CERITA CINTA SILAM: UPSR

165 2 1
                                    


Sering keluar dari mulut-mulut orang-orang bijak pandai. Khabarnya UPSR ni tak penting. UPSR bukanlah penentu sebenar. Gagal UPSR bukanlah gagal selama-lamanya. Liverpool tak ambik UPSR macamtu jugak. Takde UPSR boleh berjaya dalam bisnes. Dan macam-macam lagi ungkapan seolah-olah nak melemahkan semangat adik-adik kita.

Benar. UPSR bukan segala-galanya. Tapi tanpa UPSR belum tentu kau boleh capai tahap yang lagi tinggi. Belum tentu kau akan berada di puncak menara gading sedangkan aku hanya mampu bermimpi untuk ke puncak sepertimu.

Ini kisah bagaimana UPSR telah mengubah sentimen pemikiran aku selama-lamanya. Adik aku, Aniq, tahun ini belum lagi Tahun 6. Pun begitu, seperti murid-murid sekolah lain, Aniq juga terlibat dengan pendedahan awal bagi menghadapi UPSR. Sama macam sekolah-sekolah lain, setiap sekolah ada strategi masing-masing dalam melahirkan murid yang hebat pencapaiannya. Di samping menjaga nama baik sekolah.

Aku jarang lepak Yong Peng lama-lama. Tugasan kutu selalunya menuntut aku untuk jauh dengan keluarga. Namun demikian, kalaulah aku berada di Yong Peng untuk tempoh lama, paling kurang, akan ada sekali aku kena jemput adik aku dekat sekolah dia. Sekolah Kebangsaan Seri Kota, Yong Peng.

Jaraknya dengan rumah agak jauh juga. Perlu menyeberang dua lampu isyarat serta boleh habiskan sebatang rokok. Biasanya aku akan ambik Aniq naik motor. Bila naik motor kena pakai helmet. Bukankah itu tanggungjawab kita selaku penunggang motorsikal? Melindungi kepala hotak daripada sebarang kecelakaan.

Tapi itulah. Pakai helmet ni nanti rambut jadi tak smart.

Satu semangat yang seringkali menjadi pendorong melawan rasa malas, seorang cikgu sekolah tersebut. Cikgu itu namanya Cikgu Ina. Cukup ringkas seringkas pemilik namanya. Tak perlu dandanan berlebihan, Cikgu Ina sudah cukup ayu. Seolah-olah kecantikan dan dirinya ibarat aur dengan tebing. Bagaikan sudah dicetak akan kecantikan dan kesantunannya. Kesantunan itulah kuasa cintanya. Seakan menangkap aku jauh bila terpandang wajahnya yang mengukirkan senyuman.

Suatu hari, seluruh keluarga aku telah berangkat ke Bandar Batu Pahat atas satu urusan di Square One. Urusan itu adalah urusan membeli-belah. Akibat aku bukanlah suka bersesak, aku memutuskan tak ikut. Macam biasa, aku dititahkan untuk jemput adik aku di sekolah menjelang 1:30 tengahari (atau petang).

Tepat-tepat 1:25 tengahari, aku capai kunci motor skuter SYM mak aku dan aku terus tunggang ke sekolah.

Sesampai di pekarangan sekolah, aku lihat banyak jenis kasih sayang. Baik berkereta, berpayung, berjalan kaki, bermotorsikal, masing-masing menjemput anak. Aku rasa aku sorang je golongan 'abang'. Golongan 'kakak' jangan harap aku nak nampak selama kalau aku jemput adik aku. Tapi takpe. Yang aku nak tengok ialah Cikgu Ina. Bukannya kakak orang lain.

Aku pun parking motor ngam-ngam depan pagar sekolah. Biar Aniq tak tercari-cari kelibat abangnya yang hensem. Juga senang untuk aku melihat-lihat Cikgu Ina.

Menurut Aniq, Cikgu Ina belum kahwin. Menyewa di kawasan sebelah taman perumahan. Dua maklumat itu dah cukup untuk aku teruskan misi selanjutnya. Aku tak perlu tahu akaun Facebooknya, sebab mengurat makwe melalui Facebook bukan cara aku. Itu cara orang penakut.

10 minit berlalu. Pekarangan sekolah mulai kosong. Murid-murid sudah tinggal sedikit. Aku mula panas. Satu, panas hati tunggu lama. Dua, panas sebab matahari mulai menerik dan memakai baju warna hitam sangat tak mesra dengan situasi sebegitu.

Aku turun motor dan dapatkan pos pengawal. Seorang pak cik sedang bertanggungjawab menyelia pos pengawal tersebut.

