BAB 5

4.3K 284 90
                                    




AKU tidak tahu berapa lama aku berkeadaan begitu. Hanya membiarkan keheningan dan kedinginan menyelubungi diri, sesuai dengan hati yang rasa kosong dan dingin. Mengingati apa yang sudah aku tahu dan apa yang sudah aku buat, menyebabkan aku rasa benci. Kepada diri, kepada Muzaffar, kepada kemalangan yang telah berlaku, kepada lelaki yang dikatakan suami, kepada semuanya!

Sungguh, apa yang patut aku buat sekarang? Kenapa dalam drama dan sinetron yang ibu tonton, semuanya tampak senang? Heroin bangun dari koma, elok-elok sahaja tidak rasa lemah macam yang ibu cakap, tak ada mengalami yang namanya PTA ini dan kalau pun hilang ingatan, dia baik-baik sahaja. Menerima hero dan melepaskan kekasih lama pergi. Tetapi aku? Mampukah aku buat begitu? Menerima hakikat bahawa Muzaffar telah meninggalkan aku sudah cukup memeritkan, inikan pula untuk merelakan dia pergi.

Aku ingin melaung kuat-kuat, mengatakan bahawa semua yang dikatakan ibu dusta belaka. Bahawa Muzaffar takkan pernah memperlakukan aku begitu. Mustahil! Lelaki yang tulus mencintai aku selama sepuluh tahun, meninggalkan aku dua minggu sebelum hari pernikahan kami? Itu perkara paling mustahil dalam dunia!

Tetapi...

Walaupun lidahku mengatakan tidak percaya, suatu sudut hatiku sedar. Kalau sudah begitu sekali reaksi dan perilaku ibu, tidak mungkin semua itu dusta. Apa yang mustahil ternyata menjadi realiti yang sangat meremukkan hati. Sangat menyakitkan!

Sekarang, barulah aku mengerti kenapa perasaan ini digelar sebagai patah hati. Saat ini, aku merasakan bukan sahaja hatiku yang patah. Bahkan jiwaku, ragaku, jasadku...semuanya! Semuanya sudah patah dan takkan bercantum lagi.

Lalu, meninggalkan aku jadi anak perempuan durjana yang beberapa kali menyakitkan hati ibu sendiri.

Mengenang hakikat tersebut, aku mengangkat lengan dan meletaknya atas mata. Di sebalik muka yang separa terkatup itu, aku menghamburkan tangisan. Pergilah! Pergilah air mata. Bawa rasa sakit ini jauh-jauh. Lempar rasa cinta ini jauh-jauh. Buang Muzaffar dari hati ini. Lenyapkan dia sama sekali. Aku tak mahu lagi jadi anak perempuan jahat!

Malangnya...

"Muz...." Lidahku tetap jua menyeru nama itu.

"Tolong Ara, Muz. It hurts. It hurts so much. Kenapa..."

Suaraku tersekat sekejap. Rasa tidak sanggup menyudah kata. Aku menggigit bawah bibir, sebelum menyambung.

"Kenapa Muz tinggalkan Ara? Semalam baru kita...baru kita keluar sama-sama, Muz. Tapi hari ni...hari ni Ara dapat tahu yang Muz dah tinggalkan Ara. Apa ni, Muz? Apa ni?"

Luahanku tenggelam timbul celah esakan. Semakin aku bercakap sendiri, semakin lebat air mataku. Seperti tidak akan pernah berpenghujung, dan tidak mampu aku sekat.

Ya Allah! Tolong aku. Tolong, aku tak nak jadi macam ni. Aku tak nak!!

"Ara."

Aku tersentak. Tangisan serta-merta tertahan celah dada. Lengan jatuh ke bawah. Mata juga terbuka sendiri. Basah melihat susuk tubuh tinggi yang berdiri di hadapan. Cepat-cepat, aku menegakkan badan dan mengelap kedua-dua belah pipi.

"Apa kau buat kat sini?" Suaraku kedengaran terlebih serak.

Dia tidak terus menjawab. Sebaliknya, dia menjatuhkan lutut ke atas lantai. Tubuh jadi elok-elok menyamai aras tubuhku. Wajah bertentang wajah. Mata bersabung mata. Aku tidak ingin nampak, tetapi aku boleh nampak dengan jelas betapa berkacanya mata di hadapanku. Seolah-olah, dia turut merasai kesakitan yang aku rasai sekarang.

"I'm sorry." Dia bertutur perlahan.

Aku mengerutkan dahi.

"For being here. Instead of..."

MEMORI INARA (Published)Where stories live. Discover now