Bab 11

2.3K 43 0
                                    

TANGAN yang berbalut dipandang. Luka tak sampai seinci pun tapi dalam jugalah apabila kulit di atas sendi jarinya koyak. Wajah Aatiq menari balet di dalam kepalanya. Cuba dihalau, tapi semakin kerap wajah tangis itu menemani. Mata Raqib menjeling pada Johan di sisi.

"Jo?"

"Ya, bos?"

"Dah siap tukar cermin kereta?"

Johan angguk.

"Cuma tak sempat nak tinted aje, bos."

Kepala Raqib bergerak beberapa kali tanda faham. Diusap misai dan janggut yang mula tumbuh menipis. Kemudian dia urut belakang leher. Dapat dia rasa rambutnya dah panjang mencecah kolar.

Dipandang menu baru yang dicadangkan oleh pekerjanya. Boleh tahan. Entahlah. Sehari dua ni - sejak Aatiq kembali, fikiran dia bukan pada kerja. Dia terlalu sibuk memburu tapi saat buruan ada di depan mata, begitu sukar dia mahu lepaskan anak panah tepat pada sasaran. Sepatutnya, hanya sekali dia perlu tegangkan tali busur untuk lepaskan anak panah. Sasarannya pasti tepat mengena. Tapi, bukan masanya lagi.

"Jo?" Tiba-tiba teringat juga dia pada kata-kata Aatiq. Nak cari kerja. Dia dah tahu sebelum tu. Cumanya...

"Kau dah tahu dia ada sijil apa?"

"Dia ada sijil masakan daripada sekolah tu."

"SPM?"

"Maaf, bos. Dia tak sempat ambil masa tu. Atau boleh jadi tak layak. Saya kurang pasti apa yang buatkan dia tak dapat nak ambil periksa tu, bos."

Bibir Raqib tersungging dengan senyuman senget mendengarkan perkataan maaf daripada Johan.

"Kau tak salah apa, Jo. Tak payah minta maaf sebab dia tak dapat ambil periksa. Sepatutnya dia tu tak patut ada dalam muka bumi ni," luah Raqib tanpa sedar.

"Kalau aku jadi pengetua dekat sekolah tu pun, aku tak bagi dia ambil periksa dan aku tak akan bagi dia belajar apa-apa. Biar dia keluar dari Henry Gurney tu, dia mereput di tepi jalan." Pen di tangan digenggam. Mujurlah keras. Kalau pensel ni, dah lama patah empat.

Dia dilahirkan kidal. Walaupun tangan kanan berbalut, tangan kiri masih boleh digunakan.

"Tapi, bos..."

"Tapi apa, Jo?" Mata Johan dipandang tepat.

Lama Johan diam.

"Tak apa, bos. Ini..." Diletakkan satu sampul surat berwarna coklat cerah di depan Raqib.

"Shella bagi dekat saya untuk bos calon cef baru. Dan..."

Makin berkerut dahi Raqib. Seperti dapat dia agak apa yang bermain di dalam kepala Johan. Cepat-cepat dia tarik beberapa helai kertas putih itu dan dibelek muka surat kedua, wajah itu muncul lagi.

Nampaknya, takdir juga tak nak kau jauh dari aku, Aatiq! Senyumannya makin menggerunkan.

SETELAH apa yang terjadi semalam, takut juga dia nak keluar rumah namun digagahkan jua langkah. Semangat diseru. Apabila terasa lumpuh, wajah dan kata-kata ibulah yang jadi penyembuh.

Besar harapan moga tak bersua dengan Raqib hari ni dan selamanya. Dia tak tahu dari mana lelaki itu muncul. Dibawa angin lalu. Apabila tiupan itu terhenti, Raqib jatuh di depan dia. Harapnya, angin itu kembali berhembus dan membawa Raqib pergi. Sejauh-jauhnya.

Tadi dia dah bagi sijil dan resumenya kepada wanita yang dipanggil Cik Shella oleh pekerja The Rebung. Tak tahulah Cik Shella dah koyak atau helaian resume dan sijilnya masih elok tersimpan. Dia cuma diberitahu, jawapan pada permohonannya akan dihantar melalui e-mel nanti.

#HURTWhere stories live. Discover now