BAB 10

137 12 2
                                    


PANJANG keluhan Eliza sebaik terlihat manusia yang cegat di luar kedai.

Badlan. Lelaki yang dia cuba elak buat masa ini. Dah tahu tujuan apa lelaki itu ke mari.

Tak cukup memburukkan dirinya pada Erin. Sampaikan hingga ke hari ini Erin langsung tak endahkan dia.

Seolah-olah menyembunyikan rahsia sebenar adalah kesalahan dia seorang. Sukalah Badlan, dia yang dipersalahkan. Badlan juga dianggap sebagai hero oleh Erin.

"Pergilah jumpa." Kak Midah bersuara dari belakang.

"Sebelum duda angau sampai, baik settlekan cepat. Tak pasal panjang cerita nanti." Lagi tambahan Kak Midah.

Makin panjang keluhan Eliza mendengarkan itu.

Bukan setakat panjang cerita. Kalah filem Tamil jika duda angau muncul. Terlebih-lebih dramatik jadinya.

"Kak Midah janji dengan saya. Dia tak boleh tahu tentang ni." Tangan Eliza naik sambil menegakkan jari telunjuk.

Kening Kak Midah ternaik. Tak kuasa nak jadi kaki repot. Dia bukan Qhaira, anak duda yang kepoh. Asalkan tak ada adegan tumbuk-menumbuk antara hero dan penyangak di depan kedainya, cukuplah. Lebih haru jika adegan itu berlaku di dalam kedainya. Habis semua kain tempahan. Satu hal dia terpaksa bayar ganti rugi pada pelanggan.

Termasuk hari ini, dah beberapa kali dia ternampak kelibat lelaki itu mundar-mandir di kawasan mereka. Sesekali bertanyakan orang yang lalu lalang tentang Eliza. Unit rumah yang mana satu Eliza menyorokkan diri.

Mujurlah tak ada yang lembik mulut nak memberitahu.

"Yalah! Jangan sampai papan tanda kedai Kak Midah senget."

Eliza senyum nipis. Tak tahu itu sekadar gurauan atau ugutan.

Mengenali pemilik sebenar kedai ini, tak mustahil. Bukan sekadar senget, malah boleh jadi tercabut terus. Menyembah bumi. Hal dengan Badlan perlu diselesaikan.

Bunyi pintu dikuak menarik perhatian Badlan untuk berpaling.

"Hah! Bukan main susah nak jumpa Eli sekarang ni. Di sini rupanya menyorok." Panjang helaan yang Badlan lepaskan sebaik terpandang wajah Eliza di sebalik pintu gelap.

"Betullah kata Erin. Eli tinggal di sini." Tak menanti lama Badlan menghambur lagi kata-kata tanpa memberi peluang Eliza memberi salam.

Badlan pandang sekeliling. Makin downgrade hidup Eliza sejak keluar dari rumah. Tinggal di kawasan flat. Cuma flat di sini bolehlah terima dek akal. Kawasan perumahan yang bersih tak seperti dalam gambaran di kepala apabila Erin menyebut flat.

"Ada apa Abang Bad cari Eli?" Tangan Eliza memeluk tubuh. Tahu sangat dengan pandangan Badlan. Sedang mencerca dirinya.

"Sampai bila nak berkeras tak pujuk Erin? Tahu tak dia sedang bersedih sekarang ni."

Dahi Eliza berkerut. Dia silap dengarkah?

Siapa yang berkeras sekarang ini. Diakah yang mengabaikan panggilan yang dibuat?

"Dah kenapa nak bersedih. Bukankah dia suka dapat ibu baru. Tinggal serumah lagi." Bibir Eliza meriakkan senyum.

Begitulah Badlan. Suka buat dia serba salah.

Tidak untuk kali ini. Erin bukan amanahnya lagi.

"Abang tak halau Eli keluar dari rumah. Abang tak kisah Eli nak terus tinggal di situ. Lagipun dah ada Linda dan suami Erin. Bukan macam dulu."

Dari senyum, bibir Eliza mencebik.

Ceteknya pemikiran bekas abang iparnya ini. Dulu hanya mereka bertiga. Sekarang bila bertambah ahli keluarga, Badlan fikir dia nak tinggal sebumbung.

DIA E.L.I.Z.ADove le storie prendono vita. Scoprilo ora