XV - Baru, Baharu dan Rindu Itu

4.8K 463 156
                                    

PADA asalnya, aku— jejaka yang memang tak lokek menjadi tatapan rakan sekuliah dan igauan pelajar wanita di sini, atau mungkin cuma aku yang perasan sendiri— memang tak peduli akan dia. Apabila kami pertama kali berhubungan ketika dia meminta kebenaran untuk menemu ramah aku selaku pengarah program di fakulti itu, aku sememangnya bersetuju saja.

Memang asalnya aku tak kisah pun dengan ayat gramatis dan penuh formal dia hantar pada aku melalui aplikasi WahatSap itu.

Maaf menganggu saudara. Saya, Filza Saufia Adli dari jurusan Komunikasi dan Maklumat ingin meminta kebenaran menemu ramah saudara untuk dimuatkan dalam akhbar rasmi universiti bagi sesi 15/16.

Saya berharap kerjasama dari saudara bagi melancarkan tugas pihak kami dan bersedia menunggu maklum balas saudara.

Terima kasih dan salam hormat.

Ok. Aku tipu. Aku tergelak besar lepas baca mesej penuh formal itu. Dah macam surat rasmi gayanya. Aku dahlah memang jenis kuat main-main. Jadi pengarah program kali ini pun secara bidan terjun, terpaksa. Memang nasiblah dia jumpa aku.

Apabila kali pertama aku berjumpa dia untuk sesi temu ramah hari itu, memang aku lihat dia hanya terus kepada kerjanya. Aku cuba berlawak pun dia layan bena tak bena—yang aku boleh agak dia bukannya ikhlas, tapi terpaksa atas dasar aku sumber maklumat penting.

Tangannya aku lihat ligat menulis semua yang aku cakap. Langsung tak memandang wajah aku yang aku rasa dah cukup segak dan tampan hari ini.

Maksud aku, pandang dengan penuh minat.

Hanya sesekali dia berhenti, sambil kawan yang berada di sisi menemaninya pada hari itu mula menunjukkan satu persatu soalan yang harus dia tanyakan nanti. Aku pun tak faham apa tujuan mereka begitu. Meskipun kata kawannya, ini tugasan individu. Dia cuma menemani si wartawan tak bergaji itu.

Tapi apa-apa pun, aku masih rasa tercabar juga sebab dia tak layan aku. Mana pernah ada perempuan yang tak cair dengan aku, yang tak terasa nak melayan aku. Aku rasa aku dah cukup tampan untuk didekati. Lagi-lagi dengan pakej aku yang suka berlawak. Perempuan kan suka lelaki yang kelakar?

Pelik betul aku dengan dia ni.

Aku memang sengaja nak 'uji' kehidupan dia. Nak tahu dia memang tak ada minat pada aku langsung atau apa. Jadi, kesempatan yang satu-satunya aku ada adalah menggunakan kawan dia tempoh hari.

Kawan dia beretnik India, tapi sangat peramah. Kontra betul dengan dia. Jadi, lebih mudahlah aku gunakan alasan untuk memanjangkan tahap 'ujian mental' aku dengan minta nombor perempuan India itu, nak tahu sama ada reaksi dia sama macam perempuan lain yang aku kenal—suka melayan ala-ala manja melentok dengan aku sebab kesungguhan aku— atau sebaliknya.

Paling tidak, aku kena tahu yang daya penarik pada aku boleh diguna pakai pada semua wanita termasuk dia atau tidak. Perempuan Melayu mustahillah tak jatuh hati pada aku. Rata-rata aku yang tinggalkan akhirnya sebab rasa macam sama saja semuanya, suka menempel semacam.

Selain perempuan India tersebut, penangguhan maklumat yang dia minta daripada aku selepas temu ramah pun dah dijadikan satu alasan untuk aku sengaja memanjangkan urusan dengan dia, meskipun dia bersegera mahukan semua maklumat.

Selagi dia tak jatuh hati dengan aku sekaligus membuatkan aku bangga diri dengan pencapaian 'lelaki terkenal' dalam universiti, aku akan lebih melengah-lengahkan masa.

Bila boleh bagi nama senarai pemenang, agak-agaknya?

Keras betul nadanya. Emoticon comel semua tak ada. Bayangkan, semua pernyataan yang dia bagi, semuanya bernoktah. Macam memorandum pun ada.

Home For Imperceptible LoveWhere stories live. Discover now