KERANA CINTA, KU TANGKAP TENGGILING

129 4 0
                                    

KISAH SILAM PERCINTAAN: KERANA CINTA, KU TANGKAP TENGGILING

Aku menyua cubitan ayam KFC ke dalam mulut dengan cara lelaki makan ayam goreng. Sementara Cikgu Ina dengan penuh kesusilaan makan ayam goreng dengan cara paling ayu dan lemah-lembut.

Dekat Yong Peng ni, inilah satu-satunya restoran makanan segera sebelum wujudnya Pizza Hut. Pernah wujud MarryBrown, tapi tewas dari segi ketaksuban orang terhadap KFC. Mustahil kalau MarryBrown kena santau dengan KFC. Nanti apa pula kata lembaga pengarah KFC kalau melihat penyata kewangan tahunan mereka pernah membayar khidmat bomoh siam.

Suasana dalam KFC Yong Peng tu agak lengang. Mungkin belum betul-betul petang. Cuma ada la beberapa anak muda yang berkumpul dan memakan ayam goreng. Atau mungkin ibu mereka tiada di rumah.

"Awak. Bila kita nak pergi jalan-jalan Batu Pahat tengok wayang?" Tiba-tiba Cikgu Ina bersuara. Ah! Aku pasti hari ini pasti tiba. Dan inilah persoalan yang sebolehnya aku tak nak dengar. Tak boleh ke makwe aku ni sembang hal budak-budak sekolah dia je? Atau pasal mak cik kantin?

"Nak buat apa pergi sana. Bukan best pun. Yong Peng ada fun fair apa?"

"Alaaa. Dah 3 bulan bercinta, asyik-asyik makan ayam goreng. Tak pun pergi dataran. Tak pun pergi fun fair. Boring la gini." Cikgu Ina mengomel. Dia bukan orang Yong Peng. Dia cuma dihantar oleh pendidikan untuk mengajar di sini. Nasib dia baik sebab dia mengajar kelas adik aku. Lantas aku mengambil peluang mengenalinya.

Habis? Takkan aku nak bawak dia main snuker pulak?

"Alaaaa. Best apa Yong Peng." Aku masih makan ayam goreng. Sesekali aku melihat tag nama di tudungnya. Masih lagi nama Ina. Tak tertukar nama Atiqah atau Zalikha.

"Kalau awak tak nak bawak saya pergi Batu Pahat weekend ni, saya tak nak kawan awak dah." Cikgu Ina mencebik. Aku tewas dengan cebikan itu. Sekumpulan anak muda berpaling ke arah kami. Aku pasti mereka bercakap-cakap sesama sendiri. Sekali aku curah sos thai dekat muka karang baru tahu.

*****

Aku dan Napi menonton perlawanan bola sepak di TV sebuah restoran mamak. Masa tu, gelombang merah biru tak wujud lagi di bumi Yong Peng. Nak harap tengok orang pakai baju oren? Memang itu harapan paling suci pernah aku tanam dalam jiwa aku. Yang tak pernah kesampaian.

"Weh Napi. Mana nak cari job gaji cash?" Aku bertanya Hanafi. Dia menghirup Milo ais. Muka je ganas. Minum air budak-budak.

"Apasal?"

"Makwe aku hah. Ajak pergi Batu Pahat tengok wayang. Aku mana ada sen siaaaaaaak."

"Kahkahkah!!! Dah tahu miskin, nak jugak bercinta."

"Celake. Macamana weh nak cari cash?"

"Meragut la."

"Otak kau. Ingat aku rempit? Lain?"

"Kau tengok besi longkang tu? Sekilo besi biasanya lebih kurang seringgit. Kau cabut la 100 kilo. Dapat seratus ringgit." Hanafi mencadangkan cadangan yang memungkinkan aku ditangkap pihak berkuasa.

"Taknak aku!"

