BAB 9

120 13 7
                                    


TERKEBIL-KEBIL mata Eliza tatkala terpandang kelibat Qhaira bersandar di dinding sebaik dia sampai di tingkat atas. Entah berapa lama Qhaira cegat di situ. Dan gadis ini tak reti-reti nak hubungi dia bila dah sampai. Dia ada di bawah. Dalam kedai Kak Midah.

Dah beberapa hari dia mula bekerja di situ.

Qhaira tahu tentang itu.

Dan, Kak Midah pula tahu hubungan mereka. Entah-entah semua penghuni di situ juga tahu. Hubungan Eliza dengan duda anak satu.

Semalam terkejut beruk Kak Midah apabila Qhairil muncul di kedai.

Tak sempat Kak Midah berkata apa, laju sahaja Qhairil menyampaikan hajat. Minta Eliza ambil ukuran badannya. Nak tempah baju Melayu.

Bila Kak Midah kata dah tak ambil lagi tempahan untuk raya, Qhairil membalas bukan baju raya tapi baju nikah.

Nak nikah sebelum masuk bulan puasa.

Dengan Eliza.

Eliza yang baru sahaja tiba di kedai Kak Midah tercengang tak terkata apa.

Dia boleh jadi mereng dengan duda anak satu tu. Muka tak tahu mahu. Depan Kak Midah lepas laku begitu. Betapa yakinnya dia boleh mengubah pendirian Eliza.

Entah apa pula akal si duda apabila anak gadisnya di arahkan menjadi penunggu di koridor ini. Dah macam ceti pengutip hutang pun ada juga.

Tahulah dia belum bayar sewa rumah. Bukan dia tak nak bayar tetapi dua beranak ini buat tak endah setiap kali duit dihulurkan.

Semalam Qhaira tinggalkan sampul duit di atas meja makan. Entah sengaja atau terlupa.

"Auntie!" Separuh menjerit anak gadis si duda setelah terlihat kelibatnya. Seperti selalu, apabila berjumpa tubuh Eliza akan dipeluk erat.

Peluk erat macam setahun tak jumpa. Sedangkan baru semalam.

"Daddy suruh temankan auntie." Belum apa- apa Qhaira merungkaikan persoalan yang bermain dalam kepala Eliza.

"Malam tadi daddy tak lena tidur bila Qhaira bermalam di rumah." Sambung si gadis lagi bila Eliza berkerut dahi.

"Pula..." Eliza gelengkan kepala.

Bukankah Qhairil juga mengadu kesunyian apabila Qhaira tiada di rumah. Maka semalam Eliza minta Qhaira pulang ke rumah.

"Dia kata auntie tengah darah manis. Sementara dia belum boleh temankan auntie. Dia wakilkan Qhaira dulu."

Naik juling mata Eliza.

Dua beranak ni sama saja autanya. Ada-ada aje akal mereka. Terutama si daddy. Akalnya paling panjang.

"Itu apa pula?" Mata Eliza menyoroti kotak yang bersandar di tepi dinding. Sebelah kotak ada beg pakaian.

Kali ini Qhaira datang bukan dengan beg sandang untuk mengisi pakaiannya tetapi beg pakaian berbentuk empat segi.

Melihat besarnya beg itu, muat pakaian untuk seminggu dua. Pakaian Qhaira yang sedia ada di rumah ini pun berhelai-helai. Sengaja ditinggalkan.

Jika beginilah gaya anak gadis Qhairil, selagi dia tak beri keputusan selagi itulah hidupnya akan dibayangi oleh mereka berdua. Eliza lepaskan keluhan kecil.

"Mesin jahit." Tak cukup dengan intonasi bersahaja, tangan Qhaira naik menayangkan beg kertas yang bergayut di hujung jari.

Tertera besar perkataan Gulatis pada beg kertas.

"Emm..." Dada Eliza sesak. Dah tahu apa yang ada dalam tu. Malas nak tanya lagi.

Gril dan pintu rumah dibuka.

"Masuklah." Eliza pelawa Qhaira masuk. Nak tak nak terpaksalah dia hadap kerenah mereka berdua. Maklumlah rumah yang didiami pun belum berbayar.

Sebelum Qhaira melangkah masuk, dia tarik tangan Eliza. Tali beg kertas Gulatis diselitkan pada jari Eliza.

"Daddy letak contoh sekali. Dia kata biasanya tailor dia ambil ukuran di bahagian cawat untuk seluar. Auntie tak ada pula. Macam mana nak tahu saiz seluar daddy kalau tak ada ukuran."

Eliza redupkan pandangan pada isi beg kertas.

Eh! Lelaki itu...

Tangan Eliza menepuk dadanya yang sarat.

Kerja gila nak ukur 'di situ' pada duda ganteng! Bukan terpesona tapi terpesong otak andai pita ukur salah berlabuh.

Ukur di tempat lain pun seluruh badan berpeluh dingin. Inikan pula 'di situ'.

"Are you okay, auntie?" Qhaira tundukkan kepala dan menilik wajahnya yang mula dihurung sesemut.

"Jangan lupa bernafas, auntie." Hujung bicara Qhaira terselit tawa kecil. Tak jadi nak masuk rumah, dia berundur. Maju ke tempat barang yang dibawanya tadi. Sebelah tangan menjijit tangkai kotak mesin jahit. Sebelah tangan lagi menarik beg pakaiannya masuk ke dalam rumah.

"Lupa pula. Macam mana auntie nak jahit cawat daddy kalau mesinnya tinggal di luar." Tersipu- sipu Qhaira menahan tawa dengan omelannya sendiri sewaktu melintasi Eliza yang cegat di jenang pintu.

"Eh! Dua beranak ni..." Eliza tepuk dada lagi.

Sesak dengan permainan mereka berdua.

DIA E.L.I.Z.AWhere stories live. Discover now