Bab 1 (Updated)

3K 59 12
                                    

Laman sudah beransur lenggang. Orang kampung sudah beransur pulang. Usai majlis kahwin Along, yang tinggal, hanyalah set karaoke, sebuah kanopi dan meja makan beradap yang masih belum dikemaskan lagi.

Along memang sengaja tempah set karaoke sampai jam dua belas tengah malam. Khusus untuk dia dan Ibu. Sejak daripada tengahari lagi, dia bersabar. Kini, rezeki sudah terpampang di depan matanya.

"Ishhh," digodek-godeknya segala jenis butang yang ada di set karaoke tersebut. "Heeee... dapat pun!" Entah apa ditekannya, keluar senarai lagu atas skrin komputer. "Berhuhu kita?" Bukan main gembira rasa hatinya.

"Han? Sapulah laman dulu. Ibu mengamuk nanti?" Hanafi memberi amaran kepada adik bongsunya.

"Kejap lagilah Along. Han penat tau..." Kerusi ditarik, dia duduk mengadap komputer. Microphone di tangan. Disilangkannya kaki naik atas meja. Baju ada hoodie berwarna ungu diselubungkan ke kepala. Seluar tracksuit merah jambu ditariknya sebelah sampai bawah lutut.

"Arghhh! Bolehlah, janji dapat nyanyi! Ibu mesti menangislah. Lagu kegemaran dia ni. Mesti tak senang dia nak buat kerja."

~ Sejak Ku Bertemu Pada Mu; Sanisah Huri ~
Habis lagu tadi, dikalih ke lagu seterusnya.
~ Jeritan Batinku; P.Ramlee ~
Dan lagi.
~ Bulan Ditutup Awan; Rokiah Wanda ~

Tanpa Hana perasan, ada seorang lelaki yang tidak dikenali, sedang tersenyum, berdiri di belakang seluruh ahli keluarganya yang turut sama menunggu dengan sabar sampai lagu-lagu yang silih berganti habis atau dia sendiri berhenti dengan sukarela.

"Cari nahas betul budak bertuah ni!" Hanafi sudah garu kepala.

Ada Abah yang sedang memegang parang panjang. Ada Kak Ida, kakak iparnya, tengah berlemuih dengan sabun dan penggosok periuk. Tahan berhenti buat kerja, kerana tarikan mendengar Hana berkaraoke dari satu lagu ke satu lagu, tanpa Ibu, dengan seronoknya.

Ibu?

Satu lagu, Hana yakin Ibu boleh tahan lagi. Ini dah masuk tiga lagu. Mesti Ibu sedang sakit hati dengannya itu. Pasti sangat dia.

"Amboi... kemahin kau ya? Aku suruh buat benda lain. Itu yang kau bedalkan dulu," Ibu sudah bercekak pinggang.

Abah sudah menggeleng kepala. Dia yang tidak berbaju, baru nak mula membakar sampah di belakang rumah, sebelum senja menjelang, serta-merta berhenti tatkala mendengar riuh-rendah bunyi bising di laman. Mendengar panggilan aku-kau dan bukannya awak-kamu yang dilontarkan oleh isteri, fahamlah dia, yang isterinya sedang marah. Anak bongsunya itu, memang sengaja cari nahas. Semua orang sudah dibahagikan tugas masing-masing. Dia seorang sahaja protes.

"Psssssss...! Han?" Hanafi memanggil sekali. Dikerlingnya ke arah Ibu. Tak jalan. Hana langsung tak berpaling memandang ke arahnya.

"Psssssss...! Hoiii!" tak boleh jadi. Ditunjalnya kepala Hana.

"Adoi. Apa Along ni?" Hana menggosok kepalanya. "Sakitlah kepala Han!"

"Tuuuu! Belakang! Eeeee," Hanafi sengih apabila Ibu sudah buntang mata merenungnya tajam. Ditepuknya dahi.

"Bertuah punya budak! Aku suruh kau sapu laman, kau buat kerja lain! Karaoke tu yang kau pergi bedalkan dulu ya?" Ibu sudah tidak boleh bersabar lagi. Bukan banyak lagipun kerja membersih yang perlu dilakukan.

"Ambil ubat! Sengaja cari pasalkan?" Ibu piat telinga Hana sepenuh hati. Berpusing badannya cuba melepaskan diri. Tetapi apakan daya, tetap juga gagal meloloskan diri. Makin bertambah perit telinganya.

"Aduhhhhh! Apa Ibu ni? Orang tak jumpa penyapulah. Bukan orang sengaja!" Hana turut terdorong sama mengikut Ibu ke mana sahaja. Tubuhnya mula menjauhi kawasan set karaoke. Tanpa rela, dia turut mengekori Ibu ke tepi rumah.

Tuan Muda Cik HanaWhere stories live. Discover now