CERITA CINTA SILAM: LUASKAH CINTA?

255 7 0
                                    

Mac 2052

Aku duduk di kerusi malas sambil membelek-belek akhbar. Akhbar itu diberikan oleh Johnny kepada aku. Johnny merupakan seekor anjing adiwira. Dia berbaka Rottweiler. Dek kerana keadiwiraannya, Johnny tak dimakan usia. Dia masih sihat dan kuat sama seperti 25 tahun dahulu. Selepas dia berikan surat khabar, dia beredar keluar membasmi jenayah di tengah kota Kuala Lumpur.

Dan aku sempat samak surat khabar itu.

Tiada berita yang menarik. Apatah lagi selepas 2 tahun Transformasi Nasional 2050, Malaysia telah mencapai status negara hebat. Kadar buta huruf hampir mencecah 0%. Lebuh raya dan rel keretapi bercambah bagaikan urat saraf di lengan. Cuma pasokan bola sepak masih menendang bola macam budak tadika.

Tapi berita yang paling sedap, sudah tentulah di bahagian belakang akhbar. Chelsea tetap unggul sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris. Kalau berjaya menjadi juara, itu kejuaraan ke-19 berturut-turut Chelsea.

Aku meletakkan surat khabar di tepi dan berdiri di balkoni melihat hiruk-pikuk Kuala Lumpur. Kuala Lumpur tetap sibuk bagaikan tiada erti lelah. Tiba-tiba aku teringat akan seorang sahabat yang seperjuangan dengan aku dahulu, Zailee. Hari ini, Zailee berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Itali untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit batu karangnya.

"Abang nak ke mana tu?" Tegur isteriku sebaik melihat aku menyarung t-shirt smart. Isteriku masih cantik sama seperti 25 tahun dahulu.

"Nak melawat Zailee. Dengarnya dia dah balik Malaysia semalam."

"Oh. Kirim salam Kak Zani." Kak Zani itu merujuk kepada Ezany. Isteri Zailee.

"Ok." Aku keluar dari rumah. Sampai di kereta baru nyalakan rokok. Tak berani hisap rokok dekat rumah. Bini aku garang kot.

********

2017

"Kau nak pergi mana ni Lee? Pakai smart-smart. Dah gila ke?" Tegur aku yang masih berbalut tuala di pinggang. Hari itu hari Ahad. Orang gila je bersiap pagi-pagi dan keluar.

"Adalah. Aku nak pergi jumpa makwe." Zailee tidak menoleh ketika sibuk menyisirkan rambut.

"Kahkahkah!" Aku malas nak layan Zailee, bukak TV dan tengok rancangan bual bicara pagi-pagi. Nasib baik pengacara dia lawa. Kalau tidak, boring jugak.

Zailee terus keluar rumah dengan satu wawasan, satu matlamat, satu impian. Iaitu ingin berjumpa makwe buat kali pertama di pesta buku.

Pesta Buku merupakan satu temasya besar-besaran bagi penggiat dan peminat buku. Saban tahun, acara itu akan diadakan di bangunan PWTC lebih kurang dalam 5 hari. Maka berbondong-bondonglah peminat buku membanjiri kawasan temasya.

Zailee mengenali seorang gadis melalui laman sosial Facebook. Nama gadis itu Amelia. Amelia jatuh cinta terhadap Zailee dek keupayaan Zailee mengupas isu dan menulis dalam bahasa yang mudah difahami umum. Formula Zailee mudah. Menulis biar penuh. Bukan mengeja macam orang cacat.

Mereka bermula dari ruangan Facebook Messenger. Berborak hal-hal semasa sehinggalah kepada soal wanita dan soal hati. Dan hari ini, percintaan mereka aka mencatat sejarah, iaitu bertemu buat pertama kali di pesta ilmu. Bukannya berjumpa pertama kali di kompleks membeli-belah dan makan ayam goreng.

"Awak dekat mana? Saya sampai PWTC dah ni." Zailee menghantar WhatsApp kepada Amelia.

'Beep!'

"Saya baru turun LRT ni. Awak dekat bahagian buku mana?"

'Beep!'

"Saya depan eskalator ni."

Satu tanda. Ini satu malapetaka. Barangkali telefon bijak Amelia sudah kehabisan bateri. Atau rangkaian telco yang dilanggan Amelia telah membuat perangai monyet.

Berkali-kali Zailee cuba menelefon Amelia tapi buntu. Orang perempuan di hujung talian tetap memberitahu Amelia gagal dihubungi dan suruh cuba sebentar lagi.

Zailee mula gelisah. Dia mula berjalan meliar dalam temasya buku yang bukan kecil-kecil acara dan dibanjiri ribuan manusia itu. Zailee tak pernah jumpa Amelia. Dalam kepalanya cuma berpandukan imej Amelia dalam Facebook. Seorang gadis bertudung litup dan berkulit cerah. Kebanyakan gambar Amelia hanya close-up ke muka dengan filter kecerahan melampau. Tapi itu masih ok bagi Zailee.

Dari tingkat bawah, Zailee mula berjalan ke tingkat atas. Dari tempat buku komik, Zailee pergi ke buku indie. Dari melihat orang menjerit perjuangkan entah apa-apa semata-mata untuk lariskan buku, Zailee menuju ke kawasan kanak-kanak mewarna. Dari kelompok buku pelajaran, Zailee lalu ke kawasan buku agama-agama. Dari pertandingan teka silang kata, Zailee masuk kelompok buku masak-masak. Dari tersiku tubuh wanita, kadang-kadang terlutut kepala budak.

Semuanya buntu. Zailee tak jumpa seorang gadis pun menepati ciri-ciri dalam gambar Amelia.

"Tempat ni luas kot! Macamana aku nak cari Amelia?" Zailee cemas dalam kesamaran waktu.

Zailee perlahan-lahan berjalan sambil memerhati sekeliling sambil berharap magis menyebelahi dirinya.

Tiba-tiba mata Zailee tertancap ke seorang gadis yang seolah-olah sedang menunggu seseorang. Dia ialah seorang gadis berambut panjang, dengan kulit cerah. Berdagu agak tirus. Memakai baju merah agak ketat menonjolkan aset kewanitaannya. Wangian dari tubuh gadis itu tertusuk ke rongga hidung Zailee.

"Hai. Tengah tunggu orang ke?" Zailee menegur.

"Ha'ah. Patutnya saya jumpa kawan saya. First time nak jumpa dia ni."

"Siapa?" Zailee mula hairan.

"Akhmal. Awak Akhmal ke?"

"Bukan. Saya Zailee. Saya pun tengah cari orang. First time jugak nak jumpa dia."

"Oh. Saya dah lama berdiri ni tunggu dia." Gadis itu mengeluh.

"Macam ni je la. Saya dah penat cari kawan saya. Awak pun dah penat tunggu kawan awak. Jom kita pergi makan?" Zailee mempelawa.

"Jomlah. By the way, nama saya Atiqah." Gadis itu perkenalkan diri.

Lalu Zailee dan Atiqah beredar dari kelompok manusia yang gilakan buku itu.

********

"Semua lelaki sama je! Tak guna!" Amelia yang tercongok di depan eskalator, melihat jam sudah pukul 5 petang. Mengeluh bagai tiada hari esok.

Sementara itu di rumah, Akhmal baru bangun tidur. Macam tiada apa-apa berlaku, dia nyalakan rokok tanpa menggosok gigi dahulu.

CERITA CINTA SILAMWhere stories live. Discover now