XX - Dalam Ingatan Hadi Husairi

3.5K 258 56
                                    

"SAYA tak tahan dengan semuanya lagi."

Dalam ingatan Hadi Husairi, masih terpalit kata-kata dari kekasih pujaan hatinya itu. Kukuh bagaikan telahpun dipaku.

Dahulu, pujaan hatinya memang begitu. Selalu mengadu setiap inci masalah hidupnya kepada Hadi Husairi. Bagi Hadi Husairi, meski terlihat respons daripadanya yang tidak memberangsangkan, sekurang-kurangnya dia masih menjadi pendengar setia. Pujaan hatinya juga tidak betah mengkhabarkan setiap keadaannya yang tertekan dengan kerjaya dan pelbagai masalah peribadi.

"Saya harap saya boleh jadi kaya satu hari nanti dan lupakan semua ini."

Pujaan hatinya juga suka mengadukan hal ini; perihal menjadi kaya-raya. Dek kerana permasalahan kewangan yang acapkali melanda golongan B40 ini.

Hadi Husairi pula memang begitu prihatin dengan luahan kekasih hatinya. Baginya, meskipun bukan dalam bentuk kemewahan harta yang dia mahukan, namun setidaknya dia tidak langsung berniat mengabaikan. Malah, sepenuh perhatian diberikan kepada kekasihnya tatkala mendengar luahan hati itu.

Dahulu, perihal demi perihal peribadi diluahkan kepadanya. Terkadang, lali mendengar rengekan. Ada masa, kasihan yang mendatang. Bila perlu, dihulur juga wang apa adanya kepadanya.

Kalau diikutkan, begitu banyak hal mereka tempuhi bersama sepanjang tempoh mereka bercinta. Kata orang, kalau jodoh dipanjangkan, memang atas pelamin akhirnya hubungan mereka berdua. Manakan tidak, berkepit bagaikan belangkas. Berjalan bagaikan merpati dua sejoli. Ibaratnya, seisi kampus begitu memuja perhubungan mereka yang berserdehana namun begitu utuh ini. Maka, tidak hairanlah sekiranya rutin hari Hadi Husairi telah termasuklah mendengar isi hati kekasihnya.

Tapi, tahun demi tahun, dalam ingatan Hadi Husairi telahpun berubah rutin itu. Dalam pada cinta yang kian mekar, dugaan juga datang bertimpa-timpa.

Namun, bagi Hadi Husairi, dugaan yang datang seharusnya mematangkan mereka. Maka, dia tulikan telinga sahaja mendengar rajuk gaduh pujaan hatinya. Kalau bernasib baik, pagi esok datang menempellah kekasihnya itu.

Cumanya, hari demi hari, apabila semakin lali telinganya mendengar rajuk yang sama, semakin terdengar ketidakpuasan dalam diri kekasih hatinya.

Hari ini, dalam ingatan Hadi Husairi seperti biasa, rutin itu kembali. Di tempat biasa, dia berjalan menemukan pujaan hatinya.

Entah sama ada kekasihnya memahami atau tidak, tapi dia tidak betah berasa begitu berdebar hari itu. Meskipun tahu apa yang bakal disebutkan kekasihnya; masalah kerja, masalah peribadi, namun dia tetap berasa gemuruh.

Cinta, mungkin itu tandanya cinta. Melihat kekasih hati adalah bagai kali pertama dia diusik cinta, bukan? Berdebar-debar, rasa tidak tenang.

Hadi Husairi mengukir senyum. Di ribanya ada bunga yang sentiasa wujud dalam ingatannya; khas buat kekasih hati.

Dia terlalu cintakan kekasih hatinya, sepenuhnya.

Agak lama dia berada di situ sendirian sambil ditemani angin yang agak riuh menampar pipinya, dalam keadaan dia masih duduk tegak sambil menunduk membilang kuntuman bunga di ribaannya, bayang kekasih hatinya mula menghampiri.

Rutinnya akan berputar kembali.

Hadi Husairi tersenyum. Oh, dia akan rindukan rutin ini.

Kekasih hatinya berdehem kecil sambil membetulkan duduknya. Jarak diambil sewajarnya daripada Hadi Husairi.

Sepi. Umpamanya yang kian menjerit adalah angin kuat di sekeliling mereka.

"Kita dah lama bersama." Kata kekasih hatinya, memulakan bicara. Tak mahu membuang masa lebih lama.

Home For Imperceptible LoveWhere stories live. Discover now