Bab 5

3.2K 73 2
                                    

SATU demi satu pintu yang dia lepasi, tapi dia tetap keluar dengan rasa yang hampa. Bukan dia tak tunjuk sijil kursus yang dia ada tapi sijil itu begitu menakutkan orang ramai. Letih menapak, Aatiq labuhkan duduk di perhentian bas. Mencari arah mana yang patut dia tuju sekarang. Segalanya seperti jalan mati buat dia padahal dekat kawasan Greenwood ini begitu banyak restoran besar.

Penat sungguh hari ni. Semangat yang berkobar-kobar dan menyala serasa mula malap apabila permohonannya ditolak tanpa sempat diberi peluang. Dia hanya minta satu saja lagi peluang. Bukan dua tapi hanya satu.

Dia mahu mengalah. Tapi, mengingatkan wajah berharap ibu dan janjinya, semangat yang malap itu kembali bercahaya. Aatiq angkat tubuh. Dia betulkan beg yang disilang pada tubuh. Tudung yang dirasakan herot juga dibetulkan. Dia paksa dirinya untuk tersenyum.

Kuat, Aatiq. Kau dah janji dengan ibu. Kau dah buat ibu menderita tiga tahun. Kau dah buat ibu susah payah sendiri. Kau kena bayar seumur hidup kau. Biarpun nyawa kau menjadi galang ganti. Itu pun tetap tak mampu membayar segala hutang kau kepada ibu!

Tangan dikepal kemas. Menyeru segala semangat yang berbaki. Kakinya kembali diayun. Namun entah kenapa, sewaktu hendak melintas kakinya terhenti apabila ada sebuah kereta yang sedang menghampiri dia, membuatkan langkahnya teragak-agak.

Dia pandang ke depan. Lampu hijau pejalan kaki sedang berkelip. Hampir padam berganti merah. Langkah cuba dipercepatkan tapi bunyi hon menghentikan langkahnya. Saat ini lampu hijau berganti merah. Seperti nyawa dihujung tanduk yang tajam. Entah bila, dia terduduk di atas jalan raya.

Orang ramai berkerumun dan Aatiq cuba buka mata. Sikunya terasa perit. Baju kurungnya koyak di bahagian itu. Ada darah yang mengalir. Malah, tumit kasutnya juga patah. Kereta itu terlalu dekat dengan tubuhnya.

"Jo, kenapa?" Terkejut Raqib saat Johan memberhentikan kereta. Berterabur kertas yang ada di tangan.

"Errr... Macam dah terlanggar orang, bos," jawab Johan jujur.

Tadi, daripada jauh dia memang dah nampak lampu merah itu bertukar hijau. Kerana itu dia tak memperlahankan kereta. Entah dari mana muncul gadis itu. Jantung dia mahu gugur juga.

"Rasanya tak serius. Kau keluar tengok apa yang patut. Kalau perlu, kita bawa dia ke hospital terima rawatan," suruh Raqib.

"Lain kali peka, Jo. Ingat... Nyawa ada satu aje. Tak boleh beli dekat mana-mana dah. Hargai nyawa orang lain dan nyawa sendiri." Sempat dia berpesan sebaik saja Johan membuka pintu.

"Ya, bos." Pintu kembali ditutup rapat. Johan terus mendapatkan seorang gadis yang sedang cuba bangkit dan menolak bantuan orang.

"Cik tak apa-apa?" Johan bertinggung tepat di depan gadis ini.

"Ya, saya okey." Kepala diangkat dan matanya menentang tepat pada wajah pemilik kereta itu.

Jantung yang masih tak tenang mengepam darah kembali bekerja keras. Dekat nak terduduk atas jalan sebaik saja menatap bening mata bundar itu. Liur ditelan. Sesekali, dia mengerling ke dalam kereta. Macam mana kalau bos nampak?

"Betul okey?" Johan cuba bertenang. Nak-nak apabila orang ramai mula berlalu meninggalkan mereka berdua saja.

Aatiq angguk dalam senyuman. Menghantar isyarat yang dia memang okey. Setakat luka sikit ni, biasalah. Dia pernah terima lebih teruk daripada ini.

"Itu luka?" Jari telunjuk pemandu tersebut menuding pada siku yang berdarah.

"Eh, sikit aje ni. Saya okey." Cepat dia menutup kulit yang terdedah. Sekali lagi, dia gariskan senyuman tipis namun cukup manis.

#HURTWhere stories live. Discover now