BAB 11

3.3K 218 101
                                    

LARI.

Hanya itu yang aku fikirkan sekarang. Aku perlu lari. Aku perlu menyelamatkan diri. Aku perlu jauh daripada....

"Ayudia Inara..."

Mataku terbelalak. Bulu roma meremang. Liur tertelan celah kerongkong. Langkah kaki yang laju sebentar tadi, sedikit-sedikit jadi perlahan, sebelum aku melirikkan mata ke belakang. Takut-takut. Ragu-ragu.

"Ayudia Inara, kau kat mana?"

Panggilan itu berbunyi lagi, disusuli bunyi derap tapak kaki yang semakin kuat kedengaran.

"Kau nak lari ke mana? Nak sembunyi kat mana?"

Tidak menunggu lagi, aku angkat kaki semula. Larian yang terbengkalai tadi, disambung kembali. Lebih laju. Lebih terdesak. Sudah tidak peduli kepada jantung yang hampir pecah, dan peluh yang bercucuran membasahi muka.

Aku harus lari. Aku harus menyelamatkan diri.

"Ayudia Inara!!!"

Seruan yang lembut tadi, bertukar jadi tengkingan lantang. Aku tetap tidak menjawab. Tetap lari celah barang-barang yang banyak menghalang laluan.

Bum!

Satu saat, aku terlanggar sebuah kotak. Berdentum bunyinya jatuh menimpa lantai. Mataku terbeliak memandang. Tangan juga naik menekup mulut.

"Haaaa, kat situ rupanya kau..."

Cepat-cepat, aku menolak tubuh ke belakang. Bersembunyi balik susunan kotak yang tinggi. Tangan semakin kuat menekup bibir. Hampir menutupi hidung. Nafas rasa tersekat-sekat. Namun, aku tetap jua menahan desahnya. Tidak mahu bunyi nafas menarik dia kepadaku.

Namun....

"Boo!"

Dia muncul tidak jauh depan mata. Tegak berdiri di hujung pintu. Cahaya bulan dari tingkap, membuatkan bayang-bayangnya jelas atas lantai. Aku menggeleng-gelengkan kepala. Tubuh cuba diundur menjauh. Cuma membuatkan kotak di belakangku jatuh bertaburan. Bahuku terangkat mendengar bunyinya.

"Kenapa nampak takut sangat tu?" Dia menyoal seraya mengambil langkah, satu tapak ke hadapan.

Aku berjalan satu tapak ke kiri. Masuk ke celah satu-satunya ruang yang ada dalam kesempitan ini.

"Tolong...tolong jangan apa-apakan aku. Tolong...jangan buat aku macam ni..." rayuku bersama tangisan yang sudah selamat menuruni pipi.

Dia ketawa. Sangat kuat. Sangat jelik.

"Buat apa?"

Dia mendekat lagi. Aku menjauh lagi.

"Aku bukannya nak buat apa-apa pada kau."

Setapak lagi dia berjalan. Setapak lagi aku ke tepi.

"Aku cuma..."

Dia tiba-tiba menghenti kaki. Aku turut terpasung. Tidak berani bergerak. Kaku melihat dia yang sedikit-sedikit mengukir senyuman.

"Nak. Kau. Mati."

Suaranya tidak keluar. Tetapi entah macam mana, aku boleh baca pergerakan bibir sepatah-sepatah itu.

Tubuhku mengeras. Mata buntang melihat dia yang masih tersenyum. Tidak jelas mukanya. Terlindung balik rambut yang menutupi. Panjang lurus hingga ke pinggang. Berpakaian dres serba merah. Di tengah-tengah bahagian abdomen, ada satu corak warna merah terang. Semakin aku lihat ke situ, semakin besar coraknya. Menyusup dan membesar. Dan tiba-tiba, hidungku menangkap bau hanyir.

MEMORI INARA (Published)Where stories live. Discover now