Bab 1 : Perbincangan

633 49 7
                                    

"****!"

"..."

"Ah, *#$!!!"

"..."

"Tch, tak gunaaa!! A-A-Ahhhh!!!"

"Boleh tak kau main game diam-diam sikit?"

Fithri menghela keluh, menghempas badannya bersandar di sofa. Berkedut-kedut mukanya, tidak tahan dengan kekalahan teruk. Raja yang duduk di sebelah hanya memandang kosong.

"Aku tak puas hati! Jom main lagi!"

Namun Raja tutup skrin telefon bimbitnya dan membaling telefon yang tidak bersalah itu di sebelah, di bahagian sofa yang tidak diduduki.

"Tak nak."

"Alaaa..."

"Kau lawan aku macam mana sekali pun, aku tetap menang. Reda sajalah." ucap riak Raja. Fithri mengeluh lagi, juga menutup skrin telefon bimbitnya dan menyelitkan benda itu masuk ke poket seluar jeans perang gelap.

Dia lihat Raja. Mukanya seperti biasa, kosong. Mengantukkah? Tidak ada raut begitu tertulis pada wajahnya. Lapar? Mungkin juga. Lelaki itu memang susah untuk dibaca bahasa badannya... Namun Fithri cuba juga mentafsir.

"Bosan?"

"Hmm."

Ya, dia juga sebosan Raja. Terperuk sahaja mereka berdua di dalam bilik mesyuarat geng 5 Sains 1. Rakan-rakan lain sedang sama ada bersiar-siar, shopping, tidur di kamar ataupun bekerja sambilan. Keputusan SPM lama lagi hendak ditunggu. Sehari dirasa bagai bertahun.

"Aku nak tidurlah."

Fithri mengalih tempat duduknya ke sofa yang lagi satu. Raja berbaring-baring di sofa panjang mahal itu.

"Aku pula nak mengemas."

Lihatlah pemandangan yang boleh membuat mana-mana mata mereput. Dinding biru langit sudah dicoretkan dengan 'awan' berwarna-warni yang berbau makanan basi. Sofa mahal diperbuat daripada kulit sudah koyak rabak. Buku-buku majalah bersepah di sana sini. Karpet bulu pula bagai berlecak kerana setiap hari ada sahaja air tumpah. Air kosong, tak apalah juga, tetapi ini air manis yang tumpah! Budak-budak remaja, apabila sudah bebas daripada cengkaman persekolahan, beginilah perangainya.

Selama 15 minit yang sunyi itu, Raja isi dengan aktiviti tidurnya manakala Fithri membersihkan apa yang patut.

Bilik itu akhirnya bersih berkilat. Dinding pun sudah dibersihkan. Lantai dan karpet sudah kering dan bersih divakum. Tinggal sofa sahaja, perlu dijahit sedikit. Itu boleh dibuat di lain hari, fikir Fithri.

Raja masih tidur lena. Bingit bunyi vakum pun tidak mengganggu lenanya. Entah-entah, bom atom kalau diletup sebelah telinga, pun tidak terjaga.

Duduk Fithri di pinggir sofa, merenung Raja.

"Comelnya apabila lelaki tidur... Hahaha..."

Bisiknya hanya untuk suka-suka. Melihat akan muka tenang Raja seperti bayi yang tidur kekenyangan susu, mulut Fithri pula menguap kantuk. Jadi remaja perempuan itu ambil keputusan untuk tidur.

Fithri baru sahaja hendak memutar tombol pintu untuk keluar ke bilik tidurnya di koridor sana apabila...

"KAMU BERDUA!!!"

"ADEHH!"

Terpelanting Fithri apabila pintunya di hadapannya terbuka tiba-tiba. Boleh pula Raja terjaga akibat jeritan garau Azim dan Fithri.

Hani muncul di balik daun pintu, tangannya menunjal-nunjal kepala Azim. Entah dirasa atau tidak tunjalan itu, kerana rambutnya tebal memacak menyerap tekanan daripada sampai ke reseptor kulit.

PlutoWhere stories live. Discover now