"Pak Cik! Semua budak-budak dah balik ke?"

"Rasanya semua dah balik. Yang tinggal pun budak bola rasanya."

Hati aku tak sedap. Aniq bukan pemain bola sekolah. Jiwanya lebih kepada sepak takraw. Lagipun susah nak main bola wakil sekolah kalau bukan anak cikgu.

Aku tanya budak-budak yang masih bersisa. Rata-ratanya berpakat jawapan sama.

"Semua dah balik."

Waktu itulah hati aku mula meliar dengan fikiran bukan-bukan. Kita tak tahu. Dalam semua cerita adiwira, biasanya keluarga dijadikan tebusan penjahat. Walaupun yang adiwira adalah Johnny. Seekor anjing adiwira. Bukannya aku.

Entah kenapa bangang sangat aku fikir macam gitu.

Cemas aku tak terhitung kiranya bila mana semua budak-budak dah habis dijemput. Jam dah 1:45. Ini perkara serius. Kenapa pulak aku yang kena hadap benda macam gini? Kalau mak aku tempeleng aku macamana?

Aku masih waras. Nak buat laporan polis, sejam pun belum berlalu. Aku talipon mak aku, dengan tujuan untuk bertanya kalau-kalau sebelum ni pernah ke orang lain yang jemput Aniq.

Dalam pada aku tengah kusut, aku dengar suara Aniq.

"Abang!" Aku nampak Aniq dengan uniform sekolahnya sedang berjalan di kaki lima menuju keluar ke pagar sekolah. Apa yang menggugupkan suasana, Aniq tak berjalan berseorangan. Dia bersama seorang gadis, iaitu Cikgu Ina!

"Aduuuuh! Kau pergi mana Niq?" Aku bertanya dengan sedikit tekanan di perkataan 'aduh'.

"Hehehe." Aniq tersengih menggaru kepala.

"Aniq ni tak siap kerja sekolah. Saya denda dia siapkan kerja sekolah." Cikgu Ina menghantar Aniq betul-betul sampai depan aku. Tak sangka, aku dan Cikgu Ina sedang bersua muka dalam jarak lebih kurang 1 meter sahaja. Sinaran mata Cikgu Ina jelas terpancar dibantu biasan cahaya matahari.

"Ya Rabbi. Engkau tak siap kerja sekolah, Niq? Aduuuh..." Aku cuma mampu menatap wajah Cikgu Ina kurang dari 10 saat. Aku rasa tak cukup gagah untuk menatap lebih lama. Dunia aku rasakan bagaikan bergerak perlahan. Burung merpati berdecit seakan meraikan suasa itu. Angin sepoi meniup rambut aku. Bunyi lori pasir yang lalu aku buat tak dengar.

"Hehehe..." Aniq cuma berhehehe. Aku rasa nak tunjal dahi dia. Buat malu aku je selaku abang yang rokers. Tapi Aniq bukan lemah pelajaran. Pencapaiannya bagus. Aku suka semak keputusan ujian/peperiksaan yang ditanda. Semuanya bagus-bagus.

Cumanya dia malas! Fikir main je.

"Terima kasih cikgu. Saya ingat apa la jadi budak ni. Nyaris saya buat report pulis." Saje aku buat-buat bunyi polis kepada 'pulis'. Nampak kelakar sikit. Kelakar macam bangang.

"Tak apa. Awak pun sebagai abang, ajaklah dia belajar. Ajak dia buat kerja rumah. Bukannya semua nak harap dia sorang. Dia ni budak lagi. Dorongan ahli keluarga la penguatnya. Beri perhatian." Cikgu Ina membebel ringkas.

"Cikgu kahwin la dengan saya. Nanti boleh hari-hari ajar Aniq. Hehehe." Aku melawak dalam hati sahaja sebagai membalas bebelan Cikgu Ina.

"Eleeeeh. Abang ni selalu lepak mamak je. Petang mamak. Malam mamak. Asyik mamaaaaak je. Mana nak ada dekat rumah..." Suara Aniq memecah kebuntuan. Bagaikan dentuman guruh dan sambaran petir menerjah ke ulu hati. Jiwa aku jadi kelam. Darah bagai mengalir terbalik. Tekak aku rasa berpasir. Mata aku berkaca.

*********

"Abang. Nak air tebu!" Aniq yang membonceng di tempat duduk belakang meminta.

"Ahhh! Takde! Takde! Balik rumah minum air masak je!" Geram betul aku! Kenapa Aniq? Kenapaaaaa!???

CERITA CINTA SILAMOù les histoires vivent. Découvrez maintenant