Bab 5

50 6 0
                                    

IZHAR memandang Raysa yang duduk berteleku di kusyen. Hanya mereka berdua saja yang berada di situ.

Dato' Rahman masih belum pulang daripada outstation di luar negeri. Izhar telah mengambil alih kerja-kerja Dato' Rahman buat sementara waktu di pejabat.

Sememangnya dia begitu sibuk dalam minggu ini. Nak fokus pada tugas utamanya sebagai Pengurus Besar syarikat itu lagi. Lagipun siapa lagi yang boleh diharapkan untuk menjadi pelapis Dato' Rahman melainkan dirinya?

Raysa awal-awal lagi sudah menyatakan dia tidak berminat hendak bekerja di syarikat Dato' Rahman. Raysa punya minat yang tersendiri.

Walaupun dia mengambil jurusan pengurusan perniagaan di kampusnya, Raysa sebenarnya minat melukis. Dia suka melukis apa saja di atas kanvas sambil membayangkan sesuatu yang abstrak.

Kadangkala dia akan menghabiskan masa berjam-jam di dalam biliknya dengan melukis. Khusyuk dan ligat tangannya melakar di atas kanvas putih itu.

Raysa juga suka mereka pakaian pengantin dan dress kegemarannya di dalam sketchbook miliknya yang akan dibawa ke hulu ke hilir. Sketchbook itu benda wajib yang ada di dalam beg tangannya selain barang mekap.

"Kenapa Raysa lawan cakap mama?" Izhar menyoal serius.

Matanya masih memandang Raysa yang kelihatan selamba dengan kedua-dua belah tangan disandarkan ke atas kusyen.

Raysa merengus kasar.

"Kalau pasal hal ni yang Abang Iz nak cakap dengan Raysa, baik tak payah. Raysa nak masuk bilik, nak berehat."

Belum sempat Raysa bangun, Izhar terus menghalang.

"Abang Iz rasa Raysa tak patut layan mama macam tu."

"Oh, kalau Raysa, ada aje yang tak kena ya? Ada aje yang tak patut. Mama yang terlalu kongkong Raysa."

Raysa cuba mengawal intonasinya agar tidak terlalu lantang. Macam mana pun, dia tetap menghormati Izhar sebagai abang tirinya.

"Abang Iz tak rasa pun mama kongkong Raysa."

Raysa terdiam.

"Yes, I know sweetheart. I know how you feel. But, she is still your mama. Walaupun mama bukan mama kandung Abang Iz, tapi Abang Iz tetap hormat dia. Macam Raysa ni lagilah, anak kandung mama sendiri. Abang Iz nak Raysa hormat mama. Bukan ke mama yang melahirkan Raysa?"

Raysa berusaha menepis hatinya yang sedikit tersentuh dengan kata-kata lembut lelaki itu. Dia memandang ke depan. Tidak mahu Izhar perasan perubahan pada wajahnya.

"Raysa tak suka bila mama asyik nak tegur Raysa depan Abang Iz dan daddy. Raysa jadi malu. Raysa ni siapa? Raysa kan anak mama. Kalau daddy boleh manjakan Raysa, takkanlah mama tak boleh buat begitu? Selama ni, daddy tak pernah pun jentik Raysa. Tinggikan suara pun tak pernah. Sebab tulah Raysa sayang daddy.

"Alah, setakat pergi clubbing sesekali tu, apalah sangat. Bukannya isu besar pun. Yang penting, Raysa pandai jaga diri. Biarlah Raysa nak buat apa yang Raysa suka. Raysa kan dah besar."

Raysa menjuihkan mulutnya.

Izhar menggeleng perlahan. "Raysa, Raysa... Ya, Abang Iz tahu adik abang ni dah besar. Tapi Abang Iz tetap tak setuju."

Bukan dia tidak pernah menasihati Raysa sebelum ini. Perubahan adik tirinya itu semakin ketara ketika Raysa di sekolah menengah.

Izhar tidak pernah merasakan ibu tirinya itu salah. Baginya, adalah sesuatu yang normal seorang ibu mengambil berat akan perihal anaknya. Itu bermakna Datin Kamelia seorang ibu yang penyayang.

ʙᴇɴᴀʀ ᴋᴜᴄɪɴᴛᴀ ᴅɪᴀOù les histoires vivent. Découvrez maintenant