BAB 7

4.1K 301 136
                                    




PEMANDANGAN depan mata, aku pandang sambil lewa. Dari kiri ke kanan, dan dari kanan ke kiri, terbentang ladang teh yang menghijau. Tidak ubah seperti permaidani alam yang gebu. Di suatu celah ladang, terpacak huruf-huruf besar yang disusun membentuk perkataan 'GREY'S PLANTATION'. Dari kejauhan belah kanan, ada kawasan hutan yang belum ditarah. Mungkin sengaja dibiarkan atau mungkin sahaja bakal menerima nasib sama, suatu hari nanti. Aku mengalihkan perhatian daripada kawasan hutan tersebut, dan kembali kepada kehijauan ladang teh. Angin petang yang sepoi-sepoi bahasa, bawa bersama bau-bauan teh yang segar dan sepatutnya menyenangkan. Di ufuk belah sana pula, kelihatan bebola jingga mentari yang mula menurun. Lantas, menyimbah kehijauan teh dengan warna merah jingga.

Cantik. Menakjubkan. Tidak dinafikan.

Malangnya, mataku tidak boleh nampak segala keindahan itu. Hatiku terlalu lompong untuk menikmati kekuasaan Tuhan.

Sekarang, bukan masanya untuk aku jadi sang pencinta alam.

"Kundasang. Kita sekarang berada di Kundasang."

Teringat aku kepada jawapan ibu petang tadi. Saat aku bertanyakan soal di mana kami berada sekarang. Dahiku jadi berkerut tebal. Keanehan. Bagaimana kami yang bertahun-tahun tinggal di Kuala Lumpur, boleh tiba-tiba berada di seberang lautan begini? Apa yang sudah jadi dengan perniagaan ibu dan kerjaya aku?

Seperti sebelumnya, persoalan itu tidak habis-habis berlegar dalam fikiran dan terlekat di lidah. Ibu pula, jelas tidak mahu menerangkan apa-apa. Laju sahaja menukar topik perbualan dan memberitahu bahawa kami berpindah ke rumah ini atas permintaan Gibran. Kata ibu, rumah ala-ala kotej Ingggeris ini dimiliki oleh majikan Gibran dan disewakan kepada kami buat sementara waktu. Berada di tengah-tengah ladang teh. Jauh daripada hiruk-pikuk bandar dan dikelilingi persekitaran cantik menenangkan.

Sesuai bagi orang sakit macam aku.

"It's cold. Ara tak patut ada kat luar masa ni." Suara itu bergema dari belakang, serentak dengan gebar yang jatuh melilit ke bahu. Lamunanku terhenti. Ekor mata mengerling kepada tangan berurat yang muncul di kiri dan kanan, mengemaskan gebar tersebut. Sudah serupa merangkul. Namun kali ini, aku biarkan. Letih mahu menolak. Apatah lagi, berbalah.

Selebihnya...

Perbualan antara ibu dan Gibran melintas dalam ingatan. Aku masih terkesan dengan apa yang didengari. Aku tidak ingin, tetapi aku gagal mengawal diri. Apa yang dikatakan oleh Gibran, walau sejuta kali pun aku cuba halau, tetap jua menghantui.

Lalu, aku memusing kepala ke sebelah. Kepada dia yang kini mengambil tempat di sisi kanan. Turut menebarkan pandangan ke hadapan. Mata Gibran sesekali berkelip, lantas menjatuhkan bulu mata sederhana panjang itu. Dari sisi, hidung mancung dan tulang pipi Gibran yang tinggi, tampak lebih menyerlah. Tampak maskulin. Mulutnya terbuka sedikit, menerima dan menghembus nafas. Suasana yang sunyi membuatkan aku boleh mendengar desah nafas itu dengan jelas. Lembut dan teratur. Tetapi, ada beratnya.

Pandanganku naik semula ke mata Gibran. Masih melihat jauh ke hujung sana. Entah apa yang dia fikirkan, aku tidak tahu. Tampak mengelamun. Tampak serius. Tampak...

Sedih.

Entah kenapa, itu yang muncul dalam benakku.

"Tengoklah abang puas-puas. I'm all yours." Gibran tiba-tiba memecah keheningan. Masih dengan mata ke hadapan. Tidak melihat kepadaku.

"Bukan Ara tak biasa." Dia menyambung lagi.

"Hah?" Aku membalas bingung.

Gibran melirikkan mata kepadaku. Aku mungkin salah melihat, tetapi pandangan sedihnya tadi sudah bertukar.

MEMORI INARA (Published)Where stories live. Discover now