Bab 8

2.5K 58 1
                                    

MALAMNYA tak pernah tak terganggu. Hampir setiap malam, malah kian kerap pula sejak akhir-akhir ini kejadian itu menghiasi mimpinya. Seluruh tubuhnya perlu dibasuh dengan wuduk.

Dia tidak tenang. Dada dia tidak lapang. Dan hanya kepada Pencipta udara inilah dia perlu pinta sedikit ruang untuk bernafas dengan tentang. Saat dia membasuh kedua-dua belah tangan, bagai mengalir darah merah itu daripada kedua-dua belah telapak tangan namun kenapakah darah itu tak pernah mahu kering?

Tuhan...

Aatiq terus membasuh celah jari-jemari. Kanan dan kiri - beralih pada anggota lain pula. Biarpun terasa dosanya tak pernah hilang bersama air yang mengalir, dia masih tak puas membasuh segalanya.

Tak sedar, air matanya menitis lagi. Sesekali, nafas dia sesak benar. Dia mendongak ke siling yang kekuningan. Mata dipejam rapat. Wajah-wajah yang terluka muncul di dalam kepala. Suara jeritan kesakitan Raisya - mengaum kuat. Kelopak mata Aatiq terbuka. Dia terus membasuh muka sekali lagi sebelum keluar dari bilik air menuju ke bilik.

Telekung disarung ke tubuh. Terasa begitu hening. Malah, setiap saat dirasakan hidup dia bagai berada di penghujung jalan yang mati. Jika tidak kerana ibu, pastinya dia akan begitu kejam dan jahil merenggut nyawa sendiri.

Lama dia berteleku di atas sejadah seusai solat sunat taubat dua rakaat. Sujud akhirnya lama. Air mata menitis tak terseka. Setelah itu, dia bangkit dan duduk di birai katil bujang yang sudah usang. Bunyi unggas bersahutan. Seperti bunyi itu sedang memanggil, dia bangkit dan berjalan ke pintu besar. Ditarik selak dan dikuak pintu kayu itu lebar.

Dinginnya udara sepertiga malam. Terasa begitu nyaman memujuk hatinya yang dia sendiri telah lukakan. Dengan tubuh yang masih dibaluti telekung, Aatiq labuhkan duduk di atas kerusi rotan usang yang ada di depan pintu.

Sepi.

Tiada satu suara pun yang berbisik melainkan unggas cengkerik yang bertasbih. Dia pandang ke dada langit yang nampak terang namun sebutir bintang pun tiada menghiasi. Seperti juga dia. Melihat pada riak wajah, pasti masyarakat tak mampu menerka apa yang telah dia lakukan. Wajahnya bersih dan tenang namun hatinya hitam. Tiada seri.

Air mata Aatiq mengalir lagi. Kemudian dipejamkan mata. Lama.

Raisya... Aku tak pernah putus mendoakan kesejahteraan kau setelah kau pergi. Tak pernah sesaat aku lupakan kau dan kesakitan yang kau alami. Tak pernah sesaat aku tersenyum setelah apa yang aku buat dekat kau, Raisya. Tak pernah sesaat aku berhenti daripada menyalahkan diri sendiri.

Kau menang biarpun kau pergi.

Aku kalah walaupun aku masih di sini.

Senyuman aku - pergi bersama kau, Raisya. Kembali kepada Penciptanya.

Tawa aku - terlalu sumbang apabila diselangi tangis kekesalan aku kepadamu.

Adakah keterlaluan jika aku bertanya, Raisya? Adakah kau ampunkan aku?

Dan Aatiq tahu, soalan itu tak pernah berjawapan melainkan air matanya kembali laju mengalir.

MATA Raqib tak lepas sesaat memerhatikan wajah itu dari kejauhan. Biarpun sedikit jauh, tapi pandangan mata dia masih tajam dan tepat. Dia tak pernah tersasar merenung sasarannya. Dia tahu Aatiq menangis. Tapi, adakah tangisan itu mampu membasuh luka dalam hatinya? Membasuh segala dosa yang telah Aatiq lakukan?

Kepala Raqib menggeleng sendiri. Tak sangka. Kedatangan dia seperti dapat dirasakan oleh Aatiq dan gadis itu keluar menyerah diri kepadanya. Jika mahu, dia boleh arahkan Johan menculik Aatiq tapi melihatkan Aatiq berbalut telekung begitu, terasa berat tindakannya malah lidah dia juga memberat sama.

#HURTHikayelerin yaşadığı yer. Şimdi keşfedin