BAB 6

109 17 2
                                    


ELIZA bergegas ke pintu rumah bila terdengar ketukan pintu tak henti-henti.

Hati mula berentak laju seiring dengan ketukan di pintu.

Belum 24 jam. Dan hari dah malam. Takkan jiran yang datang berziarah. Macam tak ada hari esok nak kenalkan diri.

"Siapa?" Tak berani nak terus buka pintu. Eliza jenguk melalui tingkap di sebelah pintu.

"Qhaira, auntie."

Bulat mata Eliza melihat kelibat anak Qhairil melalui celah langsir.

"Sekejap, Qhaira." Eliza pamit ke bilik tidur. Dia cekup tudung sarung yang terdampar di tilam. Tudung itu disarung ke kepala sambil kembali ke pintu semula.

Ada Qhaira tentu ada bapanya juga. Malam- malam begini mustahil Qhairil benarkan anak gadisnya keluar seorang diri. Meskipun berkereta sendiri.

Qhaira senyum lebar sambil memberikan salam sebaik Eliza bukakan pintu. Di tangan ada telefon yang dilekapkan pada telinga.

"Okey, daddy. Auntie dah buka pintu." Tak sempat Eliza balas salam, Qhaira bercakap di telefon pula.

Eliza pandang sekeliling. Tak ada kelibat Qhairil di sepanjang koridor.

Qhaira menuding jari pada telefon di telinga.

Qhairil yang dicari oleh Eliza ada di telinganya.

Eliza ketap rahang. Anak Qhairil ini tahu sahaja apa yang berlegar di benaknya. Dia rasa nak balut seluruh otaknya supaya Qhaira tidak dapat menduga apa-apa.

Nak tak nak terpaksa jua dia bukakan gril pintu apabila Qhaira tidak berganjak daripada menayang muka manis di luar rumah. Dah kena sampuk agaknya anak Qhairil ni.

"Auntie nampak sihat, daddy," ujar Qhaira tanpa bertanya khabar Eliza. Lebar bibir Qhaira membentuk senyum apabila Eliza berkerut dahi.

Melebih sungguh anak Qhairil ni.

Tak endahkan reaksi Eliza, Qhaira pusingkan badan. Berdiri dekat dengan pengadang koridor sambil melambaikan tangan ke udara.

Makin Eliza kehairanan dengan keletah Qhaira.

Dah kenapa dengan perangai tetamu yang tak diundang ini?

Teringin nak tahu pada siapa yang Qhaira beria lambaikan tangan, Eliza panjangkan leher. Mata tertuju ke arah pandangan Qhaira di tanah.

Qhairil sedang bersandar di badan kereta dengan kaki bersilang. Kebetulan pula dia berada di bawah pancaran cahaya dari lampu jalan. Bagai spotlight kuning sedang menyimbahi cahaya ke arah pelakon utama di atas pentas persembahan teater.

Menyedari telatah dia yang sedang jengahkan kepala, mata pelakon teater terpesong. Ada sesuatu yang dibicarakan oleh pelakon utama kepada Qhaira sehingga anak itu menoleh ke arah Eliza dan menghulurkan telefon.

"Daddy nak cakap."

Eliza redupkan mata. Apa sajalah komplot dua beranak ni. Boleh bikin dia pusing.

"Daddy tak tahu..." Cakap Qhaira seolah- olah berbisik.

Eliza ketap rahang. Entah apa yang daddy tak tahu. Begini gaya berbisik Qhaira, dari tak tahu jadi tahu.

Seharian dia dengan Qhaira. Dia dapat mengagak, daddy Qhaira dah tahu segalanya dalam sekelip mata.

"Betul!" Qhaira mendesak agar Eliza sambut telefon dari tangannya.

Nak tak nak terpaksalah telefon itu bertukar tangan. Dan Eliza tekap telefon ke telinganya.

"Apa yang I tak tahu, E?" Nampak pula Qhairil telefon dah sampai ke telinga Eliza.

Eliza undur ke belakang. Dia berdiri di jenang pintu.

DIA E.L.I.Z.AWhere stories live. Discover now