8

159 13 1
                                    

SELESAI saja menyertai kursus kahwin, mereka makan tengah hari atas pelawaan Eshan sendiri. Dah bawa anak dara orang, tak akanlah mahu dibiarkan pulang dengan perut kosong pula.

"Nak makan nasi ke western?" soal Eshan sewaktu mereka masiu dalam perjalanan.

"Western."

Kepala Eshan jatuh sekali dan terus dipandu ke kafe kegemarannya. Lokasi yang sudah dia ketahui tahap kebersihannya dan kesedapan hidangan yang ada di kafe tersebut.

Sebaik tiba, mereka berdua masuk ke dalam kafe tersebut dan melabuhkan duduk.

"Awak belanja ke?" soal Anyra. Menu yang diberi mula dibelek. Tipikal kafe, memang mahal harganya dari kedai makan biasa.

"Hmm..." Eshan hanya menggumam sambil memandang Anyra yang sedang memilih menu itu.

Anyra yang merasakan dirinya diperhati, terus mendongakkan wajah setentang dengan lelaki di hadapannya itu.

"Kenapa pandang saya? Dah kenyang ke tatap wajah cantik saya ni?" Dia tersenyum manis dengan sebelah kening dijongketkan.

Mencerlung mata Eshan merenung Anyra itu sebelum tangan kanannya diangkat untuk memanggil pelayan. Bukannya dia saja mahu merenung gadis itu. Tapi disebabkan dia sudah tahu menu untuk dipesan.

Anyra mencebik dan memutarkan bola matanya.

"Dasar lelaki. Ego dijunjung tinggi melangit," ujarnya perlahan.

Mereka mula membuat pesanan. Beberapa minit berlalu, tiba-tiba Anyra disapa oleh seorang jejaka berkulit sawo matang yang boleh tahan juga rupa wajahnya.

"Eh, Helsa."

Anyra laju mendongak disebabkan lelaki itu lebih tinggi daripadanya. Semerta itu, bibirnya menarik senyum lebar.

Eshan yang dari tadi hanya ralit dengan telefon di tangan, turut mendongak tatkala disapa sedemikian oleh seseorang.

"Weh, Idham!"

Idham tertawa kecil. Menampakkan lesung pipit di pipi kirinya. Tangan kanannya bertahan pada kerusi yang diduduki oleh Anyra. Dia melirik ke arah Eshan sekilas.

"Aku ganggu kau orang date ke?" soal Idham.

Lekas Anyra menggeleng tanpa sempat Eshan bersuara.

"Tak adalah. Duduklah sini. Lama tak borak dengan aku," ajak Anyra.

Idham angguk sekali sebelum melabuhkan duduk di kerusi bersebelahan dengan Anyra. Spontan, sebelah tangannya didaratkan atas kerusi gadis itu. Persis gaya memeluk biarpun tanpa bersetuhan.

Eshan yang melihat itu mula tidak senang duduk. Walau apapun, Anyra itu tetap seorang perempuan yang perlu dijaga jaraknya antara dengan bukan mahram. Belakang tengkuknya mula diurut sebelum urat dibetulkan.

"Kau buat apa sekarang?" Anyra memulakan perbualan.

Manakala Eshan terus pada telefonnya sambil telinga dipasang untuk mendengar perbualan antara dua insan itu.

Idham senyum manis sambil matanya tunak merenung wajah jelita Anyra.

"Tengok ciptaan indah depan mata aku," balasnya tanpa berselindung.

Anyra memutarkan bola matanya. Memang sejak awal persahabatan mereka lagi, Idham suka bermulut manis. Walhal, jejaka itu tidak memaksudkan apa-apa. Idham gemar bicarakan ayat manis buatnya.

Tapi sebagai seorang gadis yang tidak mudah jatuh cinta hanya atas kebaikan seorang lelaki, Anyra tidak pernah menganggap itu lebih.

Cuma saat ianya dilakukan oleh Eshan, sekelip mata hatinya berasa tertarik. Jodoh, mungkin?

Puspita Milik Ishaq | OG Where stories live. Discover now