Bab 11 : Selain Kita

337 33 1
                                    

  Aku 'berenang' selaju mungkin di udara mencari seseorang. Orang kata, 'malu bertanya sesat jalan' tapi, aku tak rasa aku akan sesat mencari 'guru' aku. Lagipun aku malaslah nak ganggu kawan-kawan aku yang sedang sibuk mengawal Adventure, melalui jaluran asteroid yang terletak di antara Marikh dan Musytari.

  Di kokpit pertama dan kedua tiada. Bilik graviti, tiada. Dorm lelaki, dah tentu-tentulah tiada. Dorm perempuan, pun tiada (aku TERmasuk dorm perempuan...).

  "Fith?"

  "Hmm?"

  "Oh, hahaha... kau dekat sini rupanya."

  Mencungap jugalah aku mencari dia. Fithri di dalam kokpit ketiga, sedang membaca sebuah buku tebal berkulit gelap. Jarang kami guna kokpit ketiga kerana sudah ada bilik graviti yang menggantikan fungsinya sebagai ruang makan. Tempatnya pun agak terpencil dari bahagian-bahagian lain di Adventure. Tapi kami ada juga guna alat-alat senaman di sini.

  "Erm, aku nak minta tolong sikit...--"

  "Minta tolong apa lagi? Semalam kau dah beraksi begitu hebat. Jadi tiada benda yang aku nak ajar lagi."

  "Oh hehehehe....," aku terlupa terus niat sebenar aku mencari dia selepas dipuji. Kembang kuncup hidung aku!

  "J-Jadi... patutkah aku beritahu dia sekarang?"

  Fithri menguntum sengih, masih matanya pada helaian bukunya. "Cepat betul? Kau betul-betul dah bersediakah?"

  Bersedia... aku rasa aku sudah lama bersedia. Lama aku menaruh hati pada Hani. Sejak aku mula kenal dia, aku jatuh hati dengan dirinya. Namun Hani mungkin tak perasan perasaan aku ni (dan aku bukannya tunjukkan pada dia pun), jadi dia menjadi milik orang lain.

  Tapi, Hani asyik ditipu, dicurangi, dibuang begitu saja. Banyak kali dia dipujuk dengan kata-kata manis, tapi pengakhirannya tetap begitu. Itulah dia, kelemahan Hani ialah cepat lemah dengan kata-kata manis playboy sekolah. Aku rasa kasihan. Aku, kalau boleh, nak hentikan semua tu dan berikan pengakhiran gembira kepada kisah cinta Hani.

  Dulu... aku biarkan saja dahulu rasa suka aku ni kerana..., yalah kan, tak elok bercinta semasa masih bersekolah. Tapi sekarang, aku agak tak salah kalau mula bercinta, bukan? Aku dah selesai SPM dah pun!

  Tapi apabila difikirkan balik... Hani berkawan baik dengan aku sejak kecil. Kalau aku meluahkan rasa suka aku kepada dia... aku bimbang dia menolak aku. Jujur, aku tak kisah dia tolak cinta aku tapi aku begitu takut kalau-kalau dia putuskan terus hubungan persahabatan kami. Aku tak nak perkara tu terjadi...

  "Hei. Kau dengarkah tak?"

  "Eh? A-Apa kau cakap tadi?"

  "Haih. Kau bersediakah nak luahkan perasaan kau tu dekat Hani?"

  "Aku... Aku... entahlah! Rasa takutlah pula. Dah apabila kau ingatkan aku fasal perkara ni, aku jadi ragu-ragu pula!

  D-Dan aku bukan nak minta tolong fasal ni sebenarnya!!"

  Fithri memandang aku. Kosong. Buku besar itu ditutup.

  "Apa dia?"

  "Masih fasal Hani, cuma... Hidung dia berdarah semalam. Kau rasa kenapa, ya?"

  Okey, aku tak jangka Fithri akan terkejut gila badak macam ni. Aku cuma nak minta pandangan dia. Dia lihat aku dengan mata yang terbeliak. Menakutkan.

  "K-Kenapa..., Fith?"

  Mukanya yang terperanjat tadi bertukar kembali kepada raut kosong, menoleh ke arah lain.

PlutoWhere stories live. Discover now