BAB 4

102 10 0
                                    

ELIZA tilik jam di pergelangan tangan sebaik dia turun dari bas. Perlahan dia lepaskan nafas yang panjang. Belum tengah hari tetapi panas sungguh hari ini.

Dia berjalan menyusuri laluan taman perumahan. Dah beberapa hari dia melilau di beberapa tempat kawasan perumahan. Misi mencari rumah yang sesuai untuk dia berteduh.

Dia kumpul iklan rumah atau bilik untuk disewa dari papan notis depan kedai serbaneka 7- Eleven. Setiap nombor yang ada, dia hubungi.

Ada bilik untuk disewa dengan harga yang mampu dia bayar. Tetapi, rakan serumah lain di kalangan pelajar. Ada yang warga asing. Ada juga bercampur jantina.

Eliza urut dada.

Ada satu rumah flat kosong. Dua bilik. Eliza agak lebih baik begitu. Satu bilik nanti dia sendiri yang akan cari rakan penyewa. Dapatlah dia tapis rakan serumahnya. Yang kena dengan jiwa.

Tangan mengipas muka. Panas. Nekad. Dia tidak mahu mencari lagi.

Dah dua malam tidurnya di hotel bajet. Tak mampu menginap lebih lama. Duit yang ada jika jimat sehabis daya dapatlah bertahan sehingga sebulan.

Itu pun sudah diketepikan duit untuk deposit rumah yang akan dia sewa kelak. Andai tidak mencukupi, tak ada jalan lain. Terpaksalah Eliza gadaikan gelang emas hadiah daripada mendiang ibunya.

Dapat rumah, dia akan cari kerja pula.

Sebelum ini, dia jadi pengasuh di rumah. Jaga anak-anak jiran. Bila Badlan minta dia pindah, terpaksalah dia berhenti mengasuh.

Badlan pun tak menyempat nak halau dia keluar dari rumah seminggu selepas majlis perkahwinan Erin. Mentang-mentanglah Erin dah tahu tentang mereka berdua.

Alasannya, rumah yang dia diami untuk Erin dan suami. Maklumlah baru hidup berumah tangga. Suami Erin baru sahaja habis belajar. Kerja pun belum ada. Erin pula sekiranya semua mata pelajaran semester lepas lulus bermakna dia ada satu semester sahaja lagi. Semester untuk dia menjalani latihan praktikal.

Badlan pula pandai-pandai membuat janji akan hadiahkan rumah yang didiami Eliza kepada Erin sempena perkahwinannya.

Itu cuma alasan. Sebenarnya, Eliza tahu Badlan nak bawa balik isterinya tinggal di situ.

Tak perlulah dia berhabis untuk bayar dua buah rumah.

Lagipun apabila dah kahwin, takkan Erin nak tinggal di hostel. Dengan suami Erin belum bekerja, lebih baik tinggal di rumah sendiri daripada menyewa.

Satu lagi alasan. Badlan sedang membeli jiwa si anak supaya tidak menyalahkan dirinya kerana merahsiakan hal besar mereka berdua.

"Mama yang minta rahsiakan. Tidak mahu studi Erin terganggu."

Eliza sungging senyum. Yalah. Dia juga yang salah. Eliza dengar sahaja apa yang Badlan ceritakan tentang kedudukan mereka berdua kepada Erin tempoh hari.

Sedangkan yang bernikah adalah Badlan. Tak lama lagi Erin bakal dapat adik.

"Yalah, sampai bila papa nak tunggu jika mama tak sudi." Balik semula salahnya pada Eliza.

Eliza terima sahaja tohmahan yang dihamburkan Erin terhadapnya.

"Lagipun rumah ini atas nama papa."

Sedangkan selama dia tinggal di situ Badlan tak pernah bayar ansuran rumah. Eliza yang bayar. Hasil daripada upah jaga anak orang. Sesekali ambil upah jahit baju.

Kata Badlan, buat apa dia bayar. Bukan dia tinggal di situ. Sesekali Erin pulang barulah Badlan muncul. Itu pun cuma sekejap.

Ada sahaja alasannya.

DIA E.L.I.Z.AWhere stories live. Discover now