BAB 1

172 17 4
                                    

TENANG Eliza tidak seiring dengan detak jantungnya. Ditinggalkan berdua dengan tetamu terakhir di majlis perkahwinan Erin, menghuru-harakan jiwa. Qhaira hilang setelah perkenalkan Eliza kepada daddy nya.

Bagi Eliza, lelaki ini tidak perlu dikenalkan lagi. Dia sudah lama mengenali Qhairil.

Nama Qhairil bak sumpahan dalam dirinya. "Ada jodoh kita akan ketemu lagi."

Sebak bergelora dalam jiwa. Kenapa ungkapan azimat itu menerjah dalam diri saat ini?

Sedangkan dia sentiasa berdoa agar mereka tidak lagi bertemu. Kelibat Qhairil dari belakang pun dia tidak mahu. Inikan pula berdepan begini.

Mana mungkin, Eliza. Sekarang ini dunia terlalu kecil. Malaysia, lagilah. Terlalu kecil biarpun masa perpisahan mereka telah berlalu agak lama.

Jujurnya, di sudut hati Eliza biar seribu tahun sekalipun, nama Qhairil sudah kekal terpahat. Pahatan yang tidak bisa Eliza padamkan dengan apa cara sekali pun.

Apabila Badlan mengajak mereka berpindah ke Lembah Klang, inilah yang Eliza khuatiri.

Banyak-banyak daerah di Malaysia ini, kenapa Badlan memilih di sini.

Kenapa tidak kembali ke negeri Pantai Timur. Asal usul Badlan. Atau selatan tanah air. Tempat kelahiran dia dan Erin.

Nah, Lembah Klang ini tak besar mana pun. Kuala Lumpur dan Puchong jaraknya sejengkal sahaja. Ibaratnya ini adalah tanah jajahan Qhairil.

Alasan Badlan tak masuk akal. Tidak mahu berjauhan dengan anak gadisnya yang berjaya menyambung pelajaran di sini.

Dan tawaran kerja yang lelaki itu dapat di semenanjung lebih menarik. Badlan tak perlu lagi berlama di offshore. Sudah bosan hidup berkampung di pelantar minyak.

Ingin sahaja dia terus tinggal di Sarawak. Tak mengapalah berseorangan kerana dia sudah biasa dengan masyarakat dan budaya di situ.

Namun dia kalah dengan pujukan Erin. Anak ini sering kali buat dia tersepit sehingga mengabaikan perasaannya sendiri.

Satu kemenangan bagi Badlan kerana Eliza terus tunduk. Tunduk dan tunduk. Erin senjata dia yang paling berkesan untuk merobohkan benteng Eliza.

Doa Eliza, jangan bertemu dengan pemilik mata yang sedang meneroka wajahnya. Berkampung di ceruk Puchong jangan sesekali keluar dari jajahan itu. Dia fikir dia akan selamat.

Setahun. Dua tahun. Tiga tahun. Lega. Tak ada menampakkan bayangan Qhairil di tempat yang biasa dikunjungi. Dalam tenang, Eliza meneruskan hidup. Lagipun bukankah Qhairil berhijrah ke luar negara sebaik selesai majlis perkahwinannya dahulu. Itu yang dia dapat daripada pembacaan tentang perkahwinan gilang gemilang lelaki ini suatu masa dahulu.

Ya. Itu yang diharapkan oleh Eliza. Qhairil terus berada di luar negara.

Namun, tidak hari ini. Qhairil akhirnya berada di depan mata.

Betapa kecilnya dunia mereka.

"How are you, E?" Setelah beberapa ketika mereka diamkan diri, Qhairil bersuara.

"You look good."

Eliza tunduk. Soalan yang telah dijawab oleh si dia yang bertanya.

Ya. Itulah Eliza. Sentiasa kelihatan baik di semua mata manusia. Namun dalam hati, tiada siapa tahu.

"You pun sama Qhairil." Perlahan sahaja. Sekadar untuk halwa telinga sendiri. Dengan kepala yang menunduk, Eliza tahu manusia yang bernama Qhairil ini tidak berkalih pandang.

Qhairil bukan sekadar look good. Tetapi sangat hebat. Hebat menguasai diri Eliza. Dulu dan sekarang.

Mata Qhairil tidak berubah seperti dahulu. Sekali melekat padanya tidak akan kalih ke lain. Tak ada apa yang bisa menggugat pandangan matanya. Dia tidak pernah puas menilik setiap lekuk yang ada di wajah Eliza yang berona kemerahan.

"Macam mimpi dapat jumpa you kembali." Senyum meniti di bibir Qhairil.

Mimpi jadi realiti. Dia tak tipu. Sering kali dia berharap Eliza hadir bukan sahaja dalam mimpi tetapi dalam dunia nyatanya juga.

"Bila kali terakhir kita jumpa, ya E?" Senyum Qhairil terasa pahit. Mimpi yang sukar dizahir dengan kata-kata. Rindu terhadap Eliza bukan sikit-sikit. Mengenangkan pertemuan terakhir, hati dipalu sayu.

Eliza jungkit bahu. Pertemuan terakhir yang mengundang air mata. Dia tak mahu kenang lagi.

Itu adalah pertemuan yang mengubah paksi hidup mereka. Tidak lagi selari bergandingan. Impian mereka terkubur begitu saja. Siapa yang tak kecewa.

Perlukah Qhairil bertanya. Jika hanya untuk berbasaan.

Untuk apa?

"I pernah cari you, E." Qhairil berdeham.

Eliza angkat kepala. Bibir sungging senyum. Pernah?

Sekali lagi, untuk apa?

"I'm sorry. I tak tahu you dah peluk Islam ketika itu." Qhairil menambah. Kesal yang dia tanggung dibawa hingga ke hari ini. Riak yang dilontarkan Eliza ketika ini menambah kekesalannya.

Silapnya dulu. Tetapi siapalah dia nak melawan takdir yang tertulis buat mereka berdua. Dia terlalu lambat mengetahuinya.

Namun satu, doanya terhadap Eliza tak pernah lekang dari bibir dan hatinya.

Andai Eliza peluk Islam kerana dia, Qhairil berharap Elizabeth Wong kekal dengan agama yang dianutinya.

Melihatkan penampilan Eliza di hadapannya kini. Dia panjatkan rasa syukur. Allah makbulkan satu daripada doanya.

Eliza menjadi seorang Muslim yang sejati.

"You patut beritahu I, E. I could do something."

Eliza gelengkan kepala. Pentingkah untuk Qhairil tahu dia Islam atau tidak?

Tak ada yang Qhairil boleh lakukan. Dia tak perlukan orang lain untuk mendimensi kehidupan barunya. Dia bukan budak-budak yang perlu disuruh itu dan ini.

Sekali keputusan yang diambil, selamanya dia akan berpegang teguh.

"As you can see, I'm good, Qhairil. I tak perlukan you untuk buat apa-apa. I know what I'm doing."

"E -"

Mata sepet Eliza terbuka luas. Jelas menampakkan bebola mata hitam yang memanah tajam ke arah Qhairil.

"Enough is enough, Q."

Qhairil jadi hilang punca. Dia tak mampu teruskan kata. Sungguh dia rasa bersalah.



DIA E.L.I.Z.AWhere stories live. Discover now