BAB 15

4.8K 231 124
                                    

"TENGOK, apa dah jadi?!"

Aku menjauhkan telefon dari cuping telinga. Kuatnya suara ibu menggegar gegendang. Aduh, ibu ni. Tak boleh ke kawal suara tu sikit?

Sempat aku mengomen dalam hati, sebelum kembali melekapkan muka telefon ke telinga.

"Sebab itulah ibu tak nak bagi Ara hantar ibu, semalam. Inilah yang ibu takutkan. Ara tahu tak? Macam nak tercabut jantung ibu bila Gib bagitahu apa dah jadi."

Terbit rasa bersalah dalam hatiku. Tambah-tambah, bila getaran suara ibu jelas benar lirihnya. Juga, bersalut kerisauan yang bukan sedikit.

"Ara minta maaf, bu. Tapi ini benda kecil aje," jawabku bersahaja. Niat di hati mahu menenangkan ibu. Lain pula jadinya, bila ibu menaikkan suara.

"Kecil apanya?!"

Mataku terpejam sesaat. Sekali lagi, gegendang telingaku rasa dirodok.

"Kalau Gib tak jumpa Ara semalam, entah apa dah jadi pada Ara." Intonasi ibu kembali kendur. Kembali sedih.

Aku telan rasa bersalah yang menjelma lagi.

"Ara okey, bu. Ara betul-betul okey." Selembut mungkin, aku menitip kata.

Ibu diam. Hanya bunyi desah nafasnya yang kedengaran halus di hujung talian. Aku menanti, juga dalam senyap. Sengaja mahu beri masa untuk ibu lebih bertenang. Aku kenal ibu. Sangat-sangat kenal. Ibu jenis yang cepat geram, cepat juga sejuknya. Rajuknya juga tidak pernah lama.

"Betul ni?"

Hujung bibirku mengulum senyum. Benar telahanku. Ibu sudah 'sejuk' semula. Sudah tenang semula.

"Ya." Aku menegaskan.

"Nak ibu balik cepat? Ibu boleh minta Uncle Rudy uruskan hal kat sini."

Cepat-cepat, aku geleng kepala.

"Tak, tak perlu. Ibu boleh ambil sebanyak mana pun masa kat sana. Selesaikan apa yang patut. Lagipun, ibu mesti rindukan Uncle, kan?" Sempat aku mengusik di hujung bicara. Wajah lelaki separa umur yang aku jumpa sebulan lepas, terbayang dalam benak. Aku senyum kelat, sesaat kemudian. Sebulan apanya? Sudah jadi empat tahun sebulan. Entah apa khabar Uncle Rudy? Sihatkah dia? Gembirakah dia? Dan lagi satu, masihkah dia mengharapkan hati ibu?

"Kenapa pula ibu nak rindukan dia?"

Soalan ibu menyentakku. Lamunan tentang Uncle Rudy, dibiar pergi.

"Ibu, even lepas empat tahun ni, ibu memang tak bagi peluang pada Uncle ke?" Lagi, aku menyakat.

"Ya Allah! Ke situ pulak budak ni."

Aku ketawa. Dapat dibayangkan muka ibu yang memerah geram. Itulah reaksinya setiap kali aku bercanda soal ibu dan rakan perniagaannya. Uncle Rudy, laki-laki berdarah Indonesia yang seingat aku, sentiasa ada dengan kami berdua. Aku kehilangan ayah sejak kecil, jadi Uncle Rudy itulah yang memegang figura bapa dalam seluruh kehidupanku. Bahkan aku sering kali mengharapkan agar ibu dapat menerima lelaki tersebut. Namun setiap kali itu, ibu berkata bahawa soul mate ibu ialah arwah ayah. Satu-satunya cinta hati ibu ialah arwah ayah. Yang tidak akan pernah ditukar ganti.

Sangat dalam cinta ibu kepada ayah. Dan sungguh! Aku merasakan yang sama terhadap Muzaffar. Sekurang-kurangnya itu yang aku fikir selama ini. Ternyata, takdir menulis yang lain buatku. Dalam hidupku, tiba-tiba muncul seorang Gibran Lutfi. Anehnya, aku menerima dia, walaupun aku tidak ingat bagaimana.

Terfikirkan dia, aku bersuara semula.

"Seriously, ibu jangan risau. Ara okey. Gibran jaga elok. In fact, dia ambil cuti tiga hari. Katanya, nak temankan Ara."

MEMORI INARA (Published)Where stories live. Discover now