XIV - Kertas Kecil di Bilik Peribadi // Kau Jiwa, Aku Rupa

4.4K 460 20
                                    

19 November, 1:23 p.m. ,
Malaysia, 26°C.

Bila serasanya aku boleh mengarang cerita panjang begini? Aku juga tidak pasti. Tapi berada di bilik peribadiku dalam rumah ini adalah tersangat selamat. Aman dari dunia luar.

Isteriku, sejak siang tadi sudahpun keluar. Sempat dia memaklumkan bahawa dia keluar bercuti bersama rakan-rakannya selama beberapa hari. Aku biarkan saja. Memang aktiviti hujung bulannya begitu.

Kami memang berbelanja banyak setiap bulan. Tapi, buat aku yang menjalankan perniagaan besar-besaran, not tiga angka yang sebeban tebalnya dalam rumah ini adalah tidak terhitung. Jadi siapapun pastinya takkan mempersiakan kemewahan yang diperoleh.

Disebabkan aku hanya bersendirian sekarang, aku berasa mahu menceritakan perihal hidup aku secara peribadi. Jurnal? Mungkin.

Aku memang seorang pemikir tentang cara-cara untuk sentiasa bangkit. Dahulu di sekolah, aku menyasarkan untuk mendapat tempat tertinggi dalam kelas antara rakan-rakanku. Penampilan aku sentiasa kemas untuk dilihat paling ranggi di sekolah.

Aku ingin menjadi yang paling menyerlah, dan aku berhasil mendapatkan semuanya. Kawan-kawan yang turut sama gaya denganku, misalnya.

Satu ketika yang aku ingat, dalam usaha mengekalkan posisi, ada seorang kawan sekelas perempuan aku yang mula menjadi tumpuan kami.

Si dia yang tak punya sebarang keistimewaan.

Dia dikategorikan oleh si lelaki yang aku kenali sebagai paras bawah sederhana; tidaklah cantik dan menarik. Akibatnya, dia diejek oleh si lelaki yang satu itu.

Apabila dia tertawa dan tersenyum pun, dia disebutnya sebagai mengada-ada. Hodoh, jelik dan mengganggu pemandangan adalah antara yang selalu dilemparkan oleh lelaki tersebut.

Itu memang kenyataan yang sangat pedih, dan apabila aku imbas kembali semuanya, aku berasa tentunya perempuan itu berasa sangat terpukul dengan cemuhan itu.

Lelaki itu, bagi aku, sememangnya tiada perasaan ihsan dan belas. Walhal, setiap manusia bukankah ada hak untuk berasa bahagia? Apa-apa sahaja yang Tuhan kurniakan— tinggi, rendah, cerah, gelap, kecil, besar— bukankah manusia itu harus saling cuba untuk mendukung sehingga terlahirnya kesyukuran dalam diri empunya?

Aku terasa lelaki itu sungguh bodoh untuk mengejek perempuan itu begitu. Membiarkan perempuan itu menangis sendirian, menempelak dirinya kerana terasa begitu tidak sempurna. Membiarkan kata-kata kotor itu menyelinap ke sanubari, merendahkan keyakinan si dia yang dahulunya sering teruja untuk menjelajah dunia, mengumpulkan pengalaman berharga.

Masih aku ingat satu ketika si dia begitu teruk dihentam disebabkan paras rupanya, disebabkan lelaki tersebut terlalu rasa jelik— mungkin juga kerana terlalu angkuh— dengan kehadirannya. Baginya, mempunyai wajah yang tampan takkanlah layak berada sekelompok dengan yang biasa. Yang lebih pintar mustahil fitrah layaknya berada bersama dengan yang rendah potensinya.

"Kau dengan muka buruk kau ni, boleh jalanlah! Silap hari bulan, mati sia-sia je kau ni sebab tak ada sesiapa yang nak pandang! Jijik seh!"

Jadi, disebabkan itu, si dia semakin rasa rendah hati. Semakin menangisi keadaannya setiap malam, bertanya apa salahnya dikurniakan 'cacat wajah' begitu. Setiap hari di sekolah, si dia berusaha melarikan diri daripada bertemu lelaki tersebut. Keyakinan yang ada musnah begitu sahaja. Mulut yang sering menguntum senyuman termati sekian lamanya.

Mereka berdua semakin membawa menjauh antara satu sama lain, meski kata-kata penghinaan masih keluar dari bibir lelaki itu di belakang si dia. Mencipta dua dunia yang berbeza.

Home For Imperceptible LoveWhere stories live. Discover now