CERITA CINTA SILAM: SARAPAN

153 2 0
                                    

Kisah ini baru je terjadi baru-baru ni. Aku harap jadilah renungan kita bersama.

Pagi tu, hujung minggu. Tekak aku terasa mahu sangat makan roti canai di kedai Pak Samad (bukan nama sebenar). Dalam kampung aku ni, kedai Pak Samad sahaja satu-satunya kedai yang menyediakan roti canai secara Melayu. Umum kita tahu, ada perbezaan antara roti canai Melayu dan roti canai Mamak. Kedua-dua unik dan ada peminatnya tersendiri. Tak kisahlah tepung roti canai Mamak diuli dengan kaki sekalipun, pemakannya tetap ramai.

Kedai makan Pak Samad ni biasa mula operasi awal-awal pagi. Dalam Yong Peng ni, Pak Samad sahajalah satu-satunya yang suka pasang lagu-lagu rock 80-an dan 90-an. Kalau kedai lain, entah lagu menda-menda. Kadang-kadang suara penyanyi macam belum mumayiz pun kedai lain pasang.

Pernah sekali aku makan di kedai Pak Samad, dia pasang lagu The Unforgiven dendangan Metallica. Biarpun sudah berusia dan kerap memakai kopiah, jiwa rocknya masih segar. Inilah pak cik paling rock pernah aku jumpa. Usia tidak pernah mematahkan semangat rock.

Kerana sifat rock yang diterapkan Pak Samad, aku suka kedai dia. Dia tak perlukan anak gadis berfigura sedap macam kedai-kedai lain lakukan. Kedai Pak Samad ni terletak di deretan lot-lot kedai lain. Oleh sebab masih pagi, kedai Pak Samad sahaja yang baru beroperasi.

Biasanya aku makan lontong pagi-pagi. Tapi kali ni saje teringin makan roti canai. Aku tiba di kedai Pak Samad dengan satu tekad, satu harapan, satu impian, iaitu nak makan roti canai. Pak Samad juga penuh seni dalam susun atur mejanya. Seni mengikut naluri. Selain meja-meja dalam kedai, dia juga membuka beberapa meja di laluan kaki lima. Kawtim sikit dengan kedai-kedai sebelah yang lambat bukak.

Aku pilih meja paling hujung di kaki lima. Kiranya melangkau dua buah kedai yang masih tutup. Pak Samad sendiri datang buat pesanan.

"Lontong sate?" Pak Samad cuba menduga kesetiaan aku di kedainya.

"Hari ni nak roti canai je la Pak Samad. Bikin 3 keping! Kasik garing! Dengan teh tarik."

"Mantap!" Pak Samad membuat isyarat bagus. Berkilau juga dua bentuk cincin batu di jarinya. Satu warna merah. Satu warna hijau.

Corong speaker Pak Samad sedang memasang lagu Kalimah Cinta nyanyian Amy Search. Pak Samad tak pernah gagal menyediakan santapan rohani rock bagi pelanggannya.

"Akuuuuuuuu~ Insan yang terdampar. Yang tinggal, mengemis, cintaaaaa~~~!!!" Peh. Baru sedap aku nak tarik part korus, pesanan aku dah sampai. Terpaksalah aku biarkan Amy Search nyanyi sorang-sorang di corong speaker. Aku lebih utamakan makan.

Selesai memakan roti canai, aku menghirup teh tarik yang masih hangat. Lalu aku nyalakan sebatang rokok. Sarapan sorang-sorang ni benda yang agak sedap sebenarnya. Di samping kita cuba merancang apa yang hendak kita lakukan seharian, kita juga boleh main Twitter.

Sedang sibuk aku membalas tweet-tweet ucapan selamat pagi makwe-makwe cantik dan mengabaikan tweet makwe tak cantik di talipon bijak, ada satu suara wanita agak gemersik menegur.

"Abang. Boleh mintak tolong tak?" Aku toleh ke kiri. Ada seorang wanita berjubah warna merah jambu dengan tudung lubuh. Aku kira ketinggiannya setara bahu aku. Tapi comel. Wajah comelnya berbaur meminta simpati dan semacam berada dalam kondisi sulit.

Rokok di tangan masih bersisa. Aku habiskan dan hembus ke kanan. Biar asap tak kena makwe tersebut. Lalu aku buang puntung jauh-jauh.

"Kenapa? Mintak tolong apa?"

"Ni hah. Pintu kedai saya ni tak boleh bukak. Boleh tak mintak tolong tolakkan ke atas?" Makwe tersebut meminta tolong merujuk kepada pintu kedai tempat betul-betul aku duduk. Pintu kedai jenis tolak ke atas.

"Oh. Boleh je."

Tak sampai 2 minit, aku berjaya menolak pintu tersebut naik ke atas. Kuncinya sedikit tersangkut dan perlukan sedikit tenaga.

Rupanya-rupanya kedai tersebut adalah pejabat agensi pelancongan Islamik. Selain mengurus hal ehwal pergi umrah, agensi tersebut turut menyediakan perkhidmatan pakej pelancongan ke negara-negara Islam.

Mendengar tadi dia ada sebut 'kedai saya', aku kira gadis ini mewarisi perniagaan bapanya. Mungkin sekarang bapanya sedang di rumah dan sibuk menguatkan agama. Jadi, perniagaan ini diturunkan kepadanya. Gadis ini anak yang sulung dan lebih meminati bidang perniagaan berbanding bekerja di pejabat. Oleh sebab memiliki latar belakang keluarga kuat agama, gadis ini memilih untuk membuka perniagaan berkaitan agama. Aku kira namanya mungkin Fatimah atau Umairah atau Haliza atau Nur.

Benarlah pepatah Greece, "Bangunlah pagi, nescaya anda akan bertemu jodoh." Tak pernah terlintas langsung untuk aku bermakwekan makwe berimej Ustazah. Bayangan kenduri kahwin serba ringkas yang patuh pada hukum-hakam agama tiba-tiba hilang bila makwe tersebut mengucapkan terima kasih.

"Terima kasih ya abang." Senyuman tidak ke mata, tapi masuk ke hati.

"Sama-sama." Aku terus duduk kembali. Aku sedang membelakangkan kedai agensi pelancongan tersebut. Aku keluarkan telefon bijak dan mula melayari internet mencari-cari lokasi negara Islam yang jadi tumpuan pelancongan. Kejap lagi boleh lah buat-buat masuk kedai dan berborak hal negara tumpuan.

Tak semena ada seorang brader menegur aku dari belakang.

"Bro. Tadi bro ke bukakkan pintu ni?"

"Ha'ah. Ya. Kenapa?"

"Terima kasih tau bro tolong orang rumah saya. Takpe. Makan tu saya bayarkan. Terima kasih tau." Dia terus beredar masuk ke dalam kedai.

"Ya. Sama-sama." Ucapan 'sama-sama' aku mendatar sebaik terdengar perkataan 'orang rumah'. Kedua-dua lengan aku letakkan di atas meja secara terbuka. Pandangan aku terlempar jauh bernada kosong. Nafas aku agak perlahan. Jiwa aku terasa kelam. Sementara corong speaker kedai Pak Samad memainkan lagu Saleem berjudul Bukan Aku Tak Cinta.

Tau aku buat-buat tidur je tadi. Tak pun pura-pura jadi kerusi.

CERITA CINTA SILAMWhere stories live. Discover now