanya kakak dia seorang eksekutif di syarikat penerbitan. Aku cuma acuh tak acuh untuk ambil tahu pada mulanya.

Sampailah pada suatu hari, kakaknya sendiri yang membuka pintu rumah sewaktu aku nak mulakan sesi pembelajaran.

"Oh. Ni ke Cikgu Khuz? Masuklah. Azrul ada dekat dalam."

Matanya sahaja sudah cukup memaku naluri kelelakian aku. Kecerahan kulitnya seolah-olah dibiasi lampu rumah yang bergantungan di siling dengan reka bentuk elegan. Senyumannya tak perlu meleret, hanya tipis, sudah cukup memberi restu untuk aku terus mengajar adiknya.

Aku makin bersemangat mengajar Azrul. Aku curahkan sepenuh raga aku dalam membantu Azrul terus cekap dalam urusan Prinsip Perakaunan. Setiap nilai digit, setiap prinsip, setiap nama akaun, setiap keseimbangan debit-kredit semuanya aku ajar tanpa mengenal erti lelah.

Hujung tahun, telefon bimbit jenama Nokia lampu picit aku berdering lagu monophonic.

"Assalammualaikum. Cikgu Khuz ya? Terima kasih cikgu! Adik saya dapat A SPM subjek Prinsip Akaun dia. Terima kasih cikgu!" Aku kenal suara di hujung talian itu. Itu suara kakak kepada Azrul. Diana namanya.

"Ye ke? Syabas!" Aku tak tahu nak sembunyikan bagaimana lagi kegembiraan aku. Aku cuma menumpang sedikit, selebihnya pastu keluarga mereka yang meraikannya.

"Macamana saya nak balas jasa cikgu? Cikgu cakap je. Nak makan malam di KLCC? Komputer berteknologi tertinggi? Telefon bimbit? Kereta sport? Bercuti ke luar negara?" Diana beria-ia semacam ingin membalas budi. Aku yakin Diana mewakili suara ibu bapanya.

Pasti keluarganya juga merestui kalau aku dan Diana berkawan sehingga mencetus hubungan percintaan. Tiada apa yang salah. Diana sendiri juga sudah lama menyendiri kerana kali terakhir dia bercinta dengan seorang anak Datuk yang berperibadi moral tidak baik. Suka pergi kelab dan bertukar wanita.

"Eh! Tak payah susah-susah! Saya tak harap semua tu. Lagipun parents awak dah bayar saya kan." Aku menolak dengan menekan unsur-unsur integriti.

"Alaaa. Tu lain. Ni kira hadiah untuk cikgu." Diana memaksa juga.

"Baiklah. Kalau begitu. Saya tak nak banyak. Cukuplah esok kita keluar makan."

"Serius ni? Ok!" Diana bersetuju.

*******

"Pertama sekali. Tak payahlah panggil saya 'cikgu'. Tugas saya sebagai pengajar tambahan adik awak, dah pun selesai." Aku memulakan bicara sebaik kami dapatkan meja di sebuah gerai. Cuaca agak mendung dengan hujan separa renyai turun membasahi bumi.

"Habis tu nak saya panggil apa?"

"Panggil la sayang. Hehehe." Aku bergurau dalam hati.

"Panggil Khuz dahlah." Yang ni aku bersuara.

"Ok Khuz. Tapi, Khuz takpe ke makan kat gerai tepi jalan ni? Saya nak belanja makan sedap-sedap tau sebenarnya." Diana bertanya aku. Aku cuma leka melihat wajahnya. Mungkin ini wanita yang dikirimkan untuk aku menikmati sedikit nikmat cinta.

"Alaaa. Makan apa pun tak penting. Yang penting kita menikmati makan bersama. Gitu..." Aku bersuara steady tanpa tinggi atau rendah nada suara aku.

"Amboi. Khuz nak ngorat saya ke ni?"

"Hehehe."

Kemudian sampailah sepinggan pisang goreng dan minuman. Aku pesan pisang goreng tadi. Nanti malam lah baru terniat makan nasi.

"Haaa. Makan goreng pisang je ke? Takpe ke ni?" Diana pelik.

"Pisang goreng wahai Diana. Bukan goreng pisang. Awak kalau order mi goreng, awak sebut goreng mi atau mi goreng?" Aku jelaskan.

"Amboi. Taulah cikguuu..." Diana mencebik.

"Hahaha. Alaaa. Guwau je punnn." Teringin sangat aku cubit pipi Diana.

Tiba-tiba aku berasa sedikit hairan dengan hidangan pisang goreng tersebut. Namun dengan selamba Diana menyua sebiji ke dalam mulutnya tanpa rasa bersalah.

"Kak! Mintak sambal kicap!" Aku melaung kepada petugas gerai. Seluruh isi gerai terdiam serta-merta. Baik pencuci pinggan atau pelanggan, semua memandang tepat ke arah kami dengan mulut tergamam dan masing-masing wajah berkerut.

"Khuz. Orang KL mana makan pisang goreng dengan sambal kicap. Kami makan dengan sos." Diana tanpa berdosa mencalit hujung pisang goreng dengan sos cili dan makan tanpa ragu-ragu.

Aku rasa mahu menangis.

****

Malamnya aku makan nasi bujang sorang-sorang. Tak perlulah aku teruskan hubungan tersebut kalau aku terpaksa makan pisang goreng dengan sos cili.

Pisang goreng mesti makan dengan sambal kicap! Barulah Johor! Ada ke patut makan dengan sos??? Hnss hnss hnsss.

CERITA CINTA SILAMNơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