"Oklah. Ni paling senang. Esok aku ajar kau tangkap tenggiling. Aku kenal sorang cina yang beli tenggiling. Harga dia sekilo RM120."

"Peh! Kalau aku tangkap 100 ekor, mau jutawan aku." Aku kembali yakin dengan idea menangkap haiwan di bawah perlindungan PERHILITAN itu. Aku kira, kalau aku bukak kandang tenggiling, bermandi duitlah aku.

"Diorang buat apa tenggiling tu Napi?"

"Makan."

"Peh! Buat makan siol. Tak boleh ke makan ayam je."

******

Paginya aku dan Napi bagai dua orang askar Somalia telah meredah kelapa sawit dengan motorsikal jenama Yamaha RX miliknya. Bila sudah jauh ke dalam kelapa sawit, Napi berhentikan motorsikalnya. Tiada apa-apa bunyi kecuali bunyi unggas dan cengkerik. Keadaan semak tinggi, serta pelepah kelapa sawit bersepah sini sana.

Kali terakhir aku masuk ke dalam kebun kelapa sawit sedalam seperti ini masa tingkatan 2 dulu. Itupun atas usaha ingin menghisap rokok curi-curi dan mandi sungai.

Napi nampaknya sangat hebat mengesan dan menangkap tenggiling. Aku perhatikan, belajar dan sematkan ke dalam dada. Tanpa perlu menonton rancangan Nat Geo Wild, kini seekor tenggiling seberat 3 kilogram sudah selamat berada dalam karung guni.

Kalaulah mendiang Steve Irwin tidak disengat ikan pari dan masih lagi hidup, pasti beliau mengangkat ibu jari tanda merestui aksi kami menangkap hidupan liar.

Sambil membawa guni berisi tenggiling, kami berjalan kaki meredah belukar balik ke motorsikal. Seluar dan baju kotor terpalit tanah, boleh menimbulkan cakap-cakap orang kalau aku pakai masuk ke bank.

"Weh. Seriuslah diorang buat makan tenggiling ni? Aku ingat diorang bela." Aku masih lagi tanda tanya.

"Ye la buat makan. Nak bela buat apa. Tenggiling bukannya boleh tangkap pencuri." Napi menjawab penuh karisma.

"Diorang ni ada yang suka makan benda-benda eksotik ni. Ular sawa, landak, kala jengking, biawak..." Napi jelaskan lagi. Nampaknya binatang yang dia sebut tak pernah wujud dalam mana-mana tangga piramid makanan.

Entah kenapa timbul rasa kasih sesama makhluk Tuhan dalam diri aku. Aku rasakan, tak patut aku korbankan seekor tenggiling demi cinta aku kepada Cikgu Ina. Memanglah aku akan mendapat habuan serta-merta, tapi bagaimana pula dengan anak-anak tenggiling ini di sarangnya? Pasti sedang menunggu kepulangan ibu sambil berharap si ibu membawa balik makanan. Bagaimana pula komuniti tenggiling? Boleh jadi mereka melancarkan perang ke atas manusia bila seekor demi seekor bangsa tenggiling dimakan manusia.

Aku mencangkung, membuka ikatan guni dan melepaskan tenggiling tersebut. Mencicit tenggiling berwarna coklat itu berlari tanpa menoleh mengucapkan selamat tinggal.

"Woi! Apasal kau lepaskan? Kau taknak duit ke? Macamana nak ajak makwe kau dating?" Napi hairan. Dia tak perlukan pun duit. Dia cuma membantu aku.

"Biarlah. Duit boleh cari. Yang penting kita kena sayang binatang." Aku nyalakan rokok.

"Peh. Steady." Napi tidak mahu menafikan prinsip dipegang aku. Aku bangga dalam diri aku, mula belajar sesuatu yang baru.

******

Esoknya aku ajak Napi tangkap ular sawa. Khabarnya, peraih nak beli ular sawa seekor RM300. Lumayan tu.

CERITA CINTA SILAMWhere stories live. Discover now