BAB 4

19.6K 566 9
                                    

Qaseh bermalas-malasan di atas sofa. Butang remote televisyen ditekan mencari rancangan atau drama yang berkenan di hati. Tekan, tekan dan tekan, akhirnya Qaseh memilih untuk menekan butang merah pada remote tersebut. TV yang tadi bercahaya kini gelap dan suasana di ruang tamu rumah itu kini sunyi-sepi. Puan Marina, Mak Embun dan Zahrah berada di dalam bilik tidur masing-masing. Mungkin tengah melakukan hal mereka sendiri memandangkan jam sudah menjangkau pukul enam petang. Qaseh bersandar lemah pada sofa. Sofa yang empuk itu menyebabkan tubuh kecil Qaseh sedikt tenggelam

Perlahan-lahan, mata Qaseh mula terkatup rapat. Belum sempat Qaseh dibuai mimpi, sepasang telinga itu menangkap bunyi loceng dan ketukan di muka pintu. Secara spontan, Qaseh bangun berdiri dan berlari anak ke arah pintu. Qaseh tidak mahu tetamu rumah itu tertunggu-tunggu. Pintu besar yang rapat ditarik perlahan.

Mata Qaseh jatuh pada seorang lelaki yang tidak dikenali di hadapannya. Lelaki itu seperti kaku dan memandangnya tanpa berkedip. Melalui t-shirt putih dan seluar jeans yang dikenakan lelaki itu, Qaseh dapat rasakan lelaki itu masih muda daripada segi umur dan mungkin juga sebaya dengannya. Tona kulit lelaki itu tidak sama dengannya. Lelaki itu berkulit agak gelap sesuai sebagai lelaki Melayu dan berbadan tegap. Kacak! Lelaki itu juga jauh lebih tinggi daripadanya dan memaksa Qaseh mendongakkan kepala.

Qaseh sedikit gelisah apabila panahan mata lelaki itu tajam padanya. Qaseh menunduk dan memandang dirinya sendiri. Dia memakai dress labuh berwarna merah jambu dan tidak ada kotoran pada pakaiannya. Rambut panjang yang dibiar bebas juga telah disikat rapi. Apa yang tidak kena dengan dirinya sehingga menarik perhatian lelaki itu? Qaseh keliru.

"Maaf, encik. Encik nak jumpa siapa, ya?" Qaseh memberanikan diri untuk bertanya.

Adam Hazim terpana! Perempuan di hadapannya itu memiliki wajah yang sama seperti Qaira. Daripada suara, Adam meneka perempuan itu seorang yang lemah lembut, fragile tidak seperti Qaira yang memiliki perwatakan yang kuat dan tegas, sesuai dengan status Qaira, seorang peguam. Perempuan di hadapannya itu juga memiliki rambut hitam yang lebih panjang daripada Qaira. Mata yang bulat, hidung yang mancung, bibir yang merah dan merekah, warna kulit yang putih kemerahan, semuanya sama seperti Qaira. Seratus peratus sama!

Qaseh Mikayla! Nama itu berdentum di dada Adam. Adam tidak dapat menolak melihat wajah Qaseh yang mengingatkannya akan Qaira dan juga kejadian kemalangan itu. Adam juga tidak dapat melarikan pandangannya daripada wajah Qaseh kerana rasa rindunya kepada Qaira sedikit terubat. Adam terus menerus menikam mata Qaseh sehingga Qaseh menunduk dengan sendiri. Adam perasan, Qaseh memandang pakaiannya. Walhal, semuanya sempurna. Qaseh sangat cantik! Secantik arwah Qaira, maka tidak hairanlah kerana mereka berdua kembar seiras.

"Adam," tegur Puan Marina daripada arah belakang Qaseh. Dia memandang Adam terlebih dahulu sebelum berpindah ke muka Qaseh.

"Qaseh sayang, Qaseh naik dulu, masuk bilik. Mama nak bincang sesuatu dengan Adam," pinta Puan Marina. Dia berbuat demikian kerana tidak mahu Qaseh mendengar apa yang akan dia bualkan bersama Adam nanti. Puan Marina tidak mahu Qaseh terkejut terutamanya berkenaan wasiat arwah Qaira.

"Baiklah, mama." Qaseh akur dengan permintaan Puan Marina. Pegangan Puan Marina juga dileraikan. Sebelum berpaling, ekor mata Qaseh masih sempat mengerling sisi wajah Adam. Dari ruang tamu, kaki Qaseh diatur terus ke tingkat atas dan ke bilik tidurnya.

"Kita berbual dekat luar sana, ya. Mak Cik takut Qaseh dengar," ajak Puan Marina. Adam tidak kisah di mana sahaja asalkan dia dapat berbincang dengan Puan Marina.

Adam dapat merasakan debaran di dadanya semakin perlahan, tidak kencang sebagaimana dia melihat Qaseh tadi. Adam tidak sangka akan berjumpa dengan Qaseh pada hari ini. Tujuan dia datang adalah untuk berbincang dengan Puan Marina berkenaan wasiat arwah Qaira kerana tidak sanggup untuk menangguhkan lagi. Wasiat arwah Qaira perlu segera ditunaikan walau apa jua yang berlaku.

TAKDIRKU MENCINTAIMU (Akan Terbit) Where stories live. Discover now