XIII - Peluang Kedua

6.4K 537 105
                                    

Peluang kedua.

Pernahkah wujud peluang kedua? Aku selalu tertanya-tanya diri sendiri akan itu sejak bertahun-tahun lalunya.

Kalau bertaubat, adakah akan dikira sebagai satu peluang untuk berubah?

Tidak. Semuanya tipu belaka.

Kalau tidak, masakan semuanya tak mampu kembali kepada keadaan normal. Keadaan yang sepatutnya aku dan semua masyarakat dapatkan- bahagia dan sentosa.

"Kau buat dia separuh mati. Kau tak sepatutnya hidup dalam dunia ni!"

Terus aku tersentak daripada mimpi itu. Spontan, aku tadinya yang terlelap seketika dalam kelas menegakkan tubuh.

Aku lihat sekeliling. Melihat suasana kelas yang masih tak berubah.

Nafas dihela. Tanda lega, mungkin. Aku sendiri tak tahu mengapa aku perlu sedemikian.

Wajah aku diraup. Dengan langkah perlahan, aku terus keluar dari kelas tersebut. Meninggalkan kelas yang sedari tadi bising dan riuh namun masih mampu mencipta sunyi buatku.

Ketika aku melangkah keluar, aku melihat sekumpulan pelajar lelaki yang sedang rancak berbual di koridor. Bergelak tawa, macam tak ada apa-apa masalah antara mereka.

Aku tak tahu wajah-wajah itu. Sejak masuk sekolah ini dalam tingkatan empat, aku tidak lagi belajar mengecam muka-muka orang sekelilingku. Aku tidak lagi belajar membaca riak muka. Yang aku lakukan, hanya berjalan menunduk atau terus mengalihkan pandangan.

Paranoid, mungkin.

Kalau berada dalam keriuhan orang, aku akan berasa sesak nafas. Aku rasa lemas. Pernah aku hampir pitam tatkala perhimpunan diadakan. Akhirnya, aku menyembunyikan diri di dalam tandas setiap kali waktu berkumpul itu tiba.

Diri aku, umpama asing. Aku sendiri yang menjauhkan diri dari dunia. Di luar permintaan aku sendiri.

-----------------

KEHIDUPAN aku berubah ketika aku berada dalam tingkatan satu. Ketika itu, aku sangat dikenali oleh warga sekolah sebagai seorang yang nakal, suka menyakat. Duduk diam? Itu jelas bukan aku.

Tanyalah sesiapa saja yang mengenali aku. Siapa saja yang tak diganggu aku? Semuanya pernah.

Meskipun berperangai demikian, aku tetap didampingi ramai kawan. Ada tiga kawan baik yang berada di sisi aku, selain kawan sekelas yang paling selalu menjadi saksi kenakalan aku.

Bagi aku, itu hanyalah perkara biasa, hal budak-budak yang semakin menginjak remaja.

Ketika ada seorang pelajar perempuan yang baru mendaftarkan diri di kelas kami cuba menegur aku, itu juga adalah perkara biasa.

Hanya apabila perangai nakal aku mula berubah menjadi "hantu", itulah detik yang mengubah semuanya.

Daripada penolakan aku terhadap sapaannya, semakin lama semakin berubah kepada usikan. Yang pada mulanya biasa namun lama kelamaan menjadi kasar.

Tidak. Sememangnya hal usikan aku dengannya bukan atas dasar aku suka apatah lagi menaruh hati padanya, persis kisah tipikal novel Melayu. Aku lakukan semuanya kerana aku jelik akan kehadiran dia. Sungguh benci.

Semuanya gara-gara aku seringkali mendengar daripada para guru, juga kawan-kawan yang lain bahawa pelajar perempuan tersebut mengalami masalah peribadi yang agak serius.

Dia separuh buta. Punca genetik. Sedari lahir, secara mudahnya. Namun, tak pula dia disekolahkan di sekolah khas. Entah mengapa. Bagi aku ketika itu, kalau dah namanya cacat, memang tak patut diberi ruang yang sama dengan pelajar normal.

Home For Imperceptible LoveWhere stories live. Discover now