XVIII - Nukilan Dari Aku, Untukmu

4.3K 351 77
                                    

"CAKAP sesuatu. Supaya kita boleh bantu awak."

Itu yang dia dengar dalam suara yang tenang itu.

Kata orang, air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Dan perumpamaan itu berputar-putar di ruang minda, cuba mencerminkan keadaan sebenar si empunya suara.

Bernada tenang namun penuh rasa ingin tahu. Penuh rasa tertekan atas sebab tiada satu pun yang mampu diperoleh.

Dunia ini begitu sulit, bukan? Terlalu banyak rahsia yang tidak terlerai. Bahkan, setiap simpulan itu hanya mampu dibiarkan termati. Siapa juga yang mampu bersabar menghadap ikatan simpulan mati yang benar-benar halus?

"Saya dah beritahu semua. Hanya antara awak faham atau tidak." Balasnya, dengan pandangan tepat ke dalam mata wanita berkaca mata itu.

Senyuman wanita tersebut terukir. Cuba memujuk.

"Awak beritahu melalui mana?"

"Pandangan."

"Tidak verbal?"

"Mungkin." Manipulasi.

Sekian lamanya begitu. Hingga akhirnya tiada penyelesaian yang terbaik dalam hidupnya.

Sepi. Itu akhirnya yang terjadi.

"Baiklah. Ada apa-apa yang awak nak cerita lagi? Apa yang awak buat untuk hari ini?" Soal si wanita, masih sedaya upaya menyelongkar.

"Berfikir."

"Tentang?"

"Hidup sendiri."

"Maksudnya?"

"Hidup tanpa orang lain."

"Apa yang terlintas dalam fikiran awak untuk itu?"

"Berhenti jumpa seseorang, macam awak." Begitu yakin dia mengungkap itu.

Nafas dihela. Hanya anggukan diberikan kemudian.

"Ini, untuk awak."

Sebuah buku kecil itu disua. Yang hanya dibalas dengan pandangan mata yang tak betah bertaut.

Buku nota kosong tersebut disentuh wanita itu perlahan.

"Tuliskan apa-apa yang awak rasa dalam ni. Mungkin awak lebih selesa luahkan dengan cara begini. Apa-apa pun, untuk dua minggu lagi, jangan lupa temu janji. Saya akan hubungi keluarga anda untuk peringatan." Balas wanita tersebut.

"Okay." Hanya itu yang dibalas.

Buku nota tersebut dibawa pergi. Bersama hati dan jiwa yang serasanya tiada yang berubah antara sebelum dan selepas temu janji bersama pakar tersebut.

Telefon pintar dikeluarkan seketika terasa ada getaran yang mengganggu awang-awangan pemikirannya tadi.

"Dah habis?"

Satu suara itu bersoal.

"Hmm."

"Akak dalam perjalanan. Jangan pergi mana-mana." Kata suara dalam talian.

Sepi sejenak. "Tak apa."

" 'Tak apa' apa?" Soal suara itu.

"Jangan datang. Nak pergi tempat lain dulu."

"Nak pergi mana?"

Sepi lagi, sesaat dua. "Nanti baru balik."

Belum sempat mendengar jawapan, panggilan terus dimatikan.

Paparan skrin ditenung jauh, bagaikan berfikir sesuatu.

Tak lama kemudian, dia terlihat pula satu paparan yang lainnya.

Home For Imperceptible LoveHikayelerin yaşadığı yer. Şimdi keşfedin