Bab 9

2.6K 62 3
                                    

DIA tak pernah rasakan dunia ini tidak adil. Tak pernah sekalipun, melainkan dia yang tak pernah adil dengan diri sendiri. Jika dikata dia dizalimi, tidak. Dia yang zalim pada diri sendiri. Dan segalanya seperti satu hukuman.

Sijil di depan mata dipandang. Dia tak ada sijil SPM. Dia tak berkesempatan untuk menduduki peperiksaan penting tu atas beberapa sebab biarpun sekolah tempat dia belajar tentang hidup buka peluang kepada yang layak. Yang menjadikan dia terhalang adalah dia tak layak.

Sekarang hanya berbekalkan sekeping sijil dalam bidang masakan ini saja. Itu pun semuanya seperti tersekat. Adakah terlalu lama dia terasing daripada dunia hinggakan dia tidak sedar yang segalanya telah berubah? Birai mata Aatiq basah. Diseka dengan hujung jari telunjuk. Dia rasa mahu menangis lagi.

Wajah mendongak ke langit yang begitu cerah. Tersenyum pada langit kerana dia tahu, langit pasti membalas senyuman dia. Dia mahu berbicara kepada pemilik isi langit dan bumi ini betapa dia terluka diherdik tentang kisah lalunya.

Tuhan... Aku percaya akan rezeki-Mu. Dan janganlah Kau palingkan hati aku menjadi hati-hati yang mengalah melainkan terus berjuang. Demi-Mu, Allah. Demi ibu. Dan tiada satu pun demi aku. Tiada.

Air jernih itu menitis juga biarpun dia sudah pujuk berkali-kali agar disimpan saja air mata ini. Dah banyak kedai makanan segera dan restoran dia masuk hari ni tapi semuanya tak memerlukan khidmat dia. Hotel besar apatah lagi. Tak pandang terus kepada dia. Biarpun dia merayu untuk diberi tugas sebagai pengangkat sampah pun, itu adalah yang termulia buat insan seperti dia. Dia sudah lama hilang hak untuk memilih. Dia akan hadap apa adanya yang datang.

"Kenapa menangis?"

"Hah?" Terkejut dengan teguran, Aatiq cepat-cepat mengesat sisa air mata di pipi. Dia berkalih ke kanan. Seorang lelaki yang dia kira berpangkat ayah kepadanya tersenyum.

"Kenapa menangis?" Soalan itu diaju lagi melihatkan mata bundar basah itu terkebil-kebil. Terkejut gamaknya ditegur tiba-tiba.

"Errr... Tak ada apa, pak cik." Wajah yang tadinya mendung bertukar ceria. Dia pandang gaya lelaki lebih separuh usia ini. Nampak segak. Berkopiah putih dengan kemeja kotak-kotak dan seluar slek hitam.

"Pak cik tunggu bas?"

Lelaki tua itu menggeleng.

"Tunggu driver."

Bibir Aatiq bulat menerima jawapan itu. Beruntunglah orang-orang yang kaya dan damai hatinya.

"Tunggu bas, ya?"

Giliran Aatiq pula menggeleng.

"Saja rehat kejap. Penat jalan." Dia hanya senyum kepada orang tua di sebelahnya. Tak tahu lagi nak berkata apa.

Ada masanya, apabila kembali berhadapan dengan masyarakat ini, dia seolah-olah risau untuk berkomunikasi. Gamaknya, keyakinan diri dia masih belum ditemui. Mungkin juga kerana itu dia tak diberikan peluang bekerja. Aatiq tunduk memandang telapak tangan. Tak lama, dia pejamkan mata. Takut dia pada tangan sendiri yang sudah banyak berbuat keburukan.

"Nak?"

Kelopak mata terbuka. Dia menoleh ke kiri. Senyum seketika lantas bangkit. Kalau duduk di sini, sampai ke sudah tak dapat kerja. Benda tu semua, bukan datang bergolek.

"Pak cik, maaf. Saya ada kerja lagi sebenarnya. Saya jalan dulu, ya? Pak cik hati-hati tau?" pesan Aatiq dan dia terus bangkit setelah senyuman tipis diukir manis.

"Nak..."

Langkah Aatiq terhenti. Lelaki tua itu menggamit dia mendekati.

"Nak pergi mana tergesa-gesa? Kerja?"

#HURTWhere stories live. Discover now