Bab 10

3.5K 85 20
                                    

MENGGIGIL seluruh tubuh Aatiq. Rasanya, jika ditoreh sekarang, pipinya mesti tak berdarah. Penat dia usap kedua-dua belah tangan tapi jari-jemarinya tetap terketar-ketar saat turun dari kereta milik Raqib tadi. Masuk aje ke dalam rumah, dia bagai dah tak berpijak di bumi nyata. Segala sendi dia terasa begitu lemah. Sebaik saja dia menutup pintu bilik, jasadnya terkulai - longlai di belakang pintu.

Tuhan... Dugaan apakah lagi?

Dia tekup wajah ke lutut yang diheret rapat ke dada. Teresak-esak sendiri. Rasa mahu dipatahkan kedua-dua belah tangan sendiri yang pernah lakukan banyak kejahatan. Setelah satu, satu masalah itu datang. Dia tak pernah tenang malah tak mungkin tenang seperti sebelum perkara itu terjadi.

Biarpun nasi berkuahkan air masak, dia bahagia masa tu. Biarpun diherdik, dia bahagia apabila ramai kawan-kawan menyokong hasil jualannya kerana tahu dia begitu memerlukan walaupun ada juga yang membenci.

Waktu itu, dia sentiasa berlapang dada. Dunia kecil dia dan ibu hanya ada kasih sayang, senyuman dan gelak tawa. Tapi sekarang, dunia yang maha luas ini dirasakan sungguh sempit. Setiap hari, bumi dan langit menghimpit jasadnya. Dia sakit. Teringatkan renungan Raqib aje sudah mampu buatkan dia gementar. Ditambah lagi apabila lelaki itu buka mulut - berbicara, rasa nak aje dia lari ke hujung dunia.

"Aatiq?" Ketukan menyusul bersama suara ibu.

"Aatiq kenapa?" Tadi, dia di dapur. Dengar pintu dibuka dan dia tahu Aatiq balik. Biasanya pasti Aatiq mencari dia tapi ini tidak. Terus ke bilik dan dikunci pintu rapat. Pasti ada yang tak kena.

"Aatiq, buka pintu ni, nak," pujuk Mak Yam apabila langsung tak mendapat reaksi.

"Jangan buat ibu risau, Aatiq..."

Mendengarkan kata-kata ibu, Aatiq sedar yang dia sedang membuat ibu risau. Tak sudah-sudah hati ibu resah kerana dia. Tubuh lemahnya diangkat. Tombol pintu dibuka dan daun pintu dikuak lebar setelah dipastikan air matanya kering.

"Ibu..." Dia senyum membalas renungan ibu.

"Aatiq okey aje pun. Baru nak tukar baju nak tolong ibu."

Tiada pilihan, Mak Yam angguk. Dia boleh nak mendesak tapi sudah terlalu banyak asakan di dalam kepala Aatiq dan dia akan tunggu bila mana anak daranya ini bersedia untuk meluahkan.

"Macam mana hari ni?" Soalan berubah tajuk.

"Oh, yalah..." Aatiq tepuk dahi.

Mak Yam jegilkan mata. Suka betul tepuk dahi. Terus senyuman semanis madu terlakar indah pada wajah anaknya. Tangan Aatiq menyelongkar beg yang masih bersilang pada tubuh. Sekeping kad dikeluarkan dan ditunjukkan kepada ibu.

"Ada seorang pak cik ni, bu... Tiba-tiba muncul masa Aatiq duduk dekat bus stop. Dia tanya Aatiq okey ke tak. Lepas tu masa Aatiq nak pergi, dia panggil. Dia cakap sesuatu yang memang buat hati lega sangat." Waktu ini, memang rasa lega itu jelas terpancar pada wajahnya.

"Cara dia pesan tu, macam ibu bagi nasihat dekat Aatiq. Lepas tu, dia bagi kad ni. Dia suruh pergi minta kerja dekat sini. Katanya, kawan dia punya. Insya-Allah dapat. Tapi..." bicara Atiq mati.

Teringat kembali wajah Raqib. Lidah pun hilang daya untuk bersuara. Kelu dia seketika tapi cepat-cepat dia lebarkan sengih memandang ibu.

"Atiq tak sempat nak pergi tadi. Esok pagi ajelah," tambahnya buat-buat ceria.

Mata Mak Yam merenung kad tersebut. Rasa hendak tersembul biji mata. Apa yang dikata, sudah dikota rupa-rupanya. Perlu ke dia berterus terang, dia tak tahu. Bimbang makin banyak hati yang terluka. Hati Aatiq lebih-lebih lagi.

#HURTWhere stories live. Discover now