Bab 14

2.5K 49 1
                                    

DIA tak nak pun. Tapi dia dipaksa. Kudrat apa yang dia ada mahu melawan kekuatan Raqib yang menarik dan mendorongnya masuk ke dalam perut kereta? Hendak menjerit, bimbang dia akan diapa-apakan. Sudahnya, dia ada di dalam kereta Raqib sekali lagi. Kali ini berdua. Tanpa Johan.

Aatiq diam meladeni apa yang telah terjadi. Kata-kata Raqib tak ubah bagai pita perakam. Gelaran bekas tahanan juvana sudah cukup menyakitkan. Bagaimana dia mahu terima hadap apabila Raqib memanggilnya banduan? Air mata mula bergantungan pada alis. Aatiq tunduk memandang pada tangan yang dibalut sehelai sapu tangan dan yang membalutnya adalah tangan kasar itu.

Mata Raqib mengerling Aatiq seketika sebelum dia memandang ke depan. Seketika kemudian, jatuh pula pada tangan yang ada di atas riba. Nampak sakit tapi hati dia lebih sakit. Bibirnya herot dengan senyuman senget melihatkan wajah mendung Aatiq. Tadi berkerut juga wajah Aatiq apabila dia membelit sapu tangan pada telapak tangan itu. Dia sengaja. Tapi hairan apabila Aatiq sedikit pun tidak bersuara melainkan hanya mengetap bibir tanda yang dia sedang disakiti.

"Sakit?" Raqib memecahkan hening.

Aatiq menggeleng laju. Masih tunduk menekur pada telapak tangan sendiri seraya mengesat air mata yang belum sempat jatuh menitis.

"Nangis?" Makin lebar senyuman sinis koyak pada bibir Raqib.

Sepi. Aatiq tak bertindak balas sedikit pun.

"Tak payah nangis. Aku tak akan terpedaya dengan air mata tipu kau tu!" cemuh Raqib tanpa apa-apa rasa.

Suasana kembali sepi apabila nyata Aatiq masih diam membisu. Raqib juga memilih untuk diam. Hanya matanya semakin kerap mengerling gadis di sisi. Tak pernah ada mana-mana gadis berada di dalam satu kereta dengannya melainkan arwah mama dan arwah Raisya. Aatiq adalah yang pertama.

Aneh. Kenapa mesti dia yang aku benci?

"Air mata yang macam mana pada awak bukan air mata tipu?"

"Hah?" Terpinga-pinga Raqib dengan soalan Aatiq yang tiba-tiba. Dia terkebil-kebil sendiri sebelum menyoal.

"Air mata macam mana... Apa?" Kurang jelas sebenarnya soalan itu.

"Air mata yang macam mana pada awak, bukan air mata tipu?" ulang Aatiq.

Dipalingkan wajahnya merenung sisi wajah Raqib dan apabila Raqib berpaling dua saat, mata mereka berlaga tepat. Raqib telan liur. Soalan Aatiq sedikit sukar untuk dipangkah. Dia berdeham panjang. Menolak naik rambut yang jatuh ke dahi.

"Pada aku, apa saja daripada kau dan tentang kau... adalah palsu!"

"Kalau macam tu, berhenti sekarang," suruh Aatiq. Berani!

"Kau nak suruh aku campak kau tepi jalan dalam keadaan tangan kau luka berdarah gitu? Malam-malam buta ni?" Raqib buat muka.

Keretanya diperlahankan sedikit dan ditukar lorong paling kiri. Dia tak sekejam Aatiq walaupun kebencian dia pada gadis ini meluap-luap. Dia ada cara sendiri untuk menyakitkan Aatiq dan dia tak pilih untuk sakitkan fizikal gadis ini walaupun seinci. Dia dah janji akan dera emosi gadis ini sehingga dia puas hati.

"Awak cakap apa ada pada saya semuanya palsu. Air mata saya air mata tipu. Luka ni pun mesti tipu. Darah yang mengalir ni..." Kain balutan dibuka kasar. Disuakan telapak tangan yang masih berdarah itu tepat di depan muka Raqib.

"Ini pun darah tipu. Ini semua palsu. Saya tak sakit. Kesakitan saya palsu. Awak anggap ajelah yang kewujudan saya dalam dunia ni palsu. Anggap ajelah saya tak pernah wujud. Jangan ganggu saya lagi. Saya tak pernah sakitkan awak. Saya tak kenal awak. Kenapa buat saya macam ni?" Suara Aatiq biarpun berbalut getar, tapi tegasnya nyata.

#HURTWhere stories live. Discover now