IX - Hukum Alam

5.5K 558 44
                                    

ENTAH buat kali yang ke berapa, aku menjengah dari anak tangga paling bawah itu. Melihat kalau-kalau bayangnya ada di tingkat atas ataupun sudah lama keluar.

Dari tadi sebenarnya aku menunggu dia. Sejak lauk-pauk panas dihidang tengahari tadi hinggalah petang menjelma. Kerana seperti sedia maklum, hanya ada aku dan dia di rumah ini. Kalau bukan kami berdua yang habiskan sajian yang aku masak, alamatnya terbiar basi jawabnya.

Tapi, hari ini dia tetap sama. Seperti hari-hari sebelumnya. Dingin membeku, malah untuk melihat wajahku jua dia seakan jijik.

Jujur, hanya kami berdua di rumah ini, dan kalau diikutkan jaraknya hanyalah sejengkal dua. Tapi terasa sungguh jauh hati ke hati, apatah lagi mengenangkan sikapnya.

Melihat bayangnya yang masih tak muncul, aku menghela nafas. Mengeluh.

Dia memang takkan muncul. Sengaja menjauhkan diri daripada aku. Aku tahu.

Aku mengambil duduk di ruang tamu. Mengenangkan setiap perbuatannya kepada aku.

Dulu, dia tidak begini. Ketika sekolah menengah sejak pertama kali kami berkenalan, dia bukan begitu. Sejak mula hati kami masing-masing berkenan, dia sangat berbeza.

Jauh di sudut hati, aku rindukan dia. Rindukan lelaki yang sentiasa menerbitkan senyuman lebar hanya untuk aku.

Kerana kini, aku umpama menjadi hamba kepada senyumannya itu, merayu agar janganlah seinci daripadanya dikurangkan olehnya.

Sedang aku mengelamun dalam sedih, aku terlihat bayangnya yang mula turun dari tangga dan menuju ke pintu hadapan.

"Ben."

Satu panggilan yang dulunya acapkali aku tujukan buatnya. Nama yang khas aku berikan, hanya aku yang memanggilnya begitu.

Haikal Benjamin, yang dia syaratkan kepada sesiapa pun untuk tidak memanggilnya dengan nama belakang itu, kerana dia sukakan cuma aku yang menyebutnya acapkali.

Dulu dia sungguh berbunga-bunga apabila namanya dipanggil begitu, dan kali ini, aku haraplah agar masih tersimpan walau secubit perasaan itu.

Tapi, aku tahu balasannya hampa. Dia sedikitpun tak bereaksi apabila kupanggil itu. Hanya langkahnya terhenti sejenak dari terus diatur.

"Saya dah masakkan sejak tengahari tadi. Ben dah makan? Kalau belum...."

"Buang je. Aku dah makan."

Begitu kasar balasannya atas ajakan aku.

"Tapi, Ben tak keluar bilik dari tadi. Nanti Ben lapar. Saya..."

Belum sempat aku habiskan ayat aku, dia terus berlalu tanpa pamit. Hanya tak lama selepas itu, terdengar enjin motornya yang dihidupkan sebelum mula menghilang.

Aku menggigit bibir aku dalam melihat bayang itu yang berlalu. Hampa tak usah kata. Bertalu-talu sebak aku rasakan.

Kenapa, Ben?

Aku menarik nafas dalam. Usahlah bertanyakan itu. Kau pun pasti dapat menebak kenapa.

Langkah aku atur ke dapur. Sajian itu aku biarkan bertutup. Masih tak mahu dibuang walaupun sudah dingin terdedah pada udara.

Dalam menahan perit hati, aku membersihkan jua apa yang patut di ruang dapur itu. Sebelum tak lama kemudian, aku terdengar tapak kaki mula melangkah masuk ke rumah.

Aku tahu itu Ben.

Lantas aku tanpa membuang masa, terus keluar. Mendapatkan dia yang umpama bergegas menuju ke atas, yang aku agak, hanyalah sebab nak mengelak dari berjumpa dengan aku.

Home For Imperceptible LoveWhere stories live. Discover now