Bab 6

2.7K 69 0
                                    

IKUTKAN hati, dia suruh aje Johan lenyek Aatiq biar lunyai jasad itu tanpa mampu dapat dicam. Tapi, Aatiq tak boleh mati semudah itu. Aatiq tak boleh pergi tanpa izin dia. Dia tak akan benarkan Aatiq tinggalkan dia. Tambah pula, mati adalah satu hukuman yang cukup mudah untuk Aatiq. Sangat mudah. Sedangkan Aatiq perlu melalui penderitaan yang lebih dalam daripada dia.

"Bos?"

Raqib angkat wajah. Fail yang ada gambar dua wajah tersayang itu ditutup kasar. Dicampak ke sisi.

"Bos nak balik ofis?"

Raqib angguk. "Kau pergi balik klinik tadi. Perhatikan dia pergi mana. Apa dia buat. Setiap gerak-geri dia. Aku tak nak kau lepaskan dia walaupun sesaat. Kau ingat tu."

"Baik, bos." Johan angguk lagi. Dia teruskan perjalanan menuju ke tempat yang diarahkan. Tanpa bantahan walaupun sepatah.

Sebaik saja kelibat Johan hilang, kaki Raqib melangkah ke dalam pejabat yang sepi. Rasa terkejutnya masih belum reda apabila dipertemukan Aatiq dengan cara yang dia tak sangka. Tak mampu dia bayangkan jika kakinya yang menekan minyak dan tangan dia yang mengendalikan stereng, masih hidupkah Aatiq?

Daun pintu ditolak kasar. Tubuh sasanya dihempas di atas sofa kulit berwarna putih. Sebuah fail di atas meja kopi dicapai. Dibelek perlahan. Wajah Aatiq terlayar lagi di depan mata. Masih ada perkara tentang Aatiq yang dia tak tahu dan sekarang adalah masanya untuk dia korek segalanya tentang Aatiq. Tentang lelaki yang ada dalam hati gadis itu. Yang menjadi penyebab kepada segala kesengsaraan. Biarlah keseronokan dia berterusan dan ternoktah pada waktu yang sepatutnya.

Tangisan...

Kekecewaan...

Kekesalan...

Kemarahan...

Semuanya masih bermaharajalela di dalam dada hingga ke hari ini. Tidurnya tak pernah lena apabila telinga dia masih lagi terdengar jerit sakit adik tercinta. Mata dia macam nak buta melihatkan kemurungan arwah mama.

Ditambah berat beban di dalam dada apabila saat kepergian Raisya, dia tiada di sini. Lebih dua belas jam, baru dia tiba di tanah air. Saat itu, hanya ada tanah merah menutup jasad kaku Raisya. Melihatkan mama yang bersedih, dia perlu kuatkan hati tapi apabila mama mengikut jejak Raisya, kesedihan dia menjadi nanah yang busuk.

Penumbuk dikepal kemas.

"Kau tak akan tenang lepas kau renggut tenang aku! Tak mungkin!"

Dia nampak jelas ketenangan pada wajah itu. Sesekali, terasa damai jiwa menatap bening mata bundar yang sedikit merah dan berair. Tapi, wajah itu jugalah yang mahu dia carik biar rosak.

Sejam lebih masa berlalu, telefon bimbitnya bergetar. Raqib menyeluk poket seluar dan terus dilekapkan telefon ke telinga.

"Ya, Jo."

"Dia tengah cari kerja, bos. Lepas dia keluar dari klinik, dah dua tiga buah kedai dia masuk. Nampak macam dia keluar masuk ke beberapa buah restoran berdekatan."

Kening Raqib berkerut. Restoran?

"Dalam keadaan sakit?" tanya Raqib tapi Johan tak bagi jawapan. Hanya nafas tenang Johan sudah cukup menjadi jawapannya.

"Dia nak jadi waitress gamaknya?"

"Tak pasti, bos," jawab Johan gagap. Jarang dia menjawab begitu kerana dia tahu, Raqib hanya mahukan jawapan yang tepat.

"Cari kepastiannya, Jo. Aku tak pernah suka jawapan tak pasti!" Talian dimatikan. Raqib campak telefon di atas meja.

Sebuah lagi fail dicapai. Laporan pendapatan rangkaian restoran milik keluarganya dicapai. Ditatap lama. Apa langkah yang patut dia buat sekarang? Kedua-dua belah tangan ditekup pada kiri dan kanan kepala.

#HURTOnde histórias criam vida. Descubra agora