Bab 7

44 7 0
                                    

"MAK..."

Suhaila menoleh. Cuba senyum walaupun terasa sakit. Hujung bibirnya pecah akibat ditumbuk lelaki itu.

Digagahkan juga diri membuat nasi lemak untuk dijual bagi menambah pendapatan. Ikan bilis itu dimasukkan ke dalam satu bekas sederhana besar. Dia baru sahaja siap memasak sambal.

Fareez duduk bersila menghadapnya. Keruh muka anaknya.

"Ya, Fareez. Ada apa?" tanya Suhaila.

Agak lama mukanya dipandang Fareez.

"Kenapa Fareez kena ejek dengan kawan-kawan?"

"Siapa yang ejek Fareez?"

Suhaila mengerutkan dahi. Dia jadi hairan. Pertama kali Fareez memberitahunya begitu. Takkanlah anaknya bergaduh dengan kawan-kawan di sekolah?

Suhaila tak pernah rasa anaknya jenis liar ataupun nakal. Selama ini, Fareez cukup mendengar kata.

"Mereka cakap mak perempuan simpanan. Pelacur. Fareez ni anak luar nikah. Fareez selalu gaduh dengan mereka, mak," luah anaknya.

Suhaila terdiam seraya menunduk. Lama dia berkeadaan begitu.

"Mak?"

"Ya, mak dengar."

"Sebab apa mereka cakap macam tu?"

Air jernih itu cuba ditahan. Suhaila tak sedar rupanya Fareez memerhati dalam diam.

Fareez makin hairan.

"Mak ada masalah ke?"

Suhaila tersenyum. Dia menarik nafas. Muka Fareez ditenung penuh kasih. Pipi Fareez dipegang.

"Fareez ingat lagi tak masa Fareez sekolah rendah, mak pernah bawa Fareez pergi ke satu rumah."

Berkerut seribu dahinya. Seketika kemudian dia angguk kepala.

"Itu sebenarnya rumah arwah ayah Fareez."

"Oh... yang rumah terbakar tu ya, mak?"

"Ha'ah." Suhaila senyum pahit.

"Masa tu mak ingat nak minta ayah Fareez jaga Fareez."

"Kenapa mak nak buat macam tu? Tak boleh ke mak pun ikut sekali? Kita tinggal sama-sama dengan ayah."

Suhaila berwajah lirih. Pilu mendengar kata-kata itu.

Fareez semakin faham apa sebenarnya yang terjadi. Fareez sudah berusia 13 tahun. Dia bersedia untuk meluahkan segala-galanya. Supaya apabila anaknya dewasa kelak, dia akan faham. Kenapa semua ini terjadi. Kenapa ayah kandungnya itu sudah tiada lagi.

"Tak boleh, Fareez. Ayah Fareez dah takde. Ayah Fareez dah meninggal dunia dalam kebakaran tu. Dia dah takde, Fareez," kata Suhaila, hampir teresak.

Fareez terdiam lama.

"Habis tu, siapa abah?"

"Itu bukan ayah Fareez. Lelaki tu... bukan sesiapa. Takde kaitan langsung dengan kita."

"Habis, kenapa dia selalu ada dan minta duit dengan mak?" soal Fareez dengan muka jengkel.

Suhaila senyum hambar.

Lelaki itu ketua samseng di kampung ini. Lelaki itu bukanlah orang baik-baik. Sebab itulah dia dan anaknya selalu dipukul dan diperas ugut.

"Mak menyesal Fareez... sebab tinggalkan arwah ayah dulu. Mak menyesal sangat-sangat. Mak biarkan Fareez hidup susah dengan mak. Kena pukul dengan lelaki tu. Sebab tu mak terfikir nak hantar Fareez ke rumah ayah. Tapi, segalanya dah terlambat."

ʙᴇɴᴀʀ ᴋᴜᴄɪɴᴛᴀ ᴅɪᴀWhere stories live. Discover now