Bab 4

3K 92 16
                                    

BAB EMPAT: CIKGU NIK & MIOR

"Mung Baik ke Jahat ke, Mapuh tu Pasti."

Aku bernafas tercungap-cungap. Aku tak tahu di mana aku berada sekarang. Sekeliling aku gelap-gelita. Terasa sempit juga ruang yang aku duduk ini. Udara sejuk yang tidak diketahui asal datangnya memenuhi segala penjuru bilik ini. Entah macamana aku tak dapat rasa anggota badan aku. Tapi aku amat pasti aku dalam posisi bersila sekarang.

"Ada orang dok kat sini!" aku melaung. Manalah tahu ada juga orang lain. Tapi segalanya hampa bila sahutan aku tak berjawab.

Aku masih lagi dalam posisi kedudukan yang sama tanpa sebarang cahaya menyinari ruang yang sempit ini. Tapi itu hanya seketika apabila muncul satu cahaya. Melihatkan gaya cahaya itu memasuki ruang ini, aku dapat mengagak seseorang membuka pintu dan aku berada dalam sebuah bilik yang gelap. Satu sosok lembaga mula masuk. Kedengaran bunyi besi bergesel pada dinding. Aku dah mula cuak.

"Sape mung!?" aku bertanya dengan nada serius. Aku tak rasa ini semua satu gurauan.

Lembaga tadi tidak berkata apa-apa. Dia hanya berdiri di hadapan aku. Aku sedar ada sesuatu di tangan kanannya. Dia mengangkat tangan kanannya seolah-olah ingin menghayunkan sesuatu. Jarak kami yang amat rapat membuatkan aku yakin bahawa sasaran hayunannya adalah aku. Aku dah mula menggelabah dengan tindak-tanduk lembaga ini. Adakah ini pengakhiran hidup aku?

"RADHI!!" Satu teriakan yang amat aku kenali memecah keheningan di dalam bilik ini. Serentak dengan itu, lembaga tadi jatuh terbaring. Nampak gaya dia macam kena hentak dengan sesuatu.

"Radhi, mung okay dok?" Suara itu meluru padaku. Mior. Aku terkejut, entah macamana Mior boleh ada di sini. Aku cuba bersuara tetapi suara aku tidak keluar walau sepatah pun.

Mior mengangkat aku perlahan-lahan. Tapi dia tidak perasan kemunculan dua lembaga yang membelakanginya. Aku cuba memberi amaran kepada Mior tapi dengan keadaan aku sekarang, ia amat mustahil. Aku cuba menjerit sepuas hati. Aku cuba menggerakkan badan aku agar Mior sedar akan kemunculan lagi dua lembaga di belakangnya tapi semua itu hanyalah sia-sia.

Dua lembaga tadi berlari dan mendapatkan Mior dan mengunci pergerakannya. Salah seorang daripada mereka mengelar tengkuk Mior. Berderau darah aku melihat darah keluar membuak-buak tanpa henti dari tengkuk Mior. Mior dilepaskan ke lantai begitu saja dan menggelepar dua-tiga kali macam ayam kena sembelih sebelum menghembuskan nafas terakhirnya. Aku hanya sekadar mampu melihat semua itu berlaku.

"Mior!!" aku menjerit sepuas hati tetapi teriakan aku bermain di dalam mindaku.

Dua lembaga tadi mendapatkan rakan mereka yang dipukul oleh Mior. Mereka seolah berbicara seketika sebelum meluru ke arah aku. Aku yang dalam posisi terduduk ini hanya mampu melihat sahaja sama seperti tadi. Salah seorang daripada mereka merentap rambut aku secara kasar dan menarik aku untuk berdiri secara paksa. Tapi tiada kesakitan yang aku rasa. Mungkin aku dah dibius terlebih dahulu. Aku melihat dua lagi yang lain memegang sesuatu yang membentuk seperti pisau. Mereka berdua menghunus pisau di tangan mereka serentak ke arahku.

"BENG BUAT GINI KE AKU!!" aku menjerit sekuat hati sambil memejamkan mata.

"Woi, mung ni bising ah." Aku terdengar suara Tajin. Aku membuka mata kembali.

Aku terbeliak seketika apabila melihat suasana di sekeliling aku berubah sepenuhnya. Aku berada di atas katil dalam dorm aku. Ada sosok tubuh lelaki dalam jubah di penjuru katil aku. Badannya dihalakan ke arah lain. Cover muka kut. Apa yang hairannya, hanya aku dan dia berada di dalam dorm ini. Mana yang lain? Tak pula aku tahu.

"Menda hok mung nampok tadi menda hok nok jadi dok lama agi." Sosok tubuh manusia tadi bersuara. Suaranya serupa macam Tajin.

"Mung ke, Tajin?" Aku cuba mengesahkan tuan empunya suara tu.

SAHUT - sebuah novel oleh RasisWhere stories live. Discover now