Bab 5

2.7K 73 15
                                    

         

BAB LIMA: AMANAH YANG BERAT

"Beng buat janji Melayu. Beng Tebeng."

TARIKH: 14/5/201X; MASA: 2300

Aku duduk di kafe sekolah sambil memerhatikan surau. Baju Melayu yang aku pakai pagi tadi berganti pula dengan baju Melayu yang lain. Tapi walaupun pakaian yang aku pakai bersilih-ganti, tujuan aku memakainya tetap sama. Menyambut pemergian insan yang tersayang. Dan bilangan mereka meningkat kepada tiga. Cikgu Sam diberi pengecualian.

Jasad Mior dan Cikgu Sam selamat dikebumikan bersebelahan dengan pusara Cikgu Nik, dan George tak jauh daripada sini tengahari tadi. Solat jenazah dan bacaan tahlil baru saja selesai dilakukan. Suasana malam ini kelihatan makin suram berbanding semalam.

Ayah aku sedang berbual dengan Ayah Mior. Walaupun mereka duduk di meja lain tapi suara mereka jelas kedengaran sampai ke meja yang aku duduki. Ibuku yang berada di sebelah aku cuba menenangkan ibu Mior. Dari tadi lagi dia tak berhenti-henti menangis, lain pula dengan suaminya yang tenang. Mungkin disebabkan ayah Mior merupakan bekas armada laut, dia tidak begitu terkilan akan pemergian anak bongsunya.

Aku ingin pergi membasuh muka tapi pergerakan aku terbatas. Dua orang adikku sedang lena tidur di ribaku. Seorang lelaki dan perempuan. Masih terlalu mentah untuk mengetahui apa yang berlaku di sekeliling mereka. Aku teringat lagi petang tadi adik perempuanku bertanya kenapa ibu Mior menangis tak henti-henti. Hiba. Aku memandang kembali ibu Mior, Puan Adiba, tangisannya dah berhenti. Mungkin sudah tiada airmata untuk ditangisi.

Aku melihat sekeliling. Selain kami, hanya abang Mior berdua saja yang memenuhi kafe ini. Mereka yang lain sedang berada di surau ataupun kelas. Mungkin mereka merasakan tiada apa lagi yang perlu mereka risaukan memandangkan pembunuh sebenar dah ditangkap. Atau lebih tepat mati.

Ustaz Jo muncul tanpa aku sedari lalu pergi ke arah ayahku dan ayah Mior, Pak Bani. Dalam kesedihan ini, kekaguman aku terhadap cara Ustaz Jo muncul secara tiba-tiba masih tidak dapat disangkal. Sering kali aku bertanya pada diriku, adakah Ustaz Jo pernah menuntut ilmu ninjutsu sebelum mengajar seperti sekarang. Tak siapa tahu kebenarannya.

Aku perasan ada beberapa orang guru datang ke arah kafe dari surau. Ustaz Megat, Cikgu Rafi dan beberapa orang guru lelaki lain pergi ke arah ayahku dan Pak Bani. Ada yang memberi ucapan takziah. Ada juga yang menceritakan kebaikan Mior sepanjang dia belajar di sini. Tapi, walau apapun yang mereka katakan, aku lihat ayah Mior hanya tersenyum. Satu senyuman yang aku tidak tahu apa maknanya tapi menyimpan satu rahsia.

Ustazah Maznah, Puan Ramlah dan beberapa orang guru perempuan lain pula datang ke meja kami. Seperti yang berlaku pada Pak Bani, begitu jugalah yang berlaku pada Puan Adiba. Cuma reaksi yang ditunjukkan berbeza. Puan Adiba kembali menangis teresak-esak. Kain tuala kecil di tangannya semakin basah mengelap kumbahan tangisannya. Kesian juga aku lihat reaksinya yang sebegitu rupa.

"Mama, along bawok acu ngan acik letok dalam kereta dulu eh?" Aku meminta keizinan ibuku untuk membawa adik-adikku ke kereta yang di-parking tak jauh dari kafe ni. Suasana kafe dah makin bising dengan kehadiran guru-guru.

"Gi la," ibuku mengizinkan.

Aku mengangkat kedua-dua orang adikku ke kereta. Bukannya berat sangat mereka berdua nak didukung ke kereta. Aku membaringkan mereka berdua ke dalam kereta dalam posisi tidur yang lena sebelum bersandar di badan kereta. Pintu aku biarkan terbuka luas. Senang sikit udara sejuk nak masuk dalam kereta. Adik-adik aku pun tak kepanasan.

Suasana di kafe makin meriah dengan kehadiran para pelajar. Macam pesta keraian pula aku lihat. Nampak sangat pengorbanan yang dilakukan oleh Mior sangat bermakna. Aku lihat gelagat mereka yang kebanyakannya berterima kasih kepada kedua-dua ibubapa Mior. Aku palingkan kepala aku pada adik-adikku.

SAHUT - sebuah novel oleh RasisWhere stories live. Discover now