BAB 24

179 9 0
                                    

Matahari semakin terik menyebarkan sinarnya yang hangat membahang ke seluruh permukaan Bumi. Seiring dengan titisan peluh masam yang semakin mencurah-curah membasahi dahi. Pinggang dicengkam kesakitan kerana berjalan terlalu lama.

Aku sudah penat. Namun tetap juga aku gagahkan kaki untuk memanjat tangga batu yang beranak-anak tingkat. Sama juga dengan si dia yang menonong naik tanpa menghiraukan aku yang terkial-kial di belakang. Iman tidak dapat ikut serta sekali kerana ada urusan keluarga yang menuntutnya untuk datang.

Sebab apa yang sentiasa keluar daripada mulutnya tanpa henti ialah bebelan. Sepanjang pendakian ke Air Terjun Tujuh Telaga awal pagi tadi, hanya keluhan berbentuk kata-kata kesat meniti di bibirnya. Tak pernah dijemur secara langsung dengan matahari, mana tidak suamiku yang suka berlagak macam warga luar negara mengalami kejutan budaya.

Habis setengah botol sunscreen milliku yang baru dibeli bulan lepas dicuri untuk menepek seluruh badannya. Takut benar jika kulit menjadi hitam legam atau bertukar warna lebih gelap akibat pengaruh media sosial yang entah apa-apa. Boleh pakai, tapi janganlah sampai bahagian yang berselindung dengan pakaian pun perlu dilumur dengan pelindung suria.

Firauan yang kaya pun boleh sengkek!

Kolar baju t-shirt dikipas banyak kali. Membenarkan angin di luar lebih senang masuk untuk menghilangkan rasa panas yang menggila. Setelah satu jam mendaki beribu anak tangga menuju ke Gunung Raya Langkawi, akhirnya segala peluh dan tenaga yang digunakan membuahkan hasil.

"Here we are!"

Tengku Aydan mendepakan tangan luas-luas. Suara lantangnya melantun ke semua arah menyebabkan sekawan burung berterbangan keluar daripada timbunan pokok berkayu keras yang bersaiz gergasi. Hampir semua pokok di sekitar kami besar dan tumbuh tinggi melangit.

Aku turut tersenyum puas. Seluruh kepenatan yang dialami hilang serta-merta. Air mineral dibuka sebelum diteguk rakus menyentuh kerongkong.

"Awak nak air?"soalku prihatin lalu menghulurkan botol plastik jernih itu kepada suamiku.

Dia laju menggeleng.

"Yang lain tak ada?"

"Lain apa? Air ni jelah yang saya bawak,"kataku jujur. Sebelum bergerak ke lokasi pendakian, aku hanya sempat menyumbat 2 botol air mineral ke dalam poket beg sandang. Untung sahaja aku tergerak hati untuk mengangkutnya sekali kerana bimbang kami kehausan tekak ketika dalam perjalanan.

"Lah..." Aku gigit jari. Buntu. Sebagai isteri yang baik, aku berusaha mengerah idea untuk menyelesaikan belenggu suamiku. Aku tahu benar pilihan seleranya yang bagaimana setiap kali ingin membasahkan tekak. Jenis yang manis terlebih gula. Manis sehingga tahap potong kaki.

Senyuman penuh maknanya buatkan aku termenung jauh. Ah, naik gila apabila aku makin memikirkannya! Hatiku meronta-ronta berharap agar firasat buruk yang terlintas di benak tidak bertukar menjadi kenyataan.

"Double Chocolate Chip Frappucino? Maybe?"

Ayat yang dituturkan beransur perlahan sehingga akhir. Mungkin dia sudah menjangkakan yang aku akan mengamuk besar selepas menyusulkan hasratnya. Tak mahu aku terkejut beruk dengan permintaan mengarutnya yang tak terjangkau dek akal.

"Starbuck? Mana ada air macam tu kat tengah-tengah hutan ni? Awak ingat kita kat shopping mall ke, awak nak order bagai?"bebelku apabila dia sudah memulakan lakonan dramatiknya dengan muka sengaja diriakkan mendung.

Aku tergelak. Taktik sama yang entah berapa kali dia guna untuk memujuk. Yang berulang kali diaplikasikan padaku walaupun dia sendiri mengakui bahawa usahanya adalah sia-sia. Tak lut!

Kalau Sudah Tertakdir | C (IN EDITING)Where stories live. Discover now