BAB 4

4.6K 287 68
                                    




JEDA.

Dunia sekelilingku tiba-tiba terasa hening. Bahkan, berhenti bergerak. Lalu meninggalkan aku, hanya berdua dengan gambar yang terletak tinggi ini. Lama aku menelitinya. Dari atas kepala, ke wajah, jatuh ke baju kurung putih, hinggalah kepada jari-jemari jantan yang melingkari pinggangku. Tanganku sendiri pula berada di atasnya. Memegang kemas. Di situ, aku dapat melihat dengan jelas...

Perlahan-lahan, aku mengangkat tangan kiri ke muka. Terpampang satu bentuk cincin di jari manis. Dari material rose gold, bertatahkan berlian dalam bentuk heksagon. Tidak besar mana, tetapi di sekelilingnya ada butiran-butiran kecil berlian yang tersusun elok. Juga, cantik terukir. Aku mengalih anak mata ke gambar yang tergantung. Melepasi jari-jemari yang berhias inai, dan meletakkan fokus kepada jari manis yang dilihat tadi.

Ya, ada cincin di situ. Serupa dengan di tanganku sekarang.

Tanpa dapat ditahan, tubuhku melurut ke atas lantai. Masih dengan kepala terpanggung tinggi. Melihat gambar itu. Tidak berkelip, dengan seribu satu perasaan yang menyelubungi jiwa hinggakan aku tidak tahu aku berasa apa sekarang. Semuanya terlalu mengelirukan. Terlalu membingungkan!

Jadi, mereka tidak berbohong? Lelaki ini...lelaki yang tidak pernah aku jumpa seumur hidup ini...benar-benar suami yang sudah aku nikahi? Maksudnya, aku dan Muzaffar benar-benar terpisah? Pernikahan yang sepatutnya lagi enam bulan, tidak jadi kenyataan? Angan-angan aku sejak berumur enam belas tahun, terkubur macam tu saja? Dan lagi satu...

Aku benar-benar hilang ingatan?

Berderu-deru persoalan masuk dalam kepala otakku. Malangnya, tiada satu pun yang berjawab.

"10 Februari 2018. Ara sah jadi isteri abang."

Pengakuan itu tiba-tiba berdengung di celah telinga, disusuli dengan segala percakapan yang keluar dari mulut ibu. Tentang lelaki itu. Tentang Muzaffar. Tentang memori.

Kepalaku tertunduk ke bawah. Bahu longlai tanpa daya. Tangisan yang tadi tersekat, menitik lemah. Menyedari betapa semua itu adalah hakikat, benar-benar menyakitkan. Benar-benar membuatkan otakku terasa kosong. Tidak! Bukan setakat otak. Bahkan juga jiwa.

Aku jadi lompong.

"She's too quiet. Ibu risau..."

"Gib ambil kunci..."

Dari luar bilik, aku dapat mendengar dua suara itu. Agak berbisik, tetapi telingaku masih dapat menangkap. Aku biarkan sahaja, dari awal perbualan hingga tombol pintu dibuka dan...

"Inara..."

Seruan ibu berbunyi perlahan. Perlahan juga, aku memusing kepala. Mata terkelip-kelip basah, memandang susuk tubuh depan pintu. Aku membuka mulut. Terketar-ketar.

"Ibu..."

Hanya dengan sepatah perkataan itu, ibu meluru kepadaku dan terus meraih aku ke dalam dakapan. Sangat erat dia memeluk, hinggakan aku dengan jelas dapat merasai lekuk tubuhnya.

"Ibu..." Aku memanggil lagi.

Ibu mengetatkan lagi rangkulan yang setia ketat.

"Ibu kat sini, sayang. Ibu kat sini..."

Aku mengangkat tangan dan mencengkam belakang baju ibu. Wajah disorok di celah dadanya.

"Ibu..." Buat kesekian kali, aku merengek.

Ibu mula mengusap-ngusap belakangku. Mahu menenangkan, tetapi lain jadinya. Tangisanku lebih terhambur keluar. Bahu mula terenjut-enjut, mengiringi setiap esakan. Diselangi dengan lidah yang tidak sudah-sudah menyeru ibu. Entah berapa lama aku berkeadaan begitu, aku tidak tahu. Yang pasti, aku mengongoi dalam pelukan ibu. Tidak ubah seperti anak kecil yang takut kehilangan ibunya. Dan sungguh! Itulah aku yang aku rasa sekarang.

MEMORI INARA (Published)Where stories live. Discover now