Bab 1

11.9K 141 1
                                    

Prolog I

Andainya aku tahu apa yang telah terjadi,

Tak mungkin aku lepaskanmu daripada pelukan,

Akan aku buang jauh kesakitan dalam hati,

Terima kasih atas apa yang telah kau lakukan,

Dan, aku maafkan segala kesilapan,

Andai ada suatu hari lagi,

Akan aku laungkan betapa rindunya aku setelah kau pergi,

Maaf... kerana menyalahkanmu,

Dan, aku begitu terluka kerana melukakanmu... - RAQIB


Prolog II

TUBUHNYA menggeletar menerima apa yang sedang menjalar masuk ke dalam rongga telinga. Apakah dia perlu menangis? Dia tak tahu. Kepalanya bergerak ke kiri dan ke kanan, menafikan hakikat yang sudah terbentang di depan mata. Hakikat yang tak mungkin mampu dia elak. Mata memandang wajah ibu yang sedang menitiskan air mata sedangkan dia tersenyum manis kepada ibu.

Jika menangis mampu buatkan masa berundur, dia akan menangis seumur hidup tapi ilmuan telah katakan - yang jauh itu masa lalu. Sesuatu tak mungkin dapat dia gapai lagi. Melainkan dia hadap dan telan segalanya biarpun tak ubah seperti menelan bara api.

Kedua-dua belah lengannya dipaut sedikit kasar. Wajah dia berkerut. Sengal sendi diperlakukan demikian. Ibu menerpa dan memeluk dia erat. Menangis dan terus menangis.

"Aatiq akan okey, ibu. Semuanya akan okey. Percayalah." Dia pujuk ibu padahal dia sedang beradu kekuatan dengan jiwa sendiri.

"Ibu... Ibu..." Suara ibu disekat sebak. Pelukan juga kian longgar apabila tubuh anak tunggalnya itu didorong ke depan.

Sempat dia berpaling kepada ibu. Sekali lagi senyuman tergores nipis.

"Ibu jaga diri, bu. Semuanya akan jadi baik, bu. Semuanya... percayalah." Akhirnya, air mata dia menitis jua.

Jika dia mampu...

Tapi, dia tidak pernah mampu.


Prolog III

KATA-KATA doktor bagai semilir yang lalu. Katalah apa saja. Buat masa sekarang, dia tak mampu untuk mencerna. Otak dia membeku. Akal bagaikan tak waras lantas ayat apa yang mampu dia katakan pada saat matanya terpaku kepada abah yang sudah terduduk di satu sudut?

Hendak terima kehilangan seorang saja sudah sukar, bagaimana dia dan abah mahu terima kehilangan yang kedua? Abah tak mengalirkan air mata biarpun setitis tapi dia tahu, abah sedang meraung di dalam hingga lidah itu terus terpaku pada lelangit.

Kakinya diayun perlahan menuju ke arah abah yang sedang sandarkan kepala pada dinding. Mencangkung, menyoroti mata abah. Nampak berkaca-kaca tapi bibir tua itu tersenyum tipis saat bertentangan mata dengannya.

"Abah dah sayang kedua-duanya. Mama dan adik tapi..." Suara abah tersekat di dalam rengkung. Tunduk meraup wajah sebelum dipaut tubuh anak terunanya erat.

"Abang ada, bah. Abang ada." Air mata dia mengalir tanpa dia pinta saat memaut tubuh abah dan dapat dia rasa bahu abah sedikit terhinggut.

Abah sedang sembunyikan tangis. Dan dia juga perlu sorok segala kepedihan biar apa pun terjadi. Apa yang pasti, dia tak mungkin tanggung kepedihan ini sendiri. Dia akan pastikan itu. Titisan air matanya akan ada bayaran yang setimpal. Yang bersalah, akan dihukum dengan cara sendiri. 

#HURTWo Geschichten leben. Entdecke jetzt