Bab 2

4.5K 82 1
                                    

USAI asar, Haji Razali naik ke atas. Nak-nak apabila ruang tamu berada di tingkat paling atas. Letih betul rumah sampai tiga tingkat ni. Masa muda dan bila anak-anak ada, seronoklah naik turun. Terasa lapang rumah ini untuk empat beranak tapi sekarang, terasa kosong. Bukan lagi lapang malah kosong. Tambah pula anaknya jarang benar pulang.

"Tak berhenti lagi buat kerja, Yam?" soal Haji Razali kepada pembantu rumahnya.

"Eh, dah siap dah. Nak angkat kain aje sikit. Lepas tu saya nak balik dah. Tuan haji nak minum ke?" soalnya lembut.

Tanpa menjawab, Haji Razali sekadar mengangguk.

"Saya duk depanlah ya, Yam?" Dia terus berlalu ke anjung. Bukan apa, tak boleh dia nak pandang wajah-wajah yang ada di dalam rumah ni lama-lama. Hati dia tak betah. Birai mata dia pasti mahu basah.

Apatah lagi melihat pada wajah pucat Mak Yam. Bagaimana wanita ini menangis di depan dia tiga tahun dulu. Bagaimana dia begitu berbelas dan dia sendiri mahu lupakan segalanya tanpa anak dia tahu. Yang pasti, dia hanya mahu melupakan. Dia mahu memaafkan. Dia mahu hidup tenang.

Mak Yam terus ke dapur membancuh secawan teh kurang manis. Kemudian dihantar kepada Haji Razali.

"Air, haji."

"Erm, terima kasih, Yam. Pergilah balik. Dah lewat ni. Nanti lewat sangat takut hujan pula. Lambat awak sampai rumah nanti," suruh Haji Razali.

"Saya angkat kain dulu, nanti saya balik. Esok saya sambung lipat." Mak Yam terus mengelek bakul plastik dan mengutip sehelai demi sehelai kain di ampaian.

"Saya ni, Yam..."

Tingkah Mak Yam terhenti apabila terdengar suara Haji Razali. Dia berpaling memandang wajah tua itu. Malah lebih tua daripada dia tapi kerana takdir, mereka saling mengenali. Saling berdepan dengan hakikat yang memeritkan.

"Ada anak pun, jarang-jarang balik," sambung Haji Razali dengan suara yang dalam daripada rengkung.

"Dia sibuk tu, haji. Kerja banyak. Biasalah tu." Cuba disedapkan hati majikannya tanpa dia sedar, hati dia juga merasakan yang sama. Anaknya bukan tak balik namun tak mampu untuk balik. Beza tu.

"Entahlah, Yam. Masa saya kerja dulu, saya ada aje masa untuk keluarga. Apabila saya serah dekat dia, dia jadi macam tak ada masa langsung untuk saya. Kadang-kadang saya nak tanya dia, tak risau ke saya sorang-sorang dekat rumah. Saya nak tanya dia, apalah yang penting sangat melainkan saya. Apalah yang ada dalam hati dia. Semuanya saya nak tanya, Yam. Tapi, masa tu memang..." Gelak halus berhembus dari celah bibir Haji Razali. Dia menggeleng kecil sebelum menghirup air yang sudah mula suam.

Hati Mak Yam menangis. Biarpun di bibir senyuman tipis merajai tapi dalam hati, air jernih itu sedang menghujani. Kain terakhir diletak di dalam bakul.

"Saya dah siap angkat kain. Esoklah saya lipat, ya?"

Haji Razali mengangguk lemah. Dipandang wajah Mak Yam.

"Esok saya nak pergi jenguk anak saya sekejap. Awak datang lepas zohor pun tak apa, Yam. Rehatlah dulu pagi-pagi. Sejak tiga tahun, rasanya awak tak pernah ada masa untuk diri sendiri melainkan awak hambakan diri untuk saya dan anak saya." Dalam erti hambakan diri yang dia mahu sampaikan dan dia tahu, Mak Yam mengerti.

"Tak apalah, haji. Bukan haji tak bayar gaji. Haji bagi saya kerja ni pun dah satu rahmat dah."

Ya, apa lagi yang mampu dia lakukan apabila rezeki berniaga dia terhenti. Tapi, dia yakin rezekinya masih ada di tempat lain lantas dia datang menemui Haji Razali.

#HURTWhere stories live. Discover now