Bab 13

2.4K 50 0
                                    

AATIQ! Raqib buka mata yang entah bila terkatup saat dia menyeru nama itu pada akhir mimpi ngerinya.

Matanya dipisat berkali-kali. Johan tiada di sisi. Ya, dia yang suruh Johan balik rehat. Ikutkan dia, Johan pun boleh bertukar jadi robot. Nak-nak Johan tak pernah bantah setiap kata-katanya.

Pelik!

Kenapa nama dia? Persoalan itu menikam benak. Apa yang tak kena dengan aku ni? Kenapa nama perempuan kejam itu yang aku sebutkan? Jam menghampiri dua belas tengah malam. Dia kena balik rumah abah. Risau dengan keadaan abah. Sebagai anak, dia ingat pesan Mak Yam kali terakhir wanita separuh umur itu menghidangkan makanan untuk mereka.

Kunci kereta dicapai. Jaket dibalut ke tubuh sasa yang begitu letih. Tangan naik pada kepala menyebak rambut yang jatuh ke dahi. Suasana restoran gelap apabila hari ni adalah hari cuti. Hanya dia yang masih setia di sini.

Tidur lenanya - hanya di sini. Kerana bidang ini adalah sesuatu yang baru pada dia. Hanya tiga tahun kebelakangan ini dia menceburkan diri menjadi peniaga. Sedangkan, dia lebih suka kerja yang lepas bebas. Menjadi seorang perunding dalam bidang elektrikal yang ada masanya perlu terbang ke negara orang demi penilaian kelulusan bahan.

Setelah enjin dihidupkan, Raqib menekan pedal minyak. Mencari hala tuju ke rumah abah namun entah di mana akalnya berada, dia akhirnya tiba di kawasan perumahan kos rendah itu sekali lagi.

Enjin kereta dimatikan. Sunyi. Hanya sesekali bunyi deruman motosikal anak-anak muda. Dari jauh, bilik itu nampak gelap.

Dah tidur ke dia? Raqib sangkut dagu pada stereng. Merenung jauh pada rumah yang terang lampu depannya. Seakan-akan dapat ditembusi dengan pandangan biasa. Sesekali, resume dan sijil Aatiq yang ada di tempat duduk sebelah dipandang. Dia tahu, tak ada siapa pun pandang sijil Aatiq termasuklah pengurus restorannya, Shella. Yang tahu sekarang, hanyalah dia dan Johan.

Puas menyembamkan wajah ke stereng, Raqib sandarkan belakang yang terasa sengal. Menutup mata yang begitu berat hingga dia hampir terlelap. Rindunya pada rengekan Raisya. Rindu lagi pada bebelan mama.

Dia... tak punya banyak masa bersama dua wanita kesayangan itu kerana kekangan tugas. Dan apabila dia mahu lapangkan masa, kedua-duanya sudah begitu jauh pergi. Membuatkan masa-masa lapang yang dia ada sekarang dihimpit sepi.

LANGKAH Aatiq kian perlahan saat menghampiri kereta mewah itu. Dia cam sangat dah kereta ni. Perlu ke dia berhenti atau teruskan langkah dan anggap saja dia tak mengenali? Walaupun dalam tidak kepastian, tubuh Aatiq rapat juga pada kereta itu. Memang betul Raqib.

Dialah penyebabnya Raqib muncul di sini. Tapi, dia masih tak tahu apa yang buatkan Raqib memburu. Kakinya terpaku di bumi saat merenung wajah yang nampak lelah itu. Biarpun kurang jelas, tapi apabila dia rapatkan wajah kepada cermin, dada Raqib nampak berombak tenang.

Beg disangkut pada bahu. Dia letih sebenarnya. Seharian keluar mencari kerja tapi rezeki masih tak berpihak kepada dia. Yang satu itulah tinggal menjadi harapan walaupun masih belum ada jawapan. Dia berharap sangat. Moga harapan itu tak layu.

Macam mana dia boleh tidur di dalam kereta yang tak pasang penyaman udara malah cermin pun tak dibuka? Tak panas ke? Didekatkan lagi muka ke cermin. Ditutup kiri dan kanan wajah untuk halang cahaya agar raut Raqib jelas. Tanpa dia sedar, mata kuyu itu sudah terbuka separuh.

Melihatkan Aatiq muncul tiba-tiba, dada Raqib berdebar tak sudah. Ingatkan Aatiq ada di dalam rumah tapi muncul dekat dengan kereta dia malam-malam buta ni. Baru balik gamaknya apabila melihatkan pada pakaian Aatiq.

Sengaja dia tak terus luaskan pandangan mata. Rasa seperti mahu ditatap wajah itu lama-lama. Dalam benaknya masih timbul soalan yang sama. Kenapa wajah yang sebegini ayu dan cantik mampu berlaku kejam? Mana perikemanusiaan Aatiq?

#HURTWhere stories live. Discover